Pembangunan Video Game Diiktiraf Apabila Tun Mahathir Petik Beberapa Game Buatan Tempatan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam telah mengumumkan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan (National Digital Inclusion Council) bagi memfokuskan kepada peluang pendapatan ekonomi digital kepada rakyat.

Majlis tersebut yang akan diketuai oleh Tun Mahathir sendiri, akan mengumpulkan wakil dari beberapa kementerian iaitu Hal Ehwal Ekonomi; Kewangan; Komunikasi & Multimedia; Wanita, Keluarga & Pembangunan Komuniti; Pembangunan Luar Bandar; Perumahan & Kerajaan Tempatan; dan Pertanian & Industri Asas Tani.

Malah, majlis ini akan turut disertai Kementerian Pelancongan; Seni & Kebudayaan; Pengangkutan; Pembangunan Usahawan; Belia & Sukan; Sumber Manusia; dan Wilayah Persekutuan.

Pengumuman ini dilakukan semasa Mesyuarat Majlis Pelaksanaan (ICM) Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia Ke-30 semalam.

“Jika dilaksanakan dengan baik, pertumbuhan ekonomi digital akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi peluang daripada Revolusi Industri 4.0. Bagi mencapai matlamat ini, kami akan menubuhkan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai 11 kementerian serta MSC sebagai sekretariat.”

Beliau berkata inisiatif tersebut sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerana menggunakan teknologi digital untuk meningkatan tahap sosial dan ekonomi rakyat Malaysia.

Apa yang menarik ialah Tun Mahathir menyebutkan tentang para pembangun kandungan kreatif digital dari Malaysia merupakan pemain signifikan dalam dunia animasi dan video game melalui beberapa pengiktirafan antarabangsa termasuklah Boboiboy, Upin & Ipin, No Straight Roads, CryptantCrab, dan Re:Legend.

Korang boleh dengarkannya di bawah:

No Straight Roads, CryptantCrab, dan Re:Legend merupakan antara game yang sedang dibangunkan oleh anak tempatan.

No Straight Roads ialah sebuah game yang sedang dibangunkan oleh Metronomik — studio pembangun game yang berpangkalan di Malaysia, yang diketuai oleh Wan Hazmer, anak tempatan Malaysia, bekas pembangun Square Enix yang menjadi lead game designer untuk Final Fantasy XV; serta Daim Dziauddin, concept artist untuk Street Fighter V.

Game ini akan membawa pemain sebagai seorang ahli dalam kugiran rock, mempunyai misi untuk menentang empayar EDM. Genre yang akan diketengahkan ialah game aksi yang memfokuskan kepada muzik, namun ia bukanlah game bergenrekan rhythm.

No Straight Roads akan dilancarkan pada awal tahun 2020 untuk PC dan PS4.

CryptantCrab pula ialah game berasaskan web yang dikuasakan oleh teknologi blockchain, manakala Re:Legend pula ialah game multiplayer simulation JRPG akan datang.

Sumber: Awani

JomKomen!