Pengarah Assassin’s Creed Valhalla Tarik Diri Selepas Tuduhan Hubungan Sulit Dengan Peminat

Di kala pembangunan Assassin’s Creed Valhalla sedang sibuk untuk pelancarannya pada hujung tahun ini, Ubisoft kini terpalit dengan kontroversi.

Pengarah kreatif untuk Assassin’s Creed Valhalla, Ashraf Ismail telah menarik diri daripada pembangunan game tersebut selepas timbul dakwaan yang mengatakan beliau terlibat dengan hubungan sulit bersama seorang peminat muda.

Ashraf mengumumkan penarikan diri ini melalui akaun Twitternya. Walau bagaimanapun, ketika menulis artikel ini, beliau telahpun menutup akaun tersebut. Ini apa yang telah diperkatakan beliau, lapor Polygon:

“Saya menarik diri daripada projek kesayangan saya ini untuk menyelesaikan secara baik isu peribadi dalam hidup saya. Kehidupan saya dan keluarga saya telah berkecai. Saya memohon maaf kepada semua yang tersakiti dalam hal ini.”

Ini pula kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ubisoft kepada Polygon:

“Ashraf Ismail telah menarik diri daripada projek ini untuk mengambil cuti. Pasukan pembangunan tetap komited untuk menyampaikan sebuah game yang bagus dalam Assassin’s Creed Valhalla.”

Daripada tweet yang didedahkan oleh @matronedea, beliau mengatakan yang beliau menjalin hubungan bersama Ashraf dalam keadaan beliau tidak tahu bahawa Ashraf sudah berkahwin. Apabila mengetahui yang Ashraf sedang curang terhadap isterinya, @matronedea, menurutnya, telah meninggalkan Ashraf.

Ashraf turut dikatakan meminta @matronedea untuk memadamkan tweet pendedahan tersebut, tetapi tidak dilayannya.

Apa pun berlaku kepada pengarah kreatifnya, pembangunan Assassin’s Creed Valhalla tetap berjalan mengikut jadual, sekurang-kurangnya itu apa yang dikatakan oleh Ubisoft.

Assassin’s Creed Valhalla akan dilancarkan pada penghujung tahun ini untuk PC, PS4, PS5, Xbox One dan Xbox Series X.

JomKomen!