Sekiranya korang mengikuti rapat perkembangan siri TV The Witcher di Netflix, pastinya korang tahu ada sekelompok peminat yang marah dengan penerbit.

Salah satu punca utama kemarahan mereka ini ialah bagaimana rupa paras beberapa karakter utama sungguh jauh berbeza daripada apa yang disajikan dalam adaptasi video game The Witcher 3: Wild Hunt yang dibangunkan oleh CD Projekt Red. Mereka ini mungkin tidak tahu atau pura-pura tidak tahu bahawa sejak dari mula pengumuman siri TV ini, Netflix telah menyatakan bahawa ia merupakan adaptasi terus dari novel asal yang ditulis Andrzej Sapkowski.

Terbaru, penerbit siri TV ini, Lauren Schmidt Hissrich telah sekali lagi menegaskan bahawa mereka tidak akan mengadaptasi apa-apa daripada video game.

Dalam satu temubual bersama The Wrap, beliau ditanyatakan tentang “sekiranya kamu sudah kehabisan material daripada buku, apakah kamu akan sambung dengan mengambil adaptasi dari video game pula?”. Ini jawapan beliau:

“Visi panjangnya memang tidak. Kami tidak akan mula mengadaptasi video game itu. Saya hanya boleh bercakap tentang satu musim pada satu-satu masa, saya sangat teruja untuk musim ini, yang lain pula kalau difikirkan boleh membuat otak saya meletup. Kalau ada yang tanya ‘apa akan terjadi dalam musim ketujuh’, ya mungkin saya idea. Sama-sama berdoa agar kita dapat ke sana [hingga musim ketujuh].”

Dalam kata mudahnya, sekiranya, musim pertama ini mendapat sambutan yang baik, dan ia terus berjaya sehingga Netflix memperbaharuinya hingga musim ketujuh misalnya, penerbit akan tetap mengambil material dari buku sahaja, dan tidak akan sesekali mengadaptasi dari video game.

The Witcher dijangka keluar di Netflix antara Oktober hingga Disember tahun ini. Ia merupakan siri yang mempunyai lapan episod, dan setiap satunya berdurasi satu jam.

JomKomen!