Jumaat lalu, Epic Games Store telah mengumumkan barisan game percuma mingguan yang baharu — iaitu Football Manager 2020, Watch Dogs 2 dan Stick It To The Man.
Antara tiga game ini, tentunya Football Manager 2020 (FM20) yang menjadi perhatian ramai. Akibatnya, pemberian percuma ini telah memecahkan beberapa rekod francais game tersebut. Perkara ini diumumkan oleh pengarah FM20, Miles Jacobson di Twitter.
Pertama, beliau mendedahkan bahawa lebih ramai pemain telah mencuba game ini di Epic Games Store dalam masa 36 jam berbanding pemberian percuma (game penuh tapi waktu terhad) selama dua minggu yang diadakan pada Mac lalu. Untuk rekod ini, beliau tidak dedahkan jumlah pemain tersebut.
Kedua, beliau mendedahkan bahawa satu juta pemain telah mencuba game ini dalam tempoh tiga hari game ini diberikan percuma. Sesuatu yang cukup mengagumkan untuk francais simulasi pengurusan bola sepak ini, dan Jacobson berharap agar pemain-pemain akan terus menjadi pemain setia francais ini dalam masa akan datang.
Ketiga, beliau mendedahkan yang seramai 251,131 pemain (ketika menaikkan tweet itu) sedang bermain FM20 merentasi PC dan Mac di kedua-dua Steam dan Epic Games Store. Beliau yakin bahawa ini merupakan rekod tertinggi pada satu-satu masa yang pernah mereka capai untuk francais ini. Sebagai perbandingan, pemberian percuma pada Mac lalu itu hanya hampir mencecah 200 ribu pemain, manakala pada waktu-waktu biasa akan hanya mencecah sekitar 80 ribu hingga 90 ribu pemain.
Harus diingat, angka-angka ini boleh meningkat lagi kerana tawaran percuma di Epic Games Store masih lagi sedang berjalan.
Football Manager 2020, Watch Dogs 2 dan Stick It To The Man boleh didapatkan secara percuma sekarang. Tawaran berlangsung sehingga 24 September ini. Apabila korang masukkan game ini ke dalam akaun, ia akan menjadi milik korang buat selamanya.
Korang boleh dapatkan game-game ini melalui pautan ini.
Comments
Loading…