Pengarah game Rainbow Six Siege, Leroy Athanassoff, bercita-cita untuk melihat game shooter kompetitif popular Ubisoft itu bertukar menjadi sebuah game percuma untuk dimainkan untuk semua (free-to-play).
Bercakap kepada PC Gamer, Athanassoff telah ditanyakan sama ada adakah suatu hari nanti game itu akan menjadi percuma, dan jawapan beliau mungkin akan mengejutkan ramai. Secara peribadi, beliau mahukan game itu menjadi percuma dan percaya bahawa kebanyakan individu yang ada dalam pasukan pembangunan game itu turut berhasrat sama.
“Ia merupakan keputusan syarikat,” kata Athanassoff. “Saya fikir pasukan pembangunan juga mahukannya pada suatu hari nanti. Kami mahukan game ini dapat diakses oleh semua.”
Beliau menegaskan bahawa menjadikan Siege percuma untuk dimainkan bukanlah semudah dengan hanya mengubah tanda harga. “Kamu perlukan fungsi tetap tersedia utnuk menjadi game percuma yang bagus dan berjaya.”
Salah satu fungsi bagus yang perlu ada, kata beliau, ialah solusi untuk mengekang kegiatan smurfing. Bagi yang tidak tahu, smurfing merupakan amalan mencipta akaun baharu yang berada di level rendah dan kemudiannya bermain (baca: membuli) pemain yang baru sahaja (atau kurang handal) memulakan game itu.
Athanassoff menyatakan lagi bahawa smurfing mewujudkan satu persekitaran yang tidak adil kepada pemain dan harus dicegah sekeras-kerasnya. Pada ketika ini, Ubisoft sudah menjalankan beberapa solusi untuk mengesan dan menghalang smurfing, namun ia masih belum berkesan sepenuhnya. Mereka akan terus memperbaiki fungsi tersebut supaya aktiviti tidak bertanggungjawab itu dapat dikurangkan dengan lebih signifikan.
Pada pandangan penulis, dari aspek kewangan, Siege tidak mempunyai masalah untuk pergi ke arah free-to-play kerana pada ketika ini mereka sudahpun membawakan pelbagai pembelian dalam game yang boleh menjana pendapatan yang kukuh — antaranya seperti pelbagai skin kosmetik untuk Operator dan senjata, serta model jualan battle pass.
Sekiranya Siege berjaya menukar game itu menjadi percuma untuk dimainkan oleh semua pemain, pastinya ia akan menjadi tamparan hebat kepada Counter-Strike: Global Offensive. Game shooter yang dibangunkan Valve itu telah berusia enam tahun ketika ia menjadi free-to-play pada tahun 2018. Melihat kenyataan awal Athanassoff ini, Siege yang kini memasuki tahun kelimanya mampu melangkah ke arah yang sama.
Comments
Loading…