in , ,

PlayStation Dilaporkan Mahu Melancarkan Servis Langganan Baru Untuk Bersaing Dengan Xbox Game Pass

Banyak perkara yang dibawakan oleh PlayStation dan Xbox yang bersaing dengan sengit. Namun, ada satu servis yang sememangnya Microsoft menang — Xbox Game Pass.

Sebelum ini, Sony sering ditanyakan mengenai apakah mereka akan mengeluarkan servis yang seakan Xbox Game Pass, dan jawapannya sering “tidak”. Walau bagaimanapun, daripada satu laporan terbaharu yang muncul ini, Sony mungkin nampaknya telah menukar pandangan mereka.

Laporan ini hadir daripada Bloomberg, yang melaporkan bahawa Sony kini sedang merancang untuk melancarkan servis langganan baharu mereka sendiri untuk bersaing dengan Xbox Game Pass.

Menurut beberapa individu rapat dengan Sony yang mendedahkan perkara ini kepada Bloomberg, yang namanya tidak mahu didedahkan, servis langganan baharu Sony ini mengguna nama kod Spartacus.

Servis ini dikatakan akan menggabungkan dua servis sedia ada yang dimiliki Sony, iaitu PlayStation Plus dan PlayStation Now (servis yang membenarkan para pemain bermain koleksi game secara streaming).

Lebih menarik, Spartacus dikhabarkan akan menampilkan tiga tahap langganan, di mana lebih tinggi tahap langganan, lebih banyak manfaat yang akan diperoleh.

Tahap pertama, dikatakan sama seperti ganjaran yang diterima para pelanggan PlayStation Plus sedia ada seperti kebenaran untuk online multiplayer (untuk game berbayar), 3-4 game percuma bulanan dan lain-lain.

Tahap kedua pula akan menggabungkan tahap pertama dengan beberapa manfaat tambahan seperti satu koleksi game PS4 dan game PS5 yang amat besar.

Tahap ketiga pula akan mengumpulkan ganjaran tahap pertama dan kedua, ditambah dengan lebih banyak percubaan demo, game streaming dan koleksi game-game klasik PS1, PS2, PS3 dan PSP.

Spartacus juga dilaporkan akan dilancarkan untuk kedua-dua platform PS4 dan PS5.

Seperti biasa, selagi ia belum didedahkan secara rasmi, jangan terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi. Namun, memandangkan sumbernya daripada Bloomberg, agak sukar untuk mengatakan bahawa khabar ini adalah tidak sahih.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Red Dead Redemption 3 Mungkin Sedang Dibangunkan, Menurut Profil LinkedIn Pembangun Ini

Hazelight Terpaksa Tinggalkan Tanda Dagang It Takes Two Kerana Tuntutan Take-Two Interactive