Apa akan jadi jika Hotline Miami digabungkan dengan game SWAT 4 bersama dengan sedikit sentuhan dari filem seperti Seven dan Lethal Weapons? Police Stories!

Police Stories merupakan sebuah game aksi menembak perspektif top-down dengan menggabungkan elemen-elemen taktikal. Game ini telah dikeluarkan pada 20 September 2019 oleh pembangun Mighty Morgan dan penerbit HyperTrain Digital untuk platform PC dan Nintendo Switch. Tidak seperti Hotline Miami di mana pemain perlu menghabiskan satu level sepantas yang boleh. Dalam Police Stories, pemain perlu merancang strategi untuk setiap langkap demi menjayakan misi.

Plot

Plot Police Stories bermula dengan pertemuan Rick Jones bersama dengan John Rimes, rakan sekerja lama yang berpindah ke bandar baru untuk bertugas kembali dengan Rick. Mereka berdua bersama-sama menyiasat dan menumpaskan sindiket penjualan senjata dan serangan pengganas yang melibatkan syarikat korporat gergasi dan PMC (Private Military Company).

Dari segi jalan cerita, Police Stories hanya menyajikan plot yang asas dan klise yang menampilkan dua orang watak utama yang mempunyai personaliti yang sama seperti kebanyakan filem-filem aksi Hollywood. Terdapat elemen seperti plot twist yang mudah untuk dijangka. Tapi secara keseluruhan, ia menyediakan cerita yang menarik dan mudah difahami.

Gameplay

Kunci untuk memenangi game ini adalah dengan merancang strategi, membuat tindakan dengan tepat dalam masa yang singkat dan tidak bertindak terlalu terburu-buru. Pemain akan bermain sebagai karakter John Rimes, manakala Rick Jones bertindak sebagai ahli pasukan pemain. Pemain boleh memilih dua mode difficulty iaitu easy atau standard.

Sebelum memulakan misi, pemain akan diberi taklimat terdahulu mengenai objektif misi, berapa ramai bilangan penjahat dan tebusan. Selepas itu pemain akan dibawa ke antaramuka pemilihan kelengkapan atau gajet di mana pemain perlu memilih peralatan yang sesuai untuk pemain dan juga ahli pasukan pemain bergantung kepada situasi misi.

Setelah selesai dengan pemilihan kelengkapan, barulah pemain boleh mulakan misi. Objektif utama dalam setiap misi adalah untuk menyelamatkan seberapa ramai tebusan dan menangkap penjahat hidup-hidup. Di samping itu juga, pemain perlu mengumpul bahan-bahan bukti seperti dadah dan mengambil senjata suspek. Kesemua tindakan pemain boleh meningkatkan markah yang boleh memberi kesan kepada rating pemain. Jika pemain melakukan sedikit kesilapan, markah akan ditolak.

Jika korang pernah bermain game SWAT 4, fungsi yang sama turut diaplikasi dalam Police Stories. Peraturan pertama jika pemain berhadapan dengan penjahat adalah pemain tidak boleh melepaskan tembakan. Sebaliknya, pemain perlu menjerit “police!” terlebih dahulu, penjahat tersebut akan menyerah diri. Jika penjahat tidak menyerah diri dan melepaskan tembakan, barulah pemain boleh melepaskan tembakan.

Pemain boleh memberikan arahan kepada ahli pasukan, Rick Jones seperti bergerak ke lokasi tertentu, buka pintu, regroup dan baling bahan letupan. Room clearing merupakan aspek penting dalam Police Stories di mana setiap pintu ada bahaya yang menanti. Pemain boleh memberikan arahan seperti flashbang and clear, smoke and clear, breach and clear dan lain-lain.

Jika pemain terkena tembakan dari pihak musuh, skrin akan bertukar menjadi merah. Untuk pulihkan nyawa, pemain boleh gunakan medkits. Jika pemain mati, pemain perlu mulakan semula misi dari awal dan perlu diingatkan di sini bahawa enemy placements akan berubah setiap kali game dimulakan.

Perkara penting yang perlu ditekankan dalam game ini adalah pemain perlu berhadapan dengan sikap sesetengah tebusan dan penjahat yang kadangkala melarikan diri atau degil kerana tidak mahu menyerah diri. Sesetengah penjahat juga boleh menyamar sebagai tebusan.

Dalam sesetengah situasi juga, pemain perlu mematikan bom dalam masa terhad. Pemain mempunyai pilihan sama ada memotong wayar-wayar pada bom tersebut atau menyoal suspek yang telah ditahan dengan memukul mereka, suspek tersebut akan mendedahkan kod nombor bom.

Setiap kali pemain dapat menyelesaikan misi, pemain akan mendapat kelengkapan atau gajet baru yang dapat membantu memudahkan pemain dalam misi seterusnya. Antara gajet-gajet yang disediakan adalah seperti smoke grenade, flashbang, tear gas, foregrip, ballistic shield, heavy armor dan banyak lagi.

Setiap kelengkapan itu sangat membantu pemain kerana dalam misi-misi seterusnya pemain akan berhadapan dengan pihak musuh yang lebih agresif dan bijak serta kelengkapan mereka sama taraf dengan pemain.

Walaupun Police Stories menyediakan gajet-gajet yang pelbagai. Tapi malangnya, dari segi pilihan senjata sangat lemah, pemain dari awal sehingga akhir akan kekal dengan senjata MP5. Malah, untuk menembak dalam game ini juga agak janggal, pemain perlu menekan butang shift (juga digunakan untuk berlari) untuk mengekalkan ketepatan semasa menembak bagi mengelakkan sentakan (recoil), namun kadangkala tembakan tersebut tidak mengena ke musuh.

Bagi pemain baru juga, game ini gagal menunjukkan fungsi-fungsinya yang menyeluruh dalam bahagian tutorial di mana ia hanya memberi tunjuk ajar pada bahagian-bahagian asas tapi tidak pada bahagian yang penting seperti butang T untuk menukar fire mode dan perlu menekan butang shift semasa menembak.

Walau bagaimanapun, game ini menyediakan mode local co-op dan online co-op. Dalam tahun ini juga, pembangun akan membawakan mode misi yang boleh diubah suai, kawalan yang boleh diubah suai dan Steam Achievements serta untuk tahun depan iaitu level editor.

Grafik

Dari segi grafik, game ini menggunakan tema VHS pada era 80-an digabungkan dengan grafik 2D pixel. Pergerakan animasi secara keseluruhannya lancar dan laju. Efek kabus, cahaya dan hujan juga baik. Palet warna yang kadangkala gelap dan terang bergantung kepada ton misi.

Tapi untuk bahagian settings grafik, game ini tidak berikan banyak pengubahsuaian. Hanya menyediakan VHS effect, fog and rain, vsync, screen shake dan fullscreen.

Muzik dan efek bunyi

Police Stories menggunakan muzik synth dengan gabungan runut bunyi retro yang mempunyai rentak suspen dan aksi serta ada sedikit muzik ala-ala elektronik. Secara keseluruhan, soundtrack Police Stories best. Efek bunyi seperti bunyi tembakan dan suara semasa arahan diberikan melalui radio juga disampaikan dengan baik.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

+ Gameplay taktikal yang menarik
+ Enemy placements yang berbeza setiap kali misi dimulakan (replayability)
+ Muzik yang best
+ Grafik retro yang bagus

Tidak ada pilihan senjata
Paparan tutorial yang lemah
Tidak banyak pengubahsuaian disediakan pada settings grafik
Tidak ada pengubahsuaian kawalan disediakan

1 komen

JomKomen!