in ,

PDRM Janji Tangkap Suspek Scammer PS5, 26 Laporan Polis Diterima

Sepanjang minggu ini, komuniti PlayStation tempatan telah digemparkan dengan penipuan kes pra-tempah PS5.

Setelah menjadi tular di merata media sosial serta memasuki beberapa berita media arus perdana, ia kini mendapat perhatian penuh pihak polis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook, yang memetik keratan akhbar Kosmo, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memberi jaminan akan memberkas suspek dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes scammer tersebut.

Pengarah JSJK, CP Dato’ Mohd Kamarudin Md Din telah mengesahkan setakat ini, pihaknya sudah menerima 26 laporan polis yang dibuat mangsa yang dipercayai terperdaya membeli PS5 daripada suspek terbabit.

“Pihak kami jangka lebih ramai mangsa akan tampil membuat laporan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Kosmo.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek. Insya-Allah kita akan tahan suspek dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kegiatan scam nampaknya semakin menjadi-jadi ketika zaman pandemik ini. Lebih-lebih lagi apabila konsol yang diidamkan ramai, PlayStation 5 dilancarkan ketika pandemik, dan Sony tidak mampu memenuhi permintaan yang terlalu tinggi — membuatkan aktiviti scalper dan scammer semakin berleluasa.

Selasa lalu, komuniti PlayStation tempatan telah dikejutkan dengan satu situasi yang amat menyedihkan apabila sebuah kedai gaming ini dilaporkan telah menghilangkan diri apabila sudah ramai yang melakukan pra-tempah PS5 dengannya.

Harapan kami adalah agar apabila kes seumpama ini sudah mendapat perhatian umum, bukan sahaja kegiatan scam dapat dibendung, malah kegiatan scalper, iaitu menaikkan harga PS5, atau apa sahaja jenis barangan, dengan harga yang melambung tinggi, juga dapat dihentikan dengan segera.

Cari dan siasat juga orang-orang atasan yang memberikan stok-stok ini yang membuatkan scalper mudah melakukan kerja mereka.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Ulang Tahun Pertama PS5: Bos Sony Hargai Pemain Yang Masih Sabar Menanti Ketiadaan Stok

Selepas West Ham Dan Sporting, UFL Umum Perjanjian Lesen Bersama Shakhtar Donetsk