Semalam telah berlangsungnya PES SEA Finals 2019, kejohanan tahunan Pro Evolution Soccer terbesar di Asia Tenggara, yang diadakan di Bangkok, Thailand.

Setelah tiga tahun berturut-turut dimenangi oleh pemain dari Vietnam, akhirnya pemain muda dari Indonesia, Rizky Faidan, 16, telah berjaya dinobatkan sebagai juara. Kemenangan ini sekaligus menyaksikan kejohanan ini pertama kali dijuarai oleh pemain bukan dari Vietnam, sejak julung kali dipertandingkan pada tahun 2016.

Walau bagaimanapun, tidaklah begitu tepat sekiranya kita ingin mengatakan yang tembok gergasi Vietnam dalam PES ini berjaya diruntuhkan sepenuhnya. Menjadi halangan terakhir kepada Rizky di perlawanan final ialah Jesus, juga pemain dari Vietnam, dalam penentuan penalti penuh mendebarkan.

Kredit gambar: PES Malaysia.

Skuad PES Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan para pemain PES dari Indonesia dan Vietnam. Prestasi terbaik ditonjolkan oleh Muazz Ahmad (Maul) yang berjaya lolos ke peringkat suku akhir sebelum ditewaskan oleh Rommy dari Indonesia. Raifq Firdaus (Lapit) pula ditunjukkan jalan keluar oleh Rizky di Pusingan 16.

Tengku Erwan dan Hafizan Jamil pula kurang bernasib baik apabila terkandas di peringkat kumpulan, yang mana kedua-duanya menduduki tangga ke-5 dalam kumpulan masing-masing.

JomBaca: 4 Wakil Malaysia Ke PES SEA Finals 2019 Dibarisi Pemain Lama, Baru Dan Bintang Yang Telah Digilap

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman, berkata:

“Ia merupakan hujung minggu yang mendidik PES Malaysia. Kami pergi ke Bangkok sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar, komuniti PES South East Asia”

“Disertai oleh 8 negara Asia Tenggara, dan sejumlah 32 pemain, pasukan PES dari Malaysia berjaya lolos ke 8 terbaik. Ia adalah satu pencapaian yang baik memandangkan kita menghadapi tentangan gergasi dari Thailand, Indonesia, Vietnam dan lain-lain.”

JomGaming mengucapkan tahniah kepada pasukan PES dari Indonesia kerana berjaya memenangi PES SEA Finals 2019, lebih membanggankan pasukan Garuda itu apabila djuarai oleh pemain termuda.

Untuk para pemain negara pula, jangan patah semangat. Kegagalan pada hari ini pastinya akan memberikan seribu satu pengajaran, pengalaman dan hikmah untuk kita semua perbaiki bersama. Malaysia boleh!

Kredit gambar: PES Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.