in , , ,

PlayStation Plus Essential, Extra & Deluxe: Boleh Langgan or Boleh Blah!?

Tahun 2017 menyaksikan Microsoft telah memperkenalkan satu langganan, dinamakan Xbox Game Pass, yang telah mengubah landskap bagaimana para pemain menghadam rutin gaming mereka.

Walaupun ia bukanlah satu idea yang original kerana dunia telah melihat bagaimana berjayanya model bisnes seumpama ini dalam industri penstriman media hiburan, terutamanya Netflix — tetapi konsep langganan ini merupakan sesuatu yang amat menyegarkan kepada industri gaming.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, kita telah disajikan dengan beberapa syarikat penerbitan game lain yang mengikut jejak langkah sama, iaitu mengumpulkan beratus game yang boleh diakses selagi mana langganan masih aktif — antaranya EA Play, Ubisoft+, Apple Arcade dan lain-lain.

Sedar tak sedar, sudah lima tahun Xbox Game Pass menempa kejayaan ini, dan kita masih tidak dapat melihat mana-mana langganan yang benar-benar mampu menyaingi Xbox Game Pass (atau servisnya di PC, iaitu PC Game Pass). Bahkan, kita dapat melihat pula EA Play dan Ubisoft+ diserap masuk kedalam Xbox Game Pass.

Sebab apa? Sebab pesaing sebenarnya, iaitu Sony PlayStation, masih belum melancarkan langganannya untuk berlaga bahu dengan langganan daripada Microsoft ini.

Melihat kejayaan Microsoft ini, Sony tentunya tidak mahu membiarkannya sahaja. Tahun 2022 telah memperlihatkan Sony akhirnya telah melancarkan langganannya tersendiri untuk bersaing secara langsung dengan Xbox Game Pass. Ini baru buku bertemu ruas.

Apa Sebenarnya Pembaharuan PS Plus?

Sebelum kita memutuskan sama ada PlayStation Plus mana yang berbaloi untuk korang langgan, mungkin ada daripada korang yang masih samar-samar tentang apakah sebenarnya pembaharuan yang diperkenalkan oleh Sony ini. Oleh itu, kita teliti terlebih dulu langganan ini dan apa manfaat yang akan dinikmati oleh para pelanggan.

Langganan PlayStation Plus kini mempunyai tiga tahap berbeza, yang mana setiap daripadanya mengenakan harga dan menawarkan kelebihan yang berlainan.

Tiga tahap tersebut ialah Essential, Extra dan Deluxe.

Essential (Tahap 1)

Harga: RM29/bulan | RM69/3 bulan | RM159/tahun

Masih ingat sistem langganan PS Plus yang lama? Ya, ia kini digelar sebagai PS Plus Essential. Dalam kata lain, PS Plus yang dulu hanya digelar sebagai “PS Plus” kita telah berpindah kepada “PS Plus Essential”.

Secara asasnya, Essential menawarkan manfaat yang sama dan harga yang sama dengan sistem PS Plus yang lama. Maksudnya, tiada sebarang perubahan, hanya bertukar nama.

Manfaat utama yang pelanggan Essential akan dapat adalah akses kepada online multiplayer, game bulanan (Monthly Games), dan storan awanan (cloud storage).

Extra (Tahap 2)

Harga: RM44/bulan | RM114/3 bulan | RM269/tahun

PS Plus tahap Extra akan menawarkan segala manfaat yang ada dalam Essential, ditambah dengan Game Catalog. Game Catalog inilah yang boleh dikatakan sebagai pesaing sebenar kepada apa yang membuatkan Xbox Game Pass begitu berjaya.

Game Catalog memberikan pelanggan akses kepada ratusan game penuh, termasuk game-game AAA dan game indie, yang pelanggan boleh main pada bila-bila masa, sebanyak mana yang mahu, selagi mana langganan Extra masih aktif.

Korang boleh lihat sendiri senarai game penuh yang ada dalam Game Catalog di pautan ini.

Deluxe (Tahap 3)

Harga: RM50/bulan | RM130/3 bulan | RM309/tahun

PS Plus tahap Deluxe akan menawarkan segala manfaat yang ada dalam Essential dan Extra, ditampilkan lagi dengan dua kelebihan tambahan, iaitu Classic Catalog dan Game Trials.

Seperti yang tertera di namanya, Classic Catalog membawakan game-game dari zaman PS1, PS2 dan PSP. Buat masa ini, Classic Catalog hanya menawarkan 17 game retro.

Buat masa ini, game-game PS3 hanya boleh dimainkan secara streaming, dan disebabkan Sony belum melancarkan platform streaming game di pasaran Malaysia, maka pemain tempatan tidak akan dapat menikmati game-game PS3 dalam PS Plus.

Game Trials pula adalah sesi percubaan dalam tempoh beberapa jam untuk beberapa game yang lebih baharu. Kelebihan ini sesuai untuk mereka yang ingin mencuba dulu sesebuah game sebelum memutuskan untuk membelinya ataupun tidak. Segala progress yang dicapai semasa dalam tempoh percubaan akan dibawa ke dalam game penuh sekiranya pelanggan memutuskan untuk membeli game tersebut (yang dijual secara berasingan).

Setakat ini, terdapat 11 game yang boleh dicuba dalam Game Trials, iaitu:

  • Horizon Forbidden West
  • Tiny Tina’s Wonderlands
  • Cyberpunk 2077
  • WWE 2K22
  • UNCHARTED: Legacy of Thieves Collection
  • Hot Wheels Unleashed
  • LEGO CITY Undercover
  • Biomutant
  • Farming Simulator 22
  • MotoGP 22
  • ELEX 2

Tempoh percubaan dalam Game Trials ini berbeza mengikut game. Ada yang boleh dicuba sehingga 5 jam, dan ada juga hanya 2 jam. Masa percubaan itu hanya akan berjalan apabila pemain masuk ke dalam game itu, bukannya bermula ketika mula muat-turun.

Game Catalog

Kita mungkin perlu berbincang dengan lebih mendalam mengenai Game Catalog kerana seperti yang penulis sebutkan di atas, inilah pesaing sebenar kepada Xbox Game Pass.

Sony mungkin masih belum berani untuk membawa masuk game baharu terbitan pihak pertama mereka ke dalam Game Catalog pada hari pertama pelancaran sepertimana yang Microsoft lakukan dalam Xbox Game Pass. Namun, pada pandangan penulis, senarai game yang dibawa masuk setakat ini sudah cukup berkualiti untuk kita nikmati dengan harga yang ditawarkan, walaupun game-game itu sudahpun berusia beberapa tahun.

Artikel ini mungkin tidak akan mampu untuk menyenaraikan kesemua game yang ada dalam Game Catalog, tetapi penulis cuba senaraikan beberapa game yang telah menarik perhatian, antaranya:

  • Assassin’s Creed Valhalla
  • Assetto Corsa Competizione
  • Bloodborne
  • Brothers: A Tale of Two Sons
  • Control: Ultimate Edition
  • Days Gone
  • DEATH STRANDING: DIRECTOR’S CUT
  • Detroit: Become Human
  • Far Cry 3 Blood Dragon: Classic Edition
  • Far Cry 4
  • Final Fantasy IX
  • Final Fantasy VII
  • Final Fantasy VIII Remastered
  • Final Fantasy X/X-2 HD Remaster
  • Final Fantasy XII The Zodiac Age
  • Final Fantasy XV Royal Edition
  • For Honor
  • Friday the 13th: The Game
  • GHOST OF TSUSHIMA: DIRECTOR’S CUT
  • Ghostrunner 
  • GOD OF WAR
  • Gravity Rush 2
  • Greedfall 
  • Hello Neighbor
  • Horizon Zero Dawn Complete Edition
  • Human Fall Flat
  • inFAMOUS First Light
  • inFAMOUS Second Son
  • Injustice 2
  • KILLZONE SHADOW FALL
  • Killzone: Shadow Fall Intercept
  • KNACK
  • Lawn Mowing Simulator
  • Left Alive 
  • LEGO Batman 3: Beyond Gotham
  • LittleBigPlanet 3
  • Marvel’s Guardians of the Galaxy
  • MARVELS SPIDER-MAN MILES MORALES
  • Marvel’s Spider-Man: Game of the Year Edition
  • Mortal Kombat 11
  • Moving Out
  • MXGP 2021
  • NBA 2K Playgrounds 2
  • NBA 2K22
  • Overcooked! 2
  • Project CARS 2
  • Red Dead Redemption 2
  • RETURNAL
  • RIDE 4
  • Saints Row: The Third Remastered
  • Shadow of the Colossus
  • Shadow Warrior 3
  • Sniper Elite 4
  • Steep
  • The Crew 2
  • THE LAST GUARDIAN
  • Tom Clancy’s The Division
  • Totally Reliable Delivery Service
  • Tour de France 2021
  • Uncharted 4: A Thief’s End
  • Uncharted: The Lost Legacy
  • Until Dawn
  • Vampyr
  • Watch Dogs
  • World of Final Fantasy
  • WRC 10 FIA World Rally Championship
  • XCOM 2

Monthly Games vs Game Catalog

Korang perlu tahu membezakan antara Game Catalog dengan Monthly Games.

Setiap game (biasanya setiap bulan diberikan 3-4 game) dalam tawaran Monthly Games akan menjadi milik kita buat selamanya (apabila sudah dimasukkan ke dalam akaun) selagi mana kita mempunyai langganan yang aktif.

Game Catalog pula berbeza. Koleksi game dalam Game Catalog ini boleh kita samakan seperti menyewa game tersebut. Kita akan boleh main sesuka hati kita, sebanyak dan selama mana yang kita mahu, selagi mana langganan aktif, dan selagi mana Sony meletakkan game-game itu dalam Game Catalog.

Sebagai contoh, kita ingin bermain Red Dead Redemption 2. Dalam beberapa bulan kita bermainnya sedikit sahaja, tak habis pun, kemudian kita meninggalkan game itu dan bermain game lain. Katakanlah, contoh, selepas dua tahun, Sony membuang Red Dead Redemption 2 dari Game Catalog. Maka, kita tidak akan boleh mengakses game ini dari langganan PS Plus lagi kerana Sony tidak lagi meletakkan game ini untuk ‘disewa’ oleh para pelanggan. Dalam kata lain, Red Dead Redemption 2 tidak pernah menjadi milik kita.

Begitulah konsepnya untuk semua game yang diletakkan dalam Game Catalog. Sony menegaskan yang senarai game yang ada dalam Extra dan Deluxe akan disegarkan — ditambah, dan mungkin sesetengahnya dibuang — pada setiap pertengahan bulan dengan menambah barisan game baharu.

Namun, apabila mereka kata senarai ini akan disegarkan pada setiap bulan, bukanlah bermakna ratusan game sedia ada ini akan diganti dengan ratusan game yang lain pula pada setiap bulan. Disegarkan itu bermaksud mungkin ada lima atau sepuluh game sahaja yang akan ditambah atau dibuang dari Game Catalog.

Satu lagi kelebihan Game Catalog dalam Extra ini berbanding Xbox Game Pass adalah ia boleh diakses dan dimainkan secara offline — tapi pemain perlu melakukan pengesahan secara online seminggu sekali untuk memberitahu sistem bahawa pemain masih memiliki langganan yang aktif.

Berbaloi Langgan?

Berbaloi atau tidak untuk melanggan PlayStation Plus yang baharu ini adalah persoalan yang pertama. Persoalan yang kedua pula, kalau berbaloi, tahap mana yang berbaloi untuk dilanggan.

Pada pendapat penulis, setiap tahap itu boleh menjadi berbaloi atau tidak bergantung kepada bagaimana korang menghadam video game dan bagaimana korang menguruskan waktu game.

Essential amat sesuai untuk korang yang menyerahkan jiwa dan raga korang untuk satu atau dua game online sahaja. Misalnya, korang merupakan seorang gamer yang hanya memfokuskan siri game FIFA atau Call of Duty sahaja, maka untuk bermain online multiplayer, korang memerlukan Essential. Tidak perlulah untuk melanggan Extra dan Deluxe kerana korang hanya mendedikasi waktu gaming korang untuk satu atau dua game sahaja.

Extra sungguh berbaloi untuk korang yang sekurang-kurang mampu menghabiskan 2 atau 3 game setahun dari Game Catalog, terutamanya game-game AAA yang panjang. Apatah lagi sekiranya korang merupakan seseorang yang hanya memiliki konsol PlayStation (PS4/PS5), tiada PC gaming ataupun Xbox, maka tiada langganan yang lebih sesuai untuk korang nikmati selain tahap Extra ini.

Bayangkanlah, seandainya korang membayar RM269 setahun, korang main saja 2 atau 3 game yang kalau dibeli asing setiap satunya berharga RM100++ atau RM200++, itu sudah ‘balik modal’ dan memberikan penjimatan yang sangat banyak.

Deluxe pula kekuatannya terletak pada Classic Catalog. Mereka yang ingin kembali mengimbau kenangan bermain game retro tentunya amat sesuai melanggan tahap ini. Namun, melihat kepada senarai game yang ditawarkan, pada hemat penulis, masih belum cukup berbaloi. Senarainya amatlah sedikit dan Game Trials juga kelihatan seperti sesuatu yang kurang menarik.

Ada Satu Masalah

Sepanjang diberi peluang oleh PlayStation Asia untuk mencuba PlayStation Plus yang baharu ini, penulis hanya mempunyai satu isu yang kurang menyenangkan.

Masalah tersebut adalah kepada pelanggan sedia ada PS Plus sebelum ini (yang secara automatiknya ditukar kepada Essential) yang ingin menaik taraf kepada Extra atau Deluxe, mereka perlu membayar baki harga langganan mengikut tarikh luput langganan sedia ada.

Pelanggan tidak dibenarkan untuk mencuba Extra atau Deluxe untuk tempoh sebulan atau tiga bulan dulu. Sekiranya korang sebelum ini sudah melanjutkan langganan PS Plus sehingga dua tiga tahun, maka bersedialah untuk membayar baki langganan dalam tempoh itu juga kalau ingin menaik taraf tahap langganan.

Tentunya, pilihan untuk melanggan sebulan, tiga bulan atau setahun bagi mana-mana tahap Essential, Extra atau Deluxe tiada masalah kepada pelanggan baharu.

Harap-haraplah Sony ambil maklum terhadap isu ini dan cuba menukarnya ke arah yang lebih mesra pemain.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Susur Masa Star Wars Jedi: Survivor Terlalu Hampir Untuk Cal Kestis Tak Muncul Dalam Siri Obi-Wan Kenobi

Sony Rancang Henti Lancarkan Game PS4 Pada 2025, Lebih Fokus Untuk PC, Mobile