Ghost of Tsushima telahpun dilancarkan beberapa hari lalu. Game ini mendapat pujian ramai, khususnya terhadap visual persekitaran dan grafik open-world yang disajikan.
Walau bagaimanapun, sebelum Sucker Punch memutuskan untuk membangunkan sebuah game yang berlatarbelakangkan zaman pertengahan Jepun, studio itu pernah mempertimbangkan latar belakang-latar belakang lain.
Ketika berkongsikan kisah proses pembangunan Ghost of Tsushima di PlayStation Blog, pengasas-bersama Sucker Punch, Brian Fleming telah mendedahkan yang semasa awal pembikinan, mereka membuat keputusan untuk membangunkan sebuah game dengan pengalaman dunia yang terbuka dan luas, serta menampilkan kombat jarak dekat (melee).
Namun, lebih daripada itu, kata Fleming, mereka kurang pasti. Antara idea awal yang bermain di minda mereka ialah untuk membawakan latar belakang lanun, Rob Roy atau The Three Musketeers.
Di sebalik idea-idea awal ini, kemahuan mereka sentiasa kembali ke latar belakang zaman feudal Jepun dan mahukan kisah seorang pahlawan Samurai. Kemudian, pada satu hari, mereka menemui kisah sejarah tentang serangan Mongol terhadap Pulau Tsushima pada tahun 1274, dan ia terus menjadi latar belakang yang dimuktamadkan.
Dalam blogpost tersebut, beliau turut mendedahkan tempoh masa yang diambil untuk membangunkan Ghost of Tsushima iaitu selama enam tahun. Fleming juga berkongsikan beberapa seni konsep awal game ini. Korang boleh lihatnya sendiri di sini.
Dalam review JomGaming, penulis mengatakan Ghost of Tsushima merupakan sebuah game yang memfokuskan kepada pengalaman sinematik untuk setiap pemain nikmati. Semangat untuk bangkit selepas diserang musuh, sinematografi yang cantik, skor muzik dan runut bunyi yang meremang, grafik yang memukau (walaupun hanya menggunakan PS4 biasa, belum lagi PS4 Pro), gameplay yang mendebarkan — semua elemen ini telah membuatkan ia satu game bersifat sinematik yang cukup mengasyikkan.
Ghost of Tsushima kini boleh dimainkan secara eksklusif di PS4.
Comments
Loading…