in , , ,

Pembangunan Esukan Setanding Dengan Pembangunan Sukan Fizikal

Industri esukan sudah berkembang pesat sejak akhir-akhir ini. Rata-ratanya anak-anak muda sudah menceburi bidang ini dan ada dalam kalangan mereka sudah menjadikan ia sebagai suatu kerjaya dengan menjanjikan pulangan yang sangat lumayan.

Sebut sahaja nama seperti Uhigh, Ishotz dan Fredo pasti akan dikenali sebagai para atlet esukan yang berjaya oleh penggemar esukan. Di sebalik kerancakan industri esukan yang semakin memuncak, usaha pembangunan industri tersebut masih berada di peringkat awal dan belum digiatkan sepenuhnya.

Pada masa ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican sudah mengumumkan pembinaan hab esukan di Spacerubix, Puchong yang akan menjadi pusat kepada pembangunan industri tersebut di Malaysia. Sudah pasti ia akan menjadi suatu berita yang menggembirakan buat para penggiat esukan yang memahami aspirasi kerajaan untuk melihat industri esukan ini boleh setanding dengan pembangunan sukan-sukan lain. Oleh itu, hasrat ini sangat dipuji demi meningkatkan mutu industri esukan di Malaysia.

1. Pencapaian atlet esukan yang mengharumkan nama negara

KBS Anjurkan Kejohanan PUBG Mobile Dan Mobile Legends Sempena PKP, Main Di Rumah Masing-Masing

Pencapaian para atlet esukan sudah tidak dapat disangkal lagi terutamanya dalam kalangan penggemar esukan. Acap kali nama atlet esukan Malaysia berada sebaris dengan atlet-atlet esukan bertaraf dunia di peringkat antarabangsa. Banyak contoh pencapaian atlet esukan yang boleh dijadikan sebagai batu loncatan kepada semua penggiat esukan untuk terus menjulang negara di mata dunia.

Dalam permainan FIFA, buat julung kalinya GBX Esports dan Wicked Esports, dua kelab yang berasal dari Malaysia, telah berjaya menghantar pemain masing-masing untuk berentap dalam pertandingan FIFA eClub World Club. Pertandingan ini boleh dikatakan setanding dengan FIFA World Cup cuma ia hanya dimainkan di paparan maya.

Mereka berjaya layak setelah memperoleh tempat pertama dan kedua dalam kelayakan peringkat Zon 2 Fifa Qualifier mengalahkan lebih 100 pasukan lain di mana mereka menjadi antara dua wakil daripada 4 wakil Asia dalam pertandingan tersebut untuk mara ke peringkat Grand Final FIFA eClub World Cup.

Selain itu, permainan PUBG Mobile juga menampilkan pencapaian yang tidak kurang hebatnya daripada atlet negara. Pada 3 Mei 2020 yang lalu, pasukan Yoodo Gank yang diwakili oleh Aiman Mohamad (Man Parang) sebagai kapten, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx) Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo) telah berjaya menggondol kejuaraan PMPL SEA S1 menewaskan wakil-wakil Asia Tenggara yang lain sekaligus layak untuk bermain di peringkat dunia iaitu kejohanan PUBG Mobile East League (PMWL) East.

Oleh itu, wajar untuk kita katakan bahawa atlet esukan sudah duduk sama rendah berdiri sama tinggi atlet sukan negara yang lain. Sememangnya pencapaian membanggakan para atlet esukan ini telah membuka mata pihak kerajaan untuk terus memberikan keutamaan kepasa industri ini untuk berkembang maju seiring dengan perkembangan sukan lain dengan pembinaan bab esukan di Puchong. Dengan adanya pembinaan hab tersebut, maka dengan harapan Malaysia mampu melahirkan lebih ramai lagi atlet esukan bertaraf dunia untuk bersaing di peringkat antarabangsa sekaligus mengharumkan nama negara.

2. Manfaat daripada bermain permainan atas talian

Sebut sahaja permainan atas talian seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends, rata-rata anak muda sudah pasti pernah walaupun sekali bermain permainan tersebut. Menjadi sebuah trend terkini bahawa anak muda akan meluangkan masa mereka bermain permainan atas talian sama ada menggunakan telefon pintar ataupun PC.

Umumnya ia dilihat sebagai membuang masa dan tidak berfaedah, namun hakikatnya bermain permainan maya membawa banyak manfaat terutamanya dari segi kesihatan mental. Walaupun kelebihannya tidak bersandarkan pada kekuatan fizikal seperti sukan fizikal, namun permainan esukan juga tidak kurang ada manfaat dan kelebihan tersendiri. Dikatakan bermain permainan atas talian lebih berkesan dalam mengurangkan tekanan mental berbanding dengan sesi kaunseling biasa.

Kajian daripada penyelidik di New Zealand pada tahun 2012 melibatkan 168 remaja kira-kira berusia 15 tahun yang mana separuh daripada mereka diasingkan untuk menerima sesi kaunseling manakala separuh lagi main permainan fantasi SPARX yang membolehkan mereka untuk reka avatar tersendiri untuk ‘mengeluarkan pemikiran negatif’. Kajian tersebut menunjukkan sebanyak 44% pemain SPARX berjaya mengelakkan kemurungan manakala hanya 26% daripada mereka menunjukkan reaksi positif daripada sesi kaunseling biasa.

Selain itu, dengan bermain permainan atas talian, anak muda boleh meningkatkan kemahiran bersosial apabila bertemu dengan pemain-pemain lain di platform permainan tersebut. Platform chat yang ditampilkan pada setiap permainan atas talian seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends membolehkan para pemain berkomunikasi antara satu sama lain dan saling bertukar pendapat. Dengan cara ini, para pemain boleh mendapat kenalan baharu dan meluaskan jaringan sosial mereka.

Di samping itu, permainan atas talian juga meningkatkan kemahiran berfikir kritis kepada para pemain khususnya anak muda. Untuk bermain permainan atas talian, pemain perlu fokus terhadap objektif permainan supaya boleh mencapai kejayaan atau ‘victory’ dalam permainan. Sebagai contoh, dalam permainan PUBG Mobile, para pemain perlu mengatur strategi berpasukan dan fokus untuk menembak musuh untuk menjadi pasukan terakhir yang tinggal dalam satu-satu ‘map’ permainan yang digelar ‘winner winner chicken dinner’.

Kemahiran ini boleh didapati melalui latihan berterusan dan semangat juang yang tinggi. Seterusnya, ia juga meningkatkan ketajaman mata para pemain. Para pemain perlu fokus terhadap permainan supaya mereka mendapat objektif permainan untuk memenanginya. Sebagai contoh, dalam permainan Mobile Legend, para pemain perlu fokus terhadap serang hendap atau ‘gank’ musuh yang boleh menjejaskan objektif pasukan untuk menang atau ‘victory’ dalam satu permainan. 

3. Mencipta peluang kerjaya yang baharu

Pada era globalisasi ini, peluang pekerjaan semakin tipis ditambah pula dengan situasi COVID-19 yang memaksa sesetengah majikan untuk memberhentikan sebahagian pekerja mereka terutamanya dalam kalangan anak muda untuk menstabilkan kos syarikat daripasa menanggung kerugian yang banyak.

Keadaan ini menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda semakin meningkat saban hari. Menurut kajian yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), graduan atau anak muda yang berpendapatan bawah RM3,000 mencatatkan kadar pengangguran yang tinggi iaitu antara 26 hingga 35 peratus dan ia akan meningkat sehingga melebihi 12 peratus pasca COVID-19. Hal ini membuktikan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda berada dalam tahap yang membimbangkan.

Namun begitu, perkembangan industri esukan yang pesat terutamanya ketika musim PKP telah membuka peluang kerjaya yang baharu dan luas kepada orang ramai khususnya anak muda. Perkembangan ini telah melahirkan kerjaya sebagai seorang ‘streamer’ atau penghibur media sosial secara langsung.

Tidak seperti sukan fizikal lain yang terbatas aktivitinya disebabkan SOP yang ketat dan tidak membenarkan aktiviti berkumpulan, para streamer hanya bekerja di rumah mereka sendiri atau berada di ‘gaming house’. Berbeza dengan seorang influencer, seorang streamer bekerja melalui penstriman langsung dan berkongsi ‘content’ ataupun bahan hiburan kepada para penonton di saluran media sosial penstriman seperti Youtube dan Facebook Gaming. Kebanyakan streamer akan berkongsi ‘content’ dengan bermain permainan atas talian seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends di mana kedua-dua permainan mempunyai bilangan penonton dan peminat yang ramai terutamanya dalam kalangan anak muda.

Nama-nama seperti Soloz, Penjahat dan Daddyhood dijadikan sebagai contoh dan idola kepada orang lain untuk menceburi bidang penstriman secara profesional dan berjaya. Pendapatan mereka berasaskan kepada jumlah sumbangan dan langganan yang diberi oleh para penonton serta komisyen daripada pihak platform penstriman.

Sebagai contoh, para streamer yang aktif melakukan strim di Facebook boleh menjana pendapatan melalui iklan di video penstriman, ‘donation’ atau sumbangan berbentuk ‘star’ sebanyak $0.01 untuk 1 star dan langganan bulanan sebanyak RM12.90 daripada para penonton. Lumayan bukan? Seperti pekerjaan-pekerjaan biasa yang lain, para streamer perlu berusaha keras untuk menarik minat lebih ramai penonton untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Selain menjadi sebagai seorang streamer, kerjaya sebagai atlet esukan juga memberikan pulangan yang besar. Sebagai contoh, James Yang, Pengarah PUBG Mobile menjanjikan wang kemenangan pertandingan PUBG Mobile sebanyak 16 juta dolar untuk dimenangi oleh semua pasukan di seluruh dunia.

Di peringkat domestik pula, pasukan PUBG Mobile di Malaysia seperti Team Secret, Yoodo Gank beserta 16 pasukan lain berentap untuk merebut jumlah hadiah kemenangan yang lumayan sebanyak $150,000 atau RM607,500 yang ditawarkan dalam pertandingan PUBG Mobile Pro League MYSG Musim Kedua.

Dalam pada itu, ramai profesional atlet akan bernaung di bawah satu syarikat dan diambil sebagai pemain yang bergaji seperti pekerja industri lain dan atlet sukan biasa. Antara nama syarikat ‘gaming’ yang terkenal adalah Team Secret, Todak dan RSG. Oleh itu, atlet esukan juga mampu meraih pendapatan yang lumayan dan besar jika mereka berusaha keras dalam bidang yang mereka ceburi. 

Sebagai kesimpulan, meskipun industri esukan dilihat masih segar dan baharu tetapi ia telah berkembang dengan pesat dan membawa pulangan yang tinggi kepada ekonomi negara. Hal ini dapat dilihat menerusi peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM20 juta untuk memajukan industri esukan Malaysia. Pada bulan November 2019, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Esports dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab esukan di Asia Tenggara. Pelan ini dilancarkan untuk memastikan semua rakyat Malaysia merasai pembangunan esukan yang memberi manfaat khususnya kepada golongan anak muda. 

Usaha murni kerajaan ini telah cukup membuktikan bahawa pembangunan industri esukan berada di laluan yang setanding dengan pembangunan sukan-sukan lain di negara kita.

Ditulis oleh Muhammad Imran Hakim bin Mohd Iqbal, Pelajar Tahun 2 Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia. Ikuti penulis di Facebook dan Instagram.

Hantar artikel anda ke [email protected]

Written by Tuan Rumah

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Rustler: Game Seperti GTA Klasik, Tapi Latar Belakang Zaman Dulu-Dulu

Musim Pertama The Last of Us HBO Adalah Berdasarkan Game Pertama, Tapi Beberapa Episod Berbeza