Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang cukup lantang dalam mengangkat dan melindungi hak-hak pengguna.
Terbaru, dalam satu post Facebook yang dikeluarkan, PPIM menyuarakan tentang bagaimana bahayanya loot box dalam sesetengah video game, yang mana mereka sifatkan sebagai mengandungi unsur “perjudian dalam diam”.
“Bagi pemain game, pasti sinonim dengan loot box, di mana pemain membuat pembelian dengan menggunakan wang sebenar walaupun isi kandungannya tidak diketahui dan hanya bergantung kepada nasib,” kata kenyataan PPIM itu. “Paling parah ia melibatkan anak muda dan kanak-kanak.”
Bagi mereka yang mengikuti rapat industri gaming, pasti sudah cukup tahu tentang bagaimana elemen loot box ini sudah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak di Eropah yang diberikan kepada penerbit dan pembangunan video game untuk membuang unsur perjudian ini.
Negara yang paling lantang menentang elemen loot box ini adalah Belgium. Sejak tahun 2017 lagi, kerajaan Belgium telah mengesahkan bahawa sistem loot box yang ada dalam Star Wars Battlefront II dan Overwatch adalah satu bentuk perjudian. Pada awal tahun 2019 lalu, FIFA 19 (FIFA Points) dan PES 2019 myClub Coins) telah membuang jualan matawang dalam game yang menggunakan wang sebenar di Belgium.
Kami di JomGaming berpendirian teguh dalam isu ini: tidak salah untuk membawakan pembelian menggunakan wang sebenar dalam game (microtransactions), selagi pemain tahu dengan jelas apakah yang akan mereka dapati daripada pembelian tersebut. Senang kata, apa yang pemain nampak, itulah yang mereka akan dapat. Malah, pembelian item-item ini, sekiranya tiada elemen loot box, merupakan salah satu cara untuk menyokong pembangun video game tersebut.
Namun, ia menjadi masalah apabila pemain membeli menggunakan wang sebenar, kemudian membuka loot box yang kita tidak tahu apakah item yang bakal kita dapati daripadanya. Atau dalam kata lain, kita hanya bergantung kepada nasib. Aktiviti ini jelas merupakan sebuah bentuk perjudian.
Perbuatan ini, apabila pemain tidak dapat apa yang mereka ingini dairpada loot box tersebut, mereka akan menambah perbelanjaan untuk terus berharap agak mereka dapat item yang mereka idamkan — seterusnya membawa kepada ketagihan dan pembaziran.
Comments
Loading…