Sejak tahun 2016, PES Malaysia telah hadir menjadi sebuah pertubuhan yang menyatukan komuniti Pro Evolution Soccer (PES) tempatan.

Sepanjang penubuhan PES Malaysia, mereka telah bekerjasama bersama ramai pihak terutamanya dengan pihak Konami secara rasmi serta menjadi penghubung kepada komuniti-komuniti dari negara Asia Tenggara yang lain. Melalui kerjasama ini, PES Malaysia telah membawa ramai pemain PES terbaik tanah air bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Langkah yang digunakan PES Malaysia untuk memilih pemain wakil negara adalah dengan memperkenalkan ranking di PESMalaysia.com yang mana matanya dikumpul melalui penyertaan pelbagai kejohanan tempatan sepanjang musim.

Terbaru, Syed Afif Hakimi, Setiausaha Esports Malaysia Terengganu, melalui satu post di Facebook telah mendedahkan surat rasmi daripada PES Malaysia yang diterima oleh dua pasukan esports PES tempatan dan dua individu terhadap pengharaman mereka daripada mengumpul mata dalam ranking yang dikendalikan oleh PES Malaysia.

Syed Afif Hakimi, Setiausaha Esports Malaysia Terengganu.

Pasukan esports/individu yang diharamkan ini ialah seperti berikut:

  • NeST Gaming (pasukan)
  • RoKu e-Sports Team (pasukan)
  • Tengku Effy Tengku Ismail (individu)
  • Azri “Jepon” (individu)
Sebahagian pemain NeST Gaming. Sumber gambar.
Sebahagian pemain RoKu e-Sports Team. Sumber gambar.
Azri “Jepon”. Sumber gambar.
Tengku Effy Tengju Ismail (kanan). Sumber gambar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PES Malaysia, pihak-pihak ini telah berkelakuan tidak sopan dengan mengeluarkan ucapan-ucapan kebencian dan mempromosikan kebencian terhadap PES Malaysia. Mereka dikatakan bukan sahaja telah cuba memburukkan nama PES Malaysia, malah melakukan provokasi bagi mengajak pihak lain melakukan perkara sama.

PES Malaysia menegaskan bahawa ia adalah polisi mereka untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat dalam kalangan komuniti PES Malaysia.

Pengharaman pihak-pihak ini untuk mengumpulkan mata berkuat kuasa serta-merta. PES Malaysia menjelaskan pengharaman ini akan berjalan sepanjang musim PES 2020, manakala setibanya musim PES 2021, mereka akan mengkaji semula sama ada pengharaman itu akan diteruskan ataupun tidak.

PES Malaysia turut menegaskan bahawa mereka tidak dilarang untuk menyertai mana-mana kejohanan yang disahkan oleh PES Malaysia. Maknanya, sekiranya mereka cemerlang dalam sesuatu kejohanan, tiada masalah untuk membawa pulang hadiah yang ditawarkan (wang tunai, pingat, dll). Namun, sekiranya mereka berjaya mencapai kedudukan 8 terbaik (top 8) dalam kejohanan tersebut, mereka tidak akan mendapat mata dalam ranking keseluruhan PES Malaysia.

PES Malaysia mengakhiri kenyataan tersebut dengan mengatakan walaupun mereka berasa sedih untuk melarang pemain-pemain berbakat ini daripada mendapatkan mata, ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk mewujudkan satu persekitaran yang profesional.

Apa yang mendukacitakan sesetengah komuniti, menurut Syed Afif Hakimi, ialah bagaimana pengharaman ini telah melarang pemain-pemain bintang yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada arena PES serantau, terutamanya Tengku Erwan, yang merupakan salah seorang pemain dalam NeST Gaming. Siapa yang mengikuti rapat arena PES tempatan semestinya cukup mengenali pemain tersohor Tengku Erwan — mewakili Malaysia ke PES SEA Finals sebanyak empat tahun berturut-turut.

Ahmad Yazid Abd Rahman, Pengarah PES Malaysia.

Ketika dihubungi JomGaming, pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman mengatakan apa yang dinaikkan di post Facebook yang tular itu hanyalah satu halaman daripada tiga halaman keseluruhan kenyataan yang dikeluarkan oleh PES Malaysia. Di halaman kedua dan ketiga, pihak PES Malaysia ada meletakkan bukti bagaimana dan mengapa pihak mereka telah membuat keputusan pengharaman tersebut.

Dengan izin PES Malaysia, kami lampirkan halaman kedua dan ketiga daripada kenyataan rasmi PES Malaysia yang tidak dinaikkan di Facebook Syed Afif Hakimi, yang mana ia memaparkan beberapa komen yang dianggap PES Malaysia sebagai komen yang tidak profesional.

Kami turut sempat menemui Shaharil “Chibikun” Shaifuddin Shaharuddin, Pengurus Perhubungan Awam NeST Gaming, untuk mendapatkan reaksi pasukan mereka selepas diharamkan dalam isu ini. Ini kata beliau:

Shaharil “Chibikun” Shaifuddin Shaharuddin, Pengurus Perhubungan Awam NeST Gaming.

“Kami dari keluarga NeST terkejut dengan keputusan dibuat oleh PES Malaysia berkenaan isu pengharaman sistem mata bagi mewakili negara jika ada pertandingan di luar negara. Walau bagaimanapun, sememangnya segala keputusan adalah hak penganjur atau PES Malaysia sendiri dan kami menghormati keputusan tersebut.

Saya berpendapat kita harus melihat isu pokok iaitu kritikan dan cadangan dari pihak komuniti, isu yang dibangkitkan adalah pada Jun lepas, yang pada hemat saya tidak relevan untuk membuat keputusan menyenarai hitam pasukan NeST dan beberapa entiti.

Untuk rekod NeST mempunyai beberapa pemain yang pernah mewakili negara dan mempunyai rekod cemerlang di peringkat domestik. NeST Erwan misalnya telah mewakili negara dalam 4 tahun berturut-turut serta NeST Zainul yang memberi saingan sengit setiap kali kejohanan berlangsung. Ini sememangnya akan membantutkan kualiti saingan pada masa akan datang.

Sebagai pasukan PES yang aktif di Malaysia, kami berharap isu ini tidak dipanjangkan dan bersedia untuk menghadapi musim 2020 dengan kejohanan yang juga akan dianjurkan oleh pihak WEPES Malaysia e.Football.”

Kami di JomGaming sebagai pemerhati dan pencinta arena PES tempatan berharap agar kedua-dua belah pihak boleh menemui jalan tengah yang lebih baik. Kedua-dua pihak memerlukan antara satu sama lain kerana pertubuhan dan komuniti ini umpama nakhoda dan anak-anak kapal yang harus sama-sama melayarkan bahtera di lautan yang bergelombang.

Sama ada kita mahu berselindung ataupun tidak, sesiapa yang berada dalam komuniti PES tempatan semestinya sudah masak dengan drama dan konflik antara dua pihak ini yang berlarutan sejak beberapa tahun belakangan ini. Apa sebenarnya jalan penyelesaian kepada kisah yang tidak berkesudahan ini? Kami sebagai pemerhati semakin lama semakin letih melihatnya.

Apa pandangan korang sebagai komuniti? Apakah tindakan PES Malaysia ini terlalu keras dan terburu-buru; atau korang merasakan komen-komen yang dikeluarkan oleh mereka yang dikenakan hukuman itu sememangnya tidak profesional?

1 komen

JomKomen!