in , , , , , ,

Prey: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Lipas setan. Setiap sudut mesti ada lipas setan. Lipas setan sorok bawah kerusi. Lipas setan berubah menjadi bentuk kerusi. Argghhhh!

Saya dalam keadaan panik pula asyik menghentam alat-alat perkakas secara rawak dengan spanar besi berat sampai semua hancur berkecai, sambil kuat menjerit, “Keluarlah setan!!”

Inilah pandangan pertama saya semasa terperangkap di dalam stesen angkasa Talos 1, satu pusat penyelidikan dalam game Prey. Apahal di angkasa lepas ada pula terkena serangan serangga jilaka? Ayuh, jom baca review Prey – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Prey adalah hasil karya Arkane Studios dan syarikat penerbit Bethesda yang merupakan reboot dari game keluaran tahun 2006. Diilhamkan dari aspek genre game System Shock dan Bioshock, game ini menawarkan beberapa tema menarik seperti pertempuran terbuka vs. gerak-geri stealth, kesedaran hyper pada persekitaran, pengurusan sumber terhad, dan lain-lain. Kesemuanya membentangkan Prey dengan cara yang unik dan terasing daripada pengalaman FPS yang lain.

Yu Ada Masalah Besar

Watak hero game ini bernama Morgan Yu, seorang pakar saintis untuk syarikat TranStar. Morgan telah terlibat dalam sebuah eksperimen berkenaan kuasa psikik minda dan peningkatan ilmu kemahiran. Tetapi sesuatu kejadian mendadak telah berlaku yang menyebabkan beberapa kelompok makhluk asing Typhon berpecah dari kuarantin dan menyerang penduduk-penduduk stesen angkasa dengan ganas.

Antaranya adalah makhluk Typhon yang berupa dan bergerak bagai lipas setan yang dipanggil Mimics dan mereka pandai berubah bentuk untuk bersembunyi sebelum menerkam. Kerusi, tong sampah, pisang, malah medkit yang penting pun ia boleh meniru bentuknya.

Sumber dipetik dari Bethesda Softworks (YouTube)

Oleh sebab Typhon susah dikesan, ahli-ahli staf TranStar yang masih hidup telah berpecah dan berkubu ketat di beberapa tempat tersembunyi. Akibatnya, seluruh operasi stesen angkasa Talos 1 terjejas dan disekat dalam tahap lockdown.

Sebagai Morgan, korang bukan sahaja perlu menyelesaikan beberapa misi untuk memusnahkan pemberontakan Typhon, tetapi juga mencari hakikat sebenar punca pemecahan kuarantin Typhon. Tambah-tambah lagi apakah rahsia agenda sebenar CEO TranStar dan abang korang sendiri, Alex Yu, yang kadang-kala menolong atau menyindir pergerakan korang.

Yu Tidak Keseorangan

Game Prey dimainkan dalam sebuah dunia masa depan alternatif, di mana negara-negara Amerika Syarikat dan Soviet Rusia telah menggantikan aktiviti-aktiviti Cold War dengan memajukan perkembangan teknologi ke angkasa lepas. Antaranya adalah stesen angkasa lepas Talos 1, di mana syarikat TranStar mengkaji ciri-ciri aspek Typhon untuk tujuan sosial dan komersial.

Ciri-ciri seni dan rekacipta Arkane Studios, pengasas siri game termasyur Dishonored, boleh dilihat dalam game Prey. Talos 1 dibina dengan style sandbox game dan menjelajahnya adalah sebahagian dari keseronokan. Saya banyak kali tersimpang dari misi utama sahaja untuk meneroka setiap dek dan lorong terbuka.

Sebagai sebuah pusat penyelidikan terpencil, Talos 1 tidak dipenuhi dengan pelbagai persenjataan yang senang dicari. Stesen angkasa ini juga adalah tempat pengusahaan yang berdikari. Kebanyakan barangan stesen perlu ditukar menjadi bahan sumber kitar semula dahulu. Game ini menggalakkan sifat kleptomania saya untuk mengumpul mana-mana yang boleh diangkut atau dilengkap untuk diprocess menjadi beberapa perkakas penting, seperti peluru, bomb tangan, atau medkits.

Barang-barang yang susah dicari boleh difabrikasi selagi korang cukup bahan sumber.

Rakan utama saya dalam house of horrors ini adalah senapang GLOO. Senapang non-lethal ini memancur gel gam yang cepat kering dan berkesan untuk menghentikan kemaraan Typhon. Kegunaan GLOO gun selalunya diikuti dengan tembakan shotgun atau pistol tangan. Selain itu, ada juga pistol cas electrik yang melumpuhkan musuh dan beberapa jenis bomb tangan yang agak unik.

Bila lengkapan senjata tidak lagi cukup untuk bertarung, saya juga boleh memilih kuasa Typhon dari set skilltree. TranStar membuat kajian naiktaraf kemahiran minda dengan ubat Neuromods. Akibatnya, Typhon yang terserempak boleh dikaji dan ditiru keupayaannya. Antara kuasa yang saya gunakan untuk stealth atau melalui lubang-lubang ke bilik terkunci adalah Mimic Matter.

Pssst, hi Bigboss! Nih ke cara nak main Metal Gear Solid? 😉

Tidak selalunya saya dapat menjelajah dengan bebas. Kadang-kala bila berlalu ke tempat yang sudah dilalu, ada pula Typhon baru muncul kembali lagi. Hitam gelap, dengan jasad seolah-olah dipenuhi dengan sesungut, Typhon adalah mimpi ngeri yang menghantui persekitaran lobby, bengkel, dan bilik-bilik jabatan.

Contohnya makluk Phantom yang berupa bagaikan hantu Slender Man yang berbadan kebal, amat pantas bergerak, dan ada yang berkelebihan kuasa api atau elektrik. Selain dari perbezaan saiz dari Mimics, Phantoms tidak bersembunyi atau berubah bentuk, tetapi meronda di kaki lima mencari mangsa dan boleh didengar merungut seorang diri. Melawan, menyorok, atau melarikan diri adalah pilihan sendiri.

Asal-usul Phantoms adalah bukan Typhon, tetapi mayat manusia yang telah menjadi bekas Typhon.

Sisa-sisa robot TranStar yang dirasuk oleh organisma Typhon boleh menjadi Technopath. Poltergeist pula merupakan Typhon ghaib yang menyerang dengan kuasa telekinesis dan tidak boleh dilihat atau dikesan dengan alat psychoscope. Ini dan bermacam lagi Typhon saya temui di dalam Talos 1, setiap jenis mempunyai kuasa unik, semuanya hendak menerkam saya sampai mati (dan banyak kali saya mati jugak!).

Semua Typhon Memburu Yu

Frasa evolusi, survival of the fittest, amat benar menggambarkan gamePrey- ehh, gameplay Prey. Semakin banyak misi objective saya dapat selesaikan, semakin kerap terjumpa dengan berbagai jenis puak Typhon, dan semakin peka rangsangan mereka mencari saya. Tidak lama kemudian, senjata GLOO gun dan senapang shotgun tidak cukup untuk membuat serangan terbuka dan saya perlu berfikiran kreatif.

Sini saya bagitau sedikit tips untuk jangan menjadi mangsa bahaman Typhon:

Ahli kakitangan TranStar terdiri dari pelbagai kaum dan semua mempunyai identiti tersendiri.
  • Sorok mayat-mayat manusia yang dijumpai
    Ini adalah sebab Typhon Weaver akan merantau di tempat-tempat terbuka untuk mencari dan menukar mayat menjadi Phantom. Habislah korang kalau terserempak Weaver dengan geng Phantom sekaligus, terutamanya bila jumlah peluru terhad.
Turet EAT tidak mengenal rakan atau lawan. Ia juga akan menyerang korang jika terlebih membuka kuasa Typhon.
  • Susun Auto-Turret elok-elok
    Eradicator Auto-Turret (EAT) adalah turet ringan yang boleh dijumpai dan diangkut dari beberapa bilik khas sekuriti. Ia mempunyai sensor mengesan dan menembak mana-mana Typhon yang muncul. Kelemahan turet adalah di bahagian belakang, di mana senapangnya tidak dapat menghala. Dinasihatkan korang pasang satu atau dua turet di sudut-sudut tertutup dan menghalanya ke arah pintu atau koridor.
Helmet ini boleh mengimbas psikik makhluk hidup dan memberi korang keupayaan kuasa Typhon.
  • Gunakan kuasa Typhon Psychoshock
    Terlebih dulu, korang mesti mencari makhluk Telepath. Sebaik-baik terserempak dengan Typhon terapung itu, gunakanlah alat psychoscope untuk imbas kuasa Psychoshock. Dengan cukup ubat Neuromods, korang boleh menyekat kuasa psychic Typhon untuk sementara. Bagi saya, kuasa ini sangat penting bila berdepan dengan serangan serentak 3 atau 4 puak Typhon, terutamanya setelah selesai beberapa misi utama jalan cerita.

Apa Lagi Yu Takut?

Secara keseluruhan, game Prey dibina dari unsur-unsur yang menarik; ciri puak Typhon, rahsia ubat Neuromods, beberapa interaksi backstory lucu antara anak kapal yang boleh dipetik dari PDA atau keratan e-mel, dan lain-lain. Tetapi satu masalah naratif Prey adalah ia terlalu generik, iaitu kejatuhan tragis umat manusia akibat menyalahgunakan kuasa di luar dugaan.

Ruang persekitaraan Talos 1 banyak menceritakan situasi hidup penduduk stesen. Sini adalah X-ray seorang pengguna Neuromod.

Kalau dibandingkan dengan beberapa game dengan jalan cerita yang lebih kurang sama, Prey tidak mempunyai watak yang benar-benar dinamik dan menarik perhatian. Contohnya seperti GlaDOS yang sangat sarkastik (Portal 2), Rost yang berkorban (Horizon Zero Dawn), ataupun Elizabeth yang sangat empatik (Bioshock Infinite). Malah, watak sampingan/antagonis Alex Yu pula hanya lebih disimpulkan sebagai CEO korporasi yang terlalu menjaga kedudukannya dan harapan untuk membina semula Talos 1.

Selain jalan cerita, Prey juga mengalami masalah isu-isu teknikal yang saya terjumpa di versi PC. Kadang-kala barang yang saya kutip tidak disusun secara stacking dalam slot inventori yang sama. Mengikut feedback dari gamers lain, barang-barang ini boleh bertingkat bila disusun secara manual. Justeru, barulah inventori saya ada ruang lebih tetapi ini kerja rumit yang agak menjengkelkan.

Dalam mana-mana pun dunia alternatif game yang berteknologi tinggi, ia tidak langsung menghentikan tabiat saya mengutip barang in-game sampai penuh inventori!

Saya juga ada terlanggar dengan isu invisible wall bila cuba masuk ke dalam lubang yang nampak sempit, padahal baru tadi sudahpun melaluinya. Juga pada pendapat saya, walaupun Quick Load agak cepat, saya perasan Load Game mengambil masa yang terlebih lama masa untuk diselesaikan.

Yu Kata Boleh Beli or Boleh Blah?!

Game Prey mempunyai satu lagi aspek yang sangat memuaskan tetapi mudah terlepas pandang; kesan bunyi suasana. Dengan operasi stesen dalam keadaan terhenti, majoriti masa waktu saya merantau adalah tenang dan sunyi.

Langkah kaki saya yang terdengar di ruang dewan dan koridor. Pintu automatik dan mesin berlampu ada nada buzz elektrik. Bunyi sistem operasi backup boleh dikesan semasa melayari terowong micro-graviti atau semasa melalui beberapa bengkel kerja. Kemudian muzik bertukar secara mendadak bila tiba-tiba tong sampah melompat dan cuba mengigit muka saya. “Bongok kau setan!”

Janji kat luar stesen angkasa tidak ada lipas setan!

Ambiance yang begitu menarik adalah antara ciri-ciri yang mengasaskan konsep Arkane Studios mempelawa gamers untuk meneroka dunia Prey. Dari saat Morgan bangun sedar dalam stesen di ambang kejatuhan, dialah watak underdog. Tetapi secara naluri, dia mengetahui bahawa setiap gerak geri yang dilakukan, apa-apa tugas atau misi yang diselesaikan, adalah dikesan dan diperhatikan oleh mereka yang benar-benar menentukan nasib mutlak stesen angkasa Talos 1.

BOLEH BELI!
+ Sesuai untuk pencinta alam – ada Recycling and digital printing simulator untuk kitarsemula barang-barang. Jangan lupa naiktaraf baju angkasa untuk dapatkan inventori besar dan kutip lagi banyak barang/sampah/bahan!
+ Soundtrack dan isyarat audio amat kena dengan suasana cemas atau tenang
+ Rekacipta map yang sangat menarik, bestnya bila berterbangan di luar stesen!
+ Bertarung dengan Typhon menjadi lebih dinamik mengikut kemajuan jalan cerita Yu

BOLEH BLAH!
First person heart attack simulator; okay je untuk korang nak hilangkan sedu
Konsep menarik tapi hambar dengan naratif yang hanya ala kadar
Adanya beberapa isu teknikal

Written by Liza Langkasuka

Gadis ini amat meminati game RPG dan FPS. Beliau juga bersemangat untuk mencapai tahap tertinggi di dalam game Destiny, Division, Rainbow Six: Siege dan terbaru Overwatch.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Video Terbaru Crash Bandicoot N. Sane Trilogy Menampilkan Level Future Frenzy!

Koleksi Game Segera PlayStation Plus Untuk Jun 2017