in , , , ,

PES 2021 Season Update: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Pada Julai lalu, Konami telah mengumumkan bahawa mereka tidak mengeluarkan sebuah game penuh baharu untuk PES 2021, sebaliknya mereka akan melangkau semusim ini, memfokuskan pasukan mereka untuk PES 2022 yang dibangunkan khas untuk konsol generasi akan datang.

Untuk menggambarkan PES 2021, ia sudah pun tertera dalam judul rasminya sendiri iaitu ‘eFootball PES 2021 Season Update’. Senang cerita, ia merupakan sebuah game yang boleh dikatakan sama dengan PES 2020 — yang membezakannya hanyalah dengan kemaskini jersi serta barisan pemain dalam skuad untuk musim bola sepak 2020/2021.

Jadi, apakah berbaloi untuk membeli PES 2021 ini sekiranya sudah memiliki PES 2020? Semuanya bakal terjawab di akhir ulasan ini.

Gameplay Yang Sama

PES 2021 Season Update: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Dari segi gameplay, PES 2021 boleh dikatakan serupa 90 peratus dengan gameplay yang disajikan dalam PES 2020. Adalah beberapa penambahbaikan yang dilakukan, namun sekiranya tidak benar-benar memahami gameplay PES tahun lalu, korang mungkin tidak akan dapat rasai perbezaannya sama sekali.

Salah satu penambahbaikan sedikit yang diubah ialah bagaimana Konami telah mengurangkan kekerapan pemain berlanggar antara satu pemain dengan pemain lain, sama ada antara rakan sepasukan mahupun pemain lawan. Dalam kata lain, sistem perlanggaran yang lebih baik.

Kemudian, gameplay menggelecek juga terasa sedikit berlainan. Gerak gelecekan terasa lebih responsif, sedikit baik daripada PES 2020 yang terasa terlalu berat dan lembab.

Selain perbezaan yang penulis sebutkan di atas, tiada sebarang perubahan ketara yang dibawakan dalam PES 2021. Bagi yang tidak pernah bermain PES 2020, dan ingin mengetahui bagaimanakah bentuk gameplay ini, marilah kita imbas kembali gameplay PES 2020 (kerana serupa dengan gameplay PES 2021) secara ringkas.

PES 2021 Season Update: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Gameplay yang paling terasa bezanya apabila dibandingkan antara PES 2020/2021 dengan PES 2019 ialah menggelecek. Untuk yang terbaharu ini, tempo pergerakan menggelecek mungkin terasa lebih perlahan, namun pemain terasa lebih bebas melakukan gelecekan-gelecekan yang diigini kerana pergerakannya lebih lembut dan lebih sensitif.

Ya, menggelecek lebih seronok seperti yang dinyatakan di atas, tapi ia bukanlah bermakna bertambah mudah. Malah, ia sebenarnya menjadi bertambah payah kerana disebabkan tempo yang perlahan itulah membuatkan pertahanan pihak lawan lebih mudah membaca gerakan menggelecek. Dan inilah membuat penulis suka. Penulis sememangnya gemar untuk menggelecek, maka, gerakan yang lebih sukar ini membuatkan ia menjadi satu cabaran untuk belajar bagaimana untuk menumpaskan pihak lawan melalui gelecekan.

Melakukan hantaran (passing) juga mempunyai sedikit perbezaan. Setiap tahun, Konami akan cuba untuk mengurangkan keupayaan untuk melakukan hantaran-hantaran ping-pong — dan ia semakin ditambahbaik dalam PES 2021. Pemain kini akan cuba memperlahankan tempo permainan, yang sememangnya sudahpun perlahan, untuk membuat hantaran-hantaran yang lebih bijak dan licik berbanding hantaran pantas ping-pong.

Otak pemain juga akan bekerja lebih keras kerana penjaga gol dalam PES 2021 nampaknya semakin sukar untuk ditewaskan. Dari satu tahun ke tahun yang seterusnya, Konami akan sentiasa memperbaiki keupayaan penjaga gol untuk berada dalam situasi yang sukar untuk dibolosi, dalam masa sama mengekalkan permainan yang se-realistik mungkin. Dan tahun ini, Konami mengadunkannya dengan baik sekali.

Seperti yang telah penulis sebutkan tadi, perbandingan yang dinyatakan ini adalah antara PES 2021 dengan PES 2019. Kita tidak dapat membezakan gameplay antara PES 2020 dan PES 2021 kerana terlalu banyak persamaan.

Visual Sama, Tapi Ada Tambahbaik

Walaupun kita sudah diberitahu awal bahawa PES 2021 hanyalah Season Update, namun Konami ada bawakan sedikit penambahbaikan dari segi visual, terutamanya wajah dan penampilan pemain.

Bercakap soal rekaan model karakter, PES 2021 masih mengekalkan bentuk yang sama dengan PES 2020, yang mana kadang-kala penulis merasakan ia seakan-akan terlalu gemuk jika dibandingkan dengan pemain sebenar. Namun, walaupun sebahagian besar pasukan Konami sudah beralih terus ke pembangunan PES 2022, mereka tetap mengemaskini wajah dan rambut pemain yang terkini, terutamanya pemain-pemain tersohor seperti Antoine Griezmann, Neymar, dan lain-lain.

Masih Lagi eFootball

Konami masih lagi menggunakan perkataan ‘eFootball’ dalam judul rasmi PES 2021. Penulis tidak tahulah berapa tahun sebenarnya perancangan mereka untuk menggunakan istilah tersebut, tapi penulis harap yang ia akan dibuang secepat mungkin.

Penulis telah nyatakan isu ini dalam ulasan PES 2020 pada tahun lalu, dan penulis akan sebutkan juga dalam ulasan PES 2021 ini. Bermula tahun lepas, Konami telah menambah judul rasmi siri PES kepada ‘eFootball PES 2020’, dan ia diteruskan lagi untuk tahun ini. Malah, judul tahun ini jauh lebih panjang daripada tahun lepas — kini secara rasminya ialah ‘eFootball PES 2021 Season Update’.

Dalam satu temuramah pada tahun lalu, pengurus jenama Eropah PES, Lennart Bobzien berkata, “kami mahu meletakkan fokus lebih besar kepada esports untuk terus maju ke hadapan.” Kata-kata ini terserlah apabila pada tahun lalu mereka telah menukar mode PES League yang ada dalam beberapa siri PES sebelum ini, dijenamakan semula kepada ‘eFootball’.

PES 2021 Season Update: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Pada pandangan penulis, langkah meletakkan (baca: menukar) judul rasmi PES itu sebenarnya satu perkara yang tidak masuk akal. Ia seolah-olah mencemar tradisi sesebuah game yang sudah sekian lama dikenali sebegitu — tidak kiralah apa jua alasan yang digunakan.

Konami boleh saja memantapkan kempen esports mereka dengan menambahbaik mode dalam game, penganjuran yang lebih bersepadu serta promosi yang lebih meluas. Tidak perlu terlalu tryhard untuk memberitahu satu dunia bahawa siri PES kini ingin menggegarkan dunia esports dengan meletakkan ‘eFootball’ dalam judulnya.

Ia telah membuatkan para peminat semakin pening, menambahkan kekeliruan lagi terhadap penjenamaan game bola sepak Konami yang sering berbeza mengikut rantau pasaran: PES (seluruh dunia) dan Winning Eleven (Jepun).

Tak pernah dilakukan sebelum ini, secara tiba-tiba ada ‘eFootball’ pula di pangkal namanya. Jadi kalau dibaca penuh namanya, ia seolah-olah menjadi ‘eFootball Pro Evolution Soccer 2021 Season Update’. ‘Football’ pun ada, ‘Soccer’ pun ada dalam judulnya. Celaru.

Harap pada tahun hadapan, penulis tidak perlu lagi menulis tentang masalah judul ini lagi.

Pandang Ke Hadapan

Kalau bercakap soal PES 2021 secara spesifik, mungkin penulis boleh menyatakan banyak kekurangan. Namun, penulis suka dan puji pendekatan yang dilakukan oleh Konami pada tahun ini.

Penulis sebenarnya menyambut baik langkah Konami yang mengumumkan bahawa mereka akan memfokuskan kepada PES 2022 di konsol generasi seterusnya, meninggalkan Fox Engine dan beralih kepada enjin game terbaharu milik Epic Games, iaitu Unreal Engine 5. Daripada menghabiskan masa dan tenaga pasukan sepenuhnya untuk sebuah game dalam enjin yang lama, mereka telah memindahkan sebahagian besar pembangun mereka untuk terus kepada misi yang lebih besar.

Suka atau tidak, kita boleh katakan yang mereka tidak tamak dalam mengejar pengeluaran game bola sepak yang sejak azali dikeluarkan pada tiap-tiap tahun, sebaliknya mengenakan harga yang lebih murah untuk game yang mendapat sedikit kemaskini.

Penulis secara peribadi benar-benar tidak sabar menantikan apakah yang bakal Konami sajikan dalam PES 2022 melalui enjin baharu.

JDT

PES 2021 menandakan tahun kedua Johor Darul Ta’zim (JDT) dimasukkan secara rasmi ke dalam siri game bola sepak popular ini, selepas membuat penampilan pertamanya pada edisi tahun lalu.

Selain mengemaskini jersi baharu, Konami turut meletakkan wajah-wajah sebenar para pemain JDT di profil pemain. Ini bukanlah wajah pemain semasa bermain di atas padang, tetapi di menu-menu. Wajah pemain di atas padang masih lagi tidak serealistik pemain-pemain di kelab Eropah. Walaupun bukanlah satu penambahan yang signifikan, namun tetap boleh diraikan.

PES 2021 Season Update: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Kepada pemain tegar siri PES, sememangnya PES 2021 Season Update BOLEH BELI untuk korang. Terutamanya kepada pemain yang bermain PES secara kompetitif kerana segala kejohanan rasmi dan bukan rasmi akan beralih ke siri yang paling baharu. Tentunya, korang yang pemain tegar ini akan terasa jimat apabila tahun ini tidak perlu membelanjakan dengan harga sebuah game penuh, iaitu hanya RM116 untuk musim baharu PES.

Walau bagaimanapun, untuk pemain yang bermain PES secara kasual, PES 2021 Season Update mungkin BOLEH BLAH untuk korang. Dengan gameplay yang seakan sama, boleh dikatakan 90 peratus sama dengan PES 2020, korang mungkin boleh sahaja berehat pada tahun ini dan layankan sahaja PES 2020. Menantikan PES 2022 dengan enjin baharu, iaitu Unreal Engine dari Epic Games di konsol generasi seterusnya sudah tentu lebih berbaloi.

+ Misi lebih besar francais PES
+ Lebih murah

– Gameplay, grafik tiada perubahan signifikan
– Judul masih mengelirukan

Terima kasih WEPES Malaysia e.Football kerana menaja unit PES 2021 yang dimainkan oleh JomGaming. Korang boleh lawati Facebook mereka untuk ikuti perkembangan terkini komuniti PES tempatan.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
2 Game Baru dipersembahkan di Monster Hunter: Direct

2 Game Baru Diperkenalkan Di Monster Hunter Direct Untuk Nintendo Switch

Trailer Prolog Penuh Aksi Dan Gameplay Teknologi 'Braindance' Baru Cyberpunk 2077 Diperlihatkan

CD Projekt Red Keluarkan 2 Trailer Baru Cyberpunk 2077 – Berkenalan Dengan Geng-Geng Night City