Laporan terbaharu daripada Bloomberg telah menyatakan bahawa produksi pengeluaran PlayStation 5 akan dihadkan dalam tempoh tahun pertama pelancaran disebabkan situasi yang dialami global terhadap penularan wabak COVID-19.
Sumber yang mereka tidak mahu sebutkan memberitahu Bloomberg bahawa Sony akan mengehadkan produksi asal PS5 kepada hanya 5 hingga 6 juta unit pada tahun pertama fiskalnya yang berakhir pada Mac 2021. Sebagai perbandingan, PlayStation pernah mencatat jualan sebanyak 7.5 juta unit pada dua suka tahun pertama pelancaran.
Laporan ini menyatakan keputusan Sony untuk mengurangkan pengeluaran adalah disebabkan permintaan yang dijangka perlahan kerana harga yang mungkin sedikit mahal. Harga yang mahal ini berpunca daripada spesifikasi bercita-cita tinggi yang bakal dibawakan ke dalam konsol generasi akan datang itu.
Walaupun Sony masih yakin rancangan terhadap tarikh pelancaran PS5 tiada perubahan, iaitu penghujung tahun 2020, namun situasi pada waktu ini dilaporkan telah mengganggu perancangan promosi Sony. Rancangan asal mereka untuk mendedahkan tarikh pelancaran dan harga PS5 dalam satu sidang media dijangka akan dibatalkan.
Malah, laporan ini turut menyatakan bahawa pendedahan controller PS5, DualSense, pada minggu lalu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
Dalam waktu hanya tinggal beberapa bulan sahaja sebelum penghujung tahun 2020, kita sebagai pemain pastinya ternanti-nanti bilakah Sony akan mendedahkan rekabentuk konsol PS5, tarikh pelancaran dan harganya. Sama-samalah kita nantikan dengan penuh kesabaran.
Comments
Loading…