Arena bola sepak dunia kini kecoh dengan drama perpindahan Neymar. Selepas berdiam diri buat beberapa lama, Neymar akhirnya membuka mulut, melalui laman rasmi Instagram-nya, seterusnya mengesahkan yang beliau bakal berpindah dari FC Barcelona ke Paris Saint-Germain F.C. (PSG).

Berita terbaru ini pastinya memberikan tamparan yang cukup besar buat Konami, terutamanya kepada video game bola sepak yang bakal mereka lancarkan pada bulan hadapan, PES 2018.

Pada bulan Mei lalu, Konami telah memperkenalkan PES 2018 buat kali pertama. Mereka telah mendedahkan bahawa sama seperti edisi sebelumnya, FC Barcelona sekali lagi akan menghiasi muka hadapan untuk PES 2018. Ironi sekali, Neymar diletakkan di hadapan sekali, bersama-sama dengan empat pemain Barcelona yang lain, dan semestinya memakai jersi kelab dari Catalan itu.

Seperti terkena sumpahan, tiga bulan selepas ia mengumumkan muka hadapan itu, dan sebulan sebelum game ini dilancarkan sepenuhnya, Neymar telah mengesahkan untuk meninggalkan Barcelona, dan menyertai PSG. Konami yang kini sedang sibuk mempromosikan PES 2018 dalam World Tour di negara-negara Amerika Selatan pastinya sedang mengalami kesukaran. Mempromosikan sebuah game yang muka hadapannya ada pemain yang memakai jersi “kelab yang salah”.

Segilintir pemain mungkin menganggap isu ini adalah sesuatu yang tak perlu diperbesarkan. Namun, bagi sebilangan besar pembeli game bola sepak atas pagar, yang tidak tahu mahu memilih video game bola sepak yang mana untuk tahun ini, ia sesuatu yang sangat penting. Mereka pasti tidak mahu membeli sebuah game yang tidak up to date.

Pesaing Konami sejak azali, EA Sports pula nampaknya cukup bijak dalam mengendalikan situasi ini, atau mungkin boleh kita katakan FIFA 18 sedang memerli PES 2018.

EA Sports FIFA di laman-laman sosial rasmi mereka telah memuatnaik sebuah video pendek, memperkenalkan Neymar sebagai salah seorang pemain baru PSG. Apa yang cukup membuatkan situasi ini hangat adalah Neymar diletakkan di bahagian hadapan bersama empat pemain PSG yang lain – sama seperti kedudukan Neymar dalam muka hadapan PES 2018. Apa yang membezakannya? Video ini, Neymar memakai jersi PSG, dan bukan “kelab yang salah”.

Bijak, cukup bijak EA Sports.

Mungkin satu-satu perkara dalam keadaan sekarang yang boleh membuatkan Konami boleh menarik nafas lega adalah muka hadapan PES 2018 yang mereka akan tampilkan di pasaran Eropah. Mereka sebelum ini telah mendedahkan bahawa muka hadapan PES 2018 untuk pasaran Eropah adalah Luis Suarez secara solo. Pasti Konami kini sedang berdoa agar Suarez tidak pulang semula ke Liverpool. Ehem.

Buat masa ini, Konami kelihatan seperti agak tenang (yeke tenang?), dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap isu perpindahan Neymar dan muka hadapan PES 2018. Pada hemat penulis, untuk menukar muka hadapan sesebuah game yang hanya akan dilancarkan kira-kira sebulan lagi adalah seperti sesuatu yang mustahil. Maka, bertabahlah Konami untuk tempoh setahun akan datang dalam mempromosikan sebuah game yang muka hadapannya “salah”.

Atau mungkin Konami akan melakukan sesuatu di minit-minit terakhir? Sama seperti apa yang Barcelona lakukan kepada PSG di kancah UEFA Champions League musim lalu?

Apa pendapat korang?

PES 2018 akan dilancarkan sepenuhnya pada 14 September 2017 di PS4, PS3, Xbox 360, Xbox One dan PC.

Manakala, FIFA 18 pula akan dilancarkan di PC, PS4, Xbox One, PS3, Xbox 360 dan Nintendo Switch pada 29 September 2017.

JomBaca: Konami Lancarkan Trailer PES 2018 Terbaru, Fokus Kepada Liga Dan Pasukan Kebangsaan Argentina

JomKomen!