Sama ada korang percaya ataupun tidak, aku tak pernah habiskan mana-mana role-playing game (RPG) sebelum ini. Setiap kali aku mulakan game RPG, selepas dua, tiga jam, aku akan terus kata, “okay cukup, game ini bukan untuk aku.”

Mula-Mula Benci, Lama-Lama Sayang

Salah satu sebab yang membuatkan aku tak suka genre ini ialah bagaimana pemain perlu membuat bermacam-macam benda dalam satu-satu masa. Aku cukup malas bila terpaksa berjalan separuh dunia, hanya untuk dapatkan item-item tertentu, atau mengembara ke hujung dunia untuk craft senjata-senjata yang ampuh. Aku bukan seorang gamer yang segigih itu.

Aku lebih gemarkan game yang mempunyai fokus penceritaan yang mendalam, menawarkan gameplay yang lebih relaks. Gameplay yang masih mempunyai aksi-aksi yang mendebarkan, tetapi tidaklah perlu grind macam-macam benda.

Namun aku tetap juga mengambil tahu tentang game-game RPG. Aku tahu yang The Witcher 3: Wild Hunt yang dilancarkan pada tahun 2015 dicanangkan sebagai game RPG terbaik pernah dihasilkan. Sebagai seorang yang hidup dalam dunia gaming ini, terdetik juga di hati ini ingin tahu apa yang menarik sangat The Witcher 3.

Masuk Ke Dunia Witcher

Setelah dipujuk rayu oleh beberapa rakan, terutamanya Adam Soya, aku gagahkan diri juga untuk mainkan game ini. Faktor lain yang mendorong aku juga untuk mula bermain The Witcher 3 ialah latar belakang yang digunakan — yang mana aku juga seorang yang gemarkan sejarah dan latar belakang zaman pertengahan.

Dipendekkan cerita, selepas berpuluh jam mainkan The Witcher 3 sehingga story utamanya tamat, aku rasa menyesal. Menyesal sebab tak mainkan game ini lebih awal. Kenapa selepas 4 tahun game ini dikeluarkan, baru aku terbuka pintu hati untuk mula main?

Bertatih-tatih Main Game RPG

Pada mulanya, aku masih membawa diri aku sebagai seorang yang tidak suka lakukan aktiviti-aktiviti RPG macam yang aku sebutkan di atas. Tapi apa yang membuatkan aku mula menggagahkan diri untuk belajar bagaimana ingin bermain game RPG ini ialah jalan cerita (story) yang ditampilkan ke dalam game ini yang cukup menarik.

Aku mula baca deskripsi-deskripsi dalam game, aku mula bertanyakan persoalan kepada rakan-rakan yang kaki game RPG, aku mula Google dan Youtube. Mungkin kalau nak dibandingkan dengan pemain lain, aku masih lagi mentah dalam genre RPG ini. Mungkin ada teknik-teknik dan terma-terma RPG yang aku masih tak tahu, tapi sekurang-kurangnya aku bukan lagi aku yang dulu, yang pengetahuannya kosong terhadap game-game RPG.

Kita Tak Layak Untuk CDPR

Panjangnya game ini telah membuka mata aku ke satu tahap yang sukar digambarkan. Kandungan yang dibawakan ke dalam The Witcher 3 adalah sangat banyak sehinggakan aku rasa marah kepada CD Projekt Red. Kenapa mereka memberikan sebuah game yang menampilkan jalan cerita yang sepanjang ini? Kita gamer tak layak untuk dapatkan jalan cerita yang begitu panjang seperti ini.

Perkara ini bukan terjadi kepada jalan cerita utamanya sahaja. Tetapi misi-misi sampingan (side quest) juga mempunyai jalan cerita amat panjang jika dibandingkan dengan side quest yang disajikan dalam game-game lain. Setiap jalan cerita itu sungguh panjang, umpama ada cerita dalam cerita dalam cerita.

Hati Diketuk Dua Wanita

Jalan ceritanya dilengkapkan lagi dengan kisah percintaan romantik yang berupaya menggetarkan tulang rusuk kiri. Tak pernah lagi aku main game sambil layan lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu.

Tapi kadang-kadang, lepas layan lagu Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu, aku layan pula lagu Madu Tiga. Yang faham itu, fahamlah, ehem.

Apa-apa pun, pilihan tetap mesti dibuat. #TeamYen.

Satu nasihat yang aku nak berikan ketika bermain cinta dalam game ini. Jangan terlalu tamak dalam menabur kasih, takut-takut yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Hihi.

Gameplay Pelengkap 

Aku juga jatuh cinta dengan pertarungan jarak dekat (melee combat) dalam game ini. Memiliki dua jenis pedang — pedang besi & pedang perak; mempunyai abiliti luar biasa seperti semburan api dan telekinetik; sistem kombat yang dibikin dengan bagus; menentang makhluk-makhluk aneh, yang gergasi mahupun yang bersifat mistik — meletakkan The Witcher 3 berada di kelasnya yang tersendiri.

Detik kemuncak bermain game ini apabila aku menemui pedang yang berbentuk berlok seperti keris. Sebagai peminat budaya Alam Melayu, keterujaan semasa menemui pedang ini hanya tuhan saja yang tahu. Sebilah pedang yang persis menggabungkan bentuk keris panjang dan keris sundang.

Satu lagi perkara dalam game ini yang benar-benar mengagumkan aku ialah bagaimana ‘hidupnya’ persekitaran dan latar belakang pada zaman pertengahan. Bandar-bandar, kampung-kampung, gunung-ganang dan pelabuhan-pelabuhan mempunyai satu aura yang seperti membawa kita kembali ke era tersebut. Berjalan-jalan dalam game ini sambil menunggang kuda secara perlahan mampu memberikan satu ketenangan yang tidak mampu diisi oleh game lain.

Tidak dilupakan, babak pertempuran sinematik (cinematic fight scene) yang disajikan dalam game ini sangat indah. Kesemua koreografi pertempuran yang dibikin sangat cantik, dan di bawah ini ialah antara kegemaran aku.

Fasa Seterusnya

Berbalik kepada jalan cerita utamanya, ya ia memang menarik, tapi tidaklah aku letakkan setaraf dengan game-game story-driven kegemaran aku lain seperti Red Dead Redemption 2, The Last of Us atau Life is Strange. Walau bagaimanapun, jalan cerita The Witcher 3 tetap mampu membuatkan aku tertarik untuk belajar dan habiskan sebuah game RPG.

Kalau nak bercerita tentang apa lagi yang menarik tentang game ini, satu artikel memang tak cukup. Sekarang ini, masa untuk aku habiskan banyak lagi side ques yang ada, DLC Hearts of Stone dan Blood & Wine.

Aku mungkin tertinggal bas dan terlewat 4 tahun mainkan The Witcher 3, tapi better late than never, ya tak?

JomKomen!