Adaptasi dari game ke live-action sering menghasilkan satu karya yang mengecewakan. Namun, selepas apa yang kita lihat daripada siri The Witcher di Netflix, ia sememangnya boleh dibikin dengan kualiti apabila caranya betul.

Kita boleh berhujah bahawa The Witcher yang disajikan Netflix mengadaptasi terus dari novel tulisan Andrzej Sapkowski, tetapi kita tidak boleh nafikan bagaimana siri video game yang dibangunkan CD Projekt Red telah mempengaruhi sedikit sebanyak siri Netflix itu.

Baru-baru ini, Twiiter GamesIndustry telah bertanyakan kepada para pengikut tentang apakah francais game lain yang layak untuk dibikin menjadi sebuah adaptasi live-action di Netflix. Cory Barlog, pengarah God of War telah memetik tweet tersebut dan menjawab “God of War”.

Selepas melihat ramai yang teruja dengan jawapan beliau dan ramai juga yang beranggapan bahawa ia seolah-olah memberikan petanda bahawa game itu akan diadaptasi, Barlog dengan pantas memberikan penjelasan lanjut. Katanya:

“Walau bagaimanapun, ini bukan petanda atau apa-apa. Saya hanya yakin yang game akan menjadi siri TV yang bagus kerana kamu meluangkan banyak masa dengan karakter dalam dunia yang mengagumkan. Game, seperti TV, adalah seperti perhubungan dengan karakter-karakter, di mana filem adalah seperti satu temujanji. Kedua-duanya boleh menjadi hebat.”

Setelah melihat kejayaan yang dicapai The Witcher, walaupun baru hanya satu musim, pastinya banyak francais game sudah memikirkan untuk turut mengikuti jejaknya. Kalau bukan God of War, game lain apa lagi yang sesuai dijadikan siri TV?

JomKomen!