Selain sedang menikmati tayangan siri tv di Netflix, peminat francais The Witcher kini boleh tersenyum kerana ada satu lagi berita positif yang baru kita terima.
Pencipta dan penulis siri novel The Witcher, Andrezej Sapkowski telah mengumumkan perjanjian terbaru bersama studio pembangun video game, CD Projekt Red — sekaligus menamatkan pertikaian terhadap pampasan yang timbul pada tahun lalu.
Kedua-dua pihak ini telah mengumumkan perkara ini semalam, dengan mengatakan mereka “telah memasuki satu perjanjian yang memperkuat dan mengukuhkan hubungan [CD Projekt Red] dengan Encik Andrezej Sapkowski — penulis saga The Witcher.”
Mereka walau bagaimanapun tidak mendedahkan apakah bentuk perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak ini. Namun, mereka menegaskan bahawa perjanjian terbaru ini “memuaskan dan sepenuhnya menjelaskan keperluan dan ekspektasi kedua-dua belah pihak terhadap perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.”
Perjanjian ini sekaligus mengesahkan semula CD Projekt Red sebagai pemegang lesen yang dibenarkan membangunkan video game, novel grafik, board game dan cenderahati berdasarkan harta intelektual The Witcher.
Pada Oktober 2018, Sapkowski menuntut pampasan tambahan daripada CD Projekt Red selepas melihat kejayaan yang dicapai oleh pembangunan video game The Witcher, terutamanya The Witcher 3: Wild Hunt. Penulis novel itu menuntut 6 peratus daripada keuntungan yang diperoleh daripada CD Projekt Red.
CD Projekt Red sebelum ini menyatakan tuntutan tersebut adalah tidak berasas kerana ia bukanlah seperti apa yang telah mereka persetujui sebelum ini. CD Projekt Red pada asalnya ingin menawarkan sistem royalti kepada Sapkowski, namun penulis itu menolak dan hanya mahu menerima bayaran sekali sahaja (one-time payment).
Sapkowski pernah mengakuinya sendiri ia merupakan satu tindakan yang bodoh apabila tidak menerima sistem royalti kerana beliau tidak percaya bahawa industri video game akan mampu mengangkat The Witcher sejauh ini, seperti apa yang telah dicapai oleh CD Projekt Red. Apabila sudah melihat kejayaan ini, beliau menuntut pula pampasan tambahan.
Comments
Loading…