Jaga-jaga kepada mereka yang suka bermain cheat codes, anda mungkin terdedah kepada jenayah siber!

Sumber gambar.

Di sebalik bermain, menikmati dan menghayati jalan cerita dan perkembangan sesebuah video game, masih lagi terdapat gamers di luar sana yang lebih gemar menggunakan cheat codes dan modding dalam mempercepatkan untuk menghabiskan game tersebut.

Mengapa mereka melakukan sedemikian, sukar untuk dipastikan. Mengapa perlu menggunakan segala cheat codes ini, sedangkan anda boleh menelusuri dunia yang terdapat dalamnya serta mendalami watak yang terdapat dalam game itu, ya tak?

Laman web dan forum yang menyediakan cheat codes dan modding untuk gamers ini dikatakan sedang memudahkan para pemuda dan kanak-kanak untuk membangunkan skil jenayah dan terlibat dengan penggodaman chat rooms – benar atau tidak? Sekurang-kurangnya itulah apa yang dilaporkan oleh Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) di United Kingdom (UK), menurut laporan CNBC.

Menurut laporan tersebut, langkah-langkah yang telah disediakan dengan mudah untuk melakukan Remote Access Trojan (RAT) malware programs dan serangan distributed denial-of-service (DDoS) membantu memudahkan jenayah siber untuk dilakukan.

Laporan itu disimpulkan daripada perbualan yang dilakukan oleh NCA dengan pemuda-pemuda British yang melakukan jenayah-jenayah siber ini – di mana NCA telah mengesan perasaan untuk “menamatkan sesuatu cabaran” dan “membuktikan dirinya kepada rakan-rakan”, sebagai kunci motivasi kepada pemuda-pemuda ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa ramai daripada pemuda ini sebenarnya tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah suatu jenayah. Ia turut menyatakan bahawa satu pertiga (35 peratus) daripada mereka akan kagum sekiranya seorang rakannya mampu untuk menggodam laman web sebuah bank.

Bagaimana untuk atasi masalah ini? Kenal pasti skil-skil yang dimiliki oleh gamers muda ini dan bawa mereka untuk bekerja dalam industri gaming. Ya, itulah yang dicadangkan oleh laporan NCA ini.

“Masih ada nilai yang besar dalam mendekati pemuda ini sebelum mereka terlibat dalam jenayah siber, apabila skil mereka mampu dialihkan kepada kebaikan,” kata ketua pasukan Unit Pencegahan Jenayah Siber Kebangsaan UK.

“Tujuan penilaian ini adalah untuk memahami jalan yang telah mereka ambil, dan kenal pasti cara campur tangan paling berkesan untuk mengalih mereka ke jalan yang lebih positif. Ia dengan mudah boleh memperlihatkan peluang dalam coding dan pengaturcaraan (programming), atau pekerjaan dalam industri gaming dan siber, di mana ia masih memberikan mereka perasaan untuk pencapaian dan penghormatan yang mereka cari.”

Jadi, sekiranya anda seorang gamers yang suka menggunakan cheat codes dan modding dalam mana-mana video game, kemudian terasa diri anda sudah mula pergi ke arah jenayah siber, lebih baiklah anda alihkan skil itu kepada sesuatu yang lebih positif. Harus bertindak pantas sebelum nasi menjadi bubur.

Majulah gaming untuk negara!

JomKomen!