Apa pembaharuan yang dibawakan ke dalam PES 2019? Apakah fungsi-fungsi yang masih dikekalkan? Jom baca reviu ini sampai habis – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Peningkatan Yang Tidak Ketara

Secara keseluruhan, apa yang ditawarkan dalam PES 2019 mempunyai peningkatan jika dibandingkan dengan PES 2018 yang dikeluarkan pada tahun lalu. Walau bagaimanapun, peningkatan tersebut adalah peningkatan yang tidak begitu ketara.

Dari segi gameplay dan game mode yang ada, PES 2019 menawarkan penambahbaikan yang cukup untuk membezakannya dengan PES 2018, manakala dari segi grafik, Konami sentiasa menawarkan peningkatan yang signifikan pada setiap tahun.

Gameplay Yang Lebih Mendalam

Jika diamati dalam 2, 3 perlawanan pertama, agak sukar untuk merasai perubahan yang dibawakan ke dalam PES 2019. Namun, semakin lama bermain game ini, semakin banyak pembaharuan yang ditemui.

Gameplaynya terasa sangat segar, lebih lancar dan lembut, tidak terasa statik dan berat dan yang paling penting, pergerakan pemain itu terasa sangat sensitif, membuatkan kita lebih mudah untuk melakukan apa yang benar-benar ingin kita lakukan. Senang cerita, ia langsung tidak terasa seperti PES ‘2018.5’, tetapi benar-benar menampilkan sebuah gameplay yang berbeza, dan layak dipanggil sebagai PES ‘2019’.

Pembaharuan gameplay yang paling dirasai ialah semasa permainan terbuka (open-play). Menggeleceknya lebih lancar, menggerakkan pemain tanpa bola (off the ball) lebih baik, hantaran (passing) lebih kemas, dan rembatan (shooting) tidak terasa overpowered (OP) — menjadikan ia sebuah gameplay yang terasa sangat mantap, berlainan dan memuaskan.

Perlu Belajar Semula

PES 2019 sememangnya membawakan satu gameplay yang sangat berbeza. Sampai satu tahap, korang akan terasa seperti perlu belajar semula apa yang pernah korang belajar daripada siri PES sebelum ini, walaupun adalah seorang pemain tegar siri ini yang selama ini sudah tahu tentang selok-beloknya.

Shooting, menggelecek, crossing, tandukan, cara menyerang, cara bertahan — semuanya terasa segar.

Membincangkan lebih lanjut tentang gameplay PES 2019, perkara pertama yang ingin penulis tekankan di sini ialah bagaimana Konami menyeimbangkan (balancing) kelajuan larian kepada setiap pemain. Setakat ini, setelah mencuba pelbagai pasukan yang ada dalam game ini, penulis tidak menemui mana-mana pemain yang kelajuan lariannya terlalu OP.

Senang kata, korang pakailah Mo Salah ke, Lionel Messi ke, Cristiano Ronaldo ke, Kylian Mbappé ke, Sergio Aguero ke — semuanya boleh dikejar oleh kebanyakan pemain pertahanan sekiranya korang pandai untuk menggunakannya. Jadi, kalau bola yang sedang korang kawal dirampas oleh pemain lawan atau perangkap ofsaid korang tidak menjadi, korang masih ada peluang untuk recover.

Disebabkan penyerang yang telah dikurangkan kekuatannya ini (nerf) yang memudahkan pertahanan untuk mengejarnya, ia memberikan cabaran yang baru kepada korang semasa menyerang.

Tiada lagi taktik di mana pemain akan menolak bola sejauh mungkin dan kemudian berlari meninggalkan pemain pertahanan yang perlahan lariannya. Tiada lagi pemain pertahanan yang mudah tercicir.

Secara tak langsung, daripada kelajuan larian yang tidak OP ini, kemahiran menggelecek untuk pemain yang sedang menyerang perlu lebih ditagih. Bukan lagi era di mana pemain menyerang boleh menggelecek dengan hanya spam larian semata-mata.

Shooting Baru Harus Dipuji

Seperti juga penambahbaikan untuk teknik bertahan/menyerang, shooting dalam PES 2019 juga membawakan mekanik yang lebih padu dan tiada lagi sepakan yang terlalu dijangka (preditable). Lebih banyak detik-detik rawak (randomness) seperti dalam bola sepak sebenar.

Teknik sepakan, gerak badan, sudut sepakan, dan keseimbangan badan semasa membuat shooting perlu diambil kira dengan lebih teliti. Pernah banyak kali, situasi satu-lawan-satu dengan penjaga gol, penulis tidak dapat menterjemahkannya kepada jaringan, sesuatu yang wajib gol dalam PES 2018, tapi tidak untuk PES 2019.

Apabila sukar untuk menjaringkan, dan apabila dapat menjaringkannya, satu kepuasan yang tidak ternilai akan dirasai. Ditambah pula dengan animasi jaring gol yang ditambahbaik dengan lebih realistik apabila bola menerjah gawang, membuatkan satu-satu jaringan melalui rembatan yang padu akan membuatkan korang melompat kegembiraan.

Sistem Set-Piece Yang Masih Sama

Di sebalik gameplay open-play mantap yang penulis sebutkan di atas, permainan set-piece boleh dikatakan menggunakan sistem dan mekanik yang sama sahaja dengan siri tahun lalu. Cara pemain off-the-ball membuat larian apabila sepakan percuma/sudut diambil, cara membuat sepakan lencong, dan beberapa mekanik lain — semuanya dikekalkan.

Bagaimana para pemain untuk menerima permainan set-piece yang sama ini, bergantung kepada harapan masing-masing. Maksudnya, ada pemain yang sudah sukakan mekanik sepakan percuma dan sepakan sudut yang ada dalam PES 2018 — dan membawakannya semula ke dalam PES 2019 adalah sesuatu yang menggembirakan mereka.

Manakala, ada juga pemain mahukan pembaharuan pada setiap tahun untuk sistem dan mekanik permainan set-piece. Maka, mungkin sebahagian pemain ini akan kurang gemar dengan pengekalan yang sama ini.

Bagi penulis secara peribadi, penulis lebih sukakan sistem dan mekanik permainan set-piece yang sama dengan PES 2018. Berbeza dengan permainan set-piece yang ditawarkan dalam PES 2017 dan ke bawah, yang boleh dikatakan terlalu kompleks untuk difahami.

Game Mode Yang Tidak Berganjak

PES 2018 pada tahun lalu memberikan kita satu kejutan dalam senarai game mode yang ditawarkan. Konami memperkenalkan Random Selection Match. Sehingga kini, mode ini adalah antara mode yang paling selalu penulis mainkan.

Walau bagaimanapun, tahun ini, dari segi mode yang dibawakan, ia agak hambar. PES 2019 lebih fokus kepada gameplay agak kurang menggilap mode yang ada.

Ya, ada jugalah serba sedikit pembaharuan yang disajikan ke dalam Master League dan myClub, tetapi kebanyakan daripadanya masih lagi ditakuk lama. Ia belum cukup untuk menarik perhatian penulis untuk kekal bermain mode tersebut dalam tempoh waktu yang lama.

Undur Satu Langkah Ke Belakang

Kalau korang seorang pemain tegar siri PES, pastinya korang tahu bagaimana seksanya apabila pada suatu ketika dulu Konami hanya membuka server online-nya kepada pemain yang berada dalam rantau yang sama sahaja, atau dalam terma mudahnya, region lock.

Kepada korang yang tidak tahu apa itu region lock, contohnya begini. Kalau korang membeli PES (PS4) dengan region R3 (Asia), dan korang mempunyai rakan yang membelinya pula dengan region R2 (Eropah), korang tidak boleh main online bersama kerana server yang dibuka untuk kedua-dua game ini adalah berbeza.

Namun, era gelap ini telah “berakhir” pada tahun 2015 apabila Konami telah membuka server ini kepada semua pemain, tidak mengira region mana yang dimainkan. Bermakna, korang boleh melawan dengan mana-mana pemain dari mana-mana pelusuk dunia. Selama 3 tahun itu — iaitu dalam PES 2016, PES 2017 & PES 2018 — kita semua telah percaya bahawa Konami telah meninggalkan zaman region lock itu dan tidak akan mengulanginya lagi. Ternyata, kita semua silap.

Konami sekali lagi datang dengan pe’el lamanya semula. Untuk PES 2019, igauan region lock kembali menghantui para pemain. Amat mengejutkan.

Tak perlulah penulis ulas panjang lebar tentang tindakan ini kerana ia sememangnya satu keputusan yang kurang bijak, mengundurkan siri PES kembali satu langkah ke belakang. Berubahlah, Konami.

3 server yang ditawarkan unuk region R3 (Asia).
Server yang lebih banyak dibuka untuk region R2 (Eropah).

Patch & PES

Seperti kebiasaan, siri PES bukanlah sebuah video game bola sepak yang sempurna dengan kelab-kelab berlesen. Juga seperti tahun-tahun sebelum ini, pemain di PC dan PS4 boleh menghias semula PES 2019 dengan patch yang disediakan oleh komuniti.

Kalau korang nak tahu macam mana nak dapatkan patch-patch ini, nantikan artikel susulan daripada JomGaming.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Saban tahun, siri PES semakin lama semakin mendekatkan dirinya kepada bola sepak sebenar dengan gameplay yang bertambah realistik. Sekiranya korang mahukan sebuah video game bola sepak yang menawarkan gameplay di atas padang yang cukup memuaskan, PES 2019 adalah game BOLEH BELI untuk korang.

Beberapa fungsi dan mode dalam PES 2019 masih lagi berada di takuk yang lama, lebih-lebih lagi kontroversi region lock yang kembali memberi penyeksaan kepada para pemain. Sekiranya korang mempunyai citarasa gameplay di atas padang yang berbeza, dan mahukan pembaharuan yang besar kepada mode-mode yang ada, PES 2019 adalah BOLEH BLAH untuk korang.

+ Permainan terbuka (open-play) yang lebih menghiburkan
+ Passing yang lebih kemas
+ Shooting tidak OP
+ Kelajuan larian pemain yang lebih masuk akal

Set-piece tiada pembaharuan
Mode-mode yang masih ditakuk lama
Kembalinya region lock untuk server online

Terima kasih YC Games Station (Kuala Lumpur) & Kuppy Station (Terengganu) kerana menaja unit reviu PES 2019 untuk JomGaming.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.