Dapat pujian melambung.
Minggu lalu, kita telah disajikan dengan satu filem pendek Uncharted rekaan peminat (fan-made) yang cukup mengagumkan. Rata-rata penonton yang menyaksikan filem pendek ini sukakannya kerana ia membawakan pelbagai elemen Uncharted dengan baik serta lakonan mantap daripada Nathan Fillion.
Video berdurasi 15 minit itu pastinya turut mendapat perhatian pengarah filem rasmi Uncharted yang kini sedang dalam produksi. Bercakap kepada Bad Taste (via GameRant), Shawn Levy menyatakan yang filem pendek tersebut merupakan sebuah hasil yang menakjubkan dan penuh dengan kejutan. Beliau turut memuji pengarahnya, iaitu Allan Ungar, dengan berkata filem itu diarah dengan baik dan sangat melucukan.
Sebelum ini, pencipta siri Uncharted serta Naughty Dog juga telah memuji filem pendek ini.
Filem pendek tersebut merupakan karya yang sangat menghiburkan. Plot utama atau harta karun yang ingin dicari oleh Nathan Drake pada kali ini ialah harta karun yang terdapat dalam kapal Flor de la Mar, kapal yang mengangkut segala harta yang mereka dapati di Kota Melaka selepas Portugis menjarah kota pelabuhan Empayar Kesultanan Melayu yang agung itu.
Filem rasmi Uncharted pula kini sedang dalam produksi. Ia akan membawakan kepada kita Nathan Drake yang muda dan watak ikonik ini bakal dilakonkan oleh aktor terkenal Spider-Man, Tom Holland.
Comments
Loading…