Konami pada tahun ini cukup garang dalam mempertingkatkan pengalaman para pemain dalam siri bola sepak mereka, Pro Evolution Soccer.

Selain membawakan pelbagai lesen dan kandungan baru, serta gameplay yang menyegarkan — satu lagi pembaharuan yang begitu menonjol dalam PES 2020 ialah judul rasminya kini ialah ‘eFootball PES 2020’.

Pertukaran judul rasmi ini bukan saja-saja. Tapi, Konami akan memberikan nafas baru kepada kejohanan esports dalam PES 2020, yang mana kini dengan mudahnya digelar ‘eFootball’. Kejohanan eFootball ini terbahagi kepada dua, iaitu eFootball.Open dan eFootball.Pro.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan, eFootball.Open ini sebenarnya ialah penjenamaan semula kejohanan esports yang cukup dikenali dalam siri PES sebelum ini, iaitu PES LEAGUE. Seperti mana PES LEAGUE, ia boleh disertai oleh mana-mana pemain yang memiliki PES 2020, merupakan sebuah kejohanan 1v1. Mode PES LEAGUE dalam game pula kini diganti dengan mode yang diberi nama ‘Matchday’. Seperti tahun-tahun sebelum ini, dari mode ini akan ada Online Ranking yang kemudiannya akan diteruskan Regional Finals, seterusnya acara kemuncak World Finals.

eFootball.Pro pula ialah satu kejohanan yang cukup unik dan istimewa untuk musim ini. Ia merupakan kejohanan 3v3, yang mana pemain esports profesional akan mewakili kelab-kelab bola sepak sebenar dari Eropah. Konami akan mengumumkan pada masa akan datang tentang apakah kelab-kelab yang akan terlibat, namun, semestinya kelab-kelab yang akan menyertai ini pastinya kelab-kelab yang telah menandatangani kerjasama bersama Konami dalam PES 2020.

Kejohanan eFootball (kedua-dua Open dan Pro) akan menyajikan hadiah kemenangan terkumpul sebanyak USD2 juta (~RM8.42 juta). Kesemua kejohanan ini Konami akan bekerjasama dengan Esports Media Rights (EMR), sebuah syarikat esports yang mendapat suntikan dana daripada pemain Barcelona dan Sepanyol, Geard Pique.

Pemain dan peminat esports dalam PES semestinya tidak sabar bukan untuk musim baru bermula?

eFootball PES 2020 akan dilancarkan sepenuhnya pada 10 September 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!