Sejak sekian lama menanti, akhirnya berita yang dinantikan seluruh komuniti esports di Malaysia telah tiba.

Persatuan Esukan Malaysia (ESM) telah mengumumkan pemilihan pemain esports untuk mewakili negara ke Sukan SEA ke-30 di Filipina yang akan diadakan pada tahun ini.

Lima pingat untuk esports akan dipertandingkan dalam temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu, dan satu acara demonstrasi akan dipertunjukkan. Lima game yang telah disahkan akan dipertandingkan sebagai pingat ialah Defense of the Ancients (DotA) 2, Starcraft II, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Arena of Valor (AOV) dan Tekken 7. Kesemua pemilihan ini akan diuruskan oleh ESM dan Kementerian Belia & Sukan (KBS).

Pemilihan ini akan dibahagikan kepada tiga seksyen: Kelayakan Peringkat Negeri, Peringkat Akhir Kebangsaan dan Bootcamp.

13 negeri dan 3 wilayah persekutuan akan terlibat dalam Kelayakan Peringkat Negeri. Dari sini, para pemain/pasukan akan dipilih untuk Peringkat Akhir Kebangsaan. Kelayakan Peringkat Negeri akan dilakukan secara online, kemudian Peringkat Akhir Kebangsaan pula akan diadakan secara offline.

Kemudian, ESM dan KBS akan menyokong para pemain/pasukan ini dengan memperkenalkan program pembangunan esports buat julung kalinya melalui Bootcamp.

Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 13 tahun ke atas. Bimbingan ibu bapa/diperlukan bagi peserta yang berumur bawah 18 tahun.

Para pemain/pasukan yang berminat boleh mendaftar di laman web rasmi ESM.

JomKomen!