Pembangun Fall Guys Harap Mereka Boleh Ikuti Kejayaan Rocket League

Barisan game percuma dalam langganan PlayStation Plus untuk bulan Ogos 2020 menggembirakan ramai pemain. Bermula 4 Ogos ini, salah satu game yang boleh dimainkan secara percuma untuk pelanggan PS Plus ialah Fall Guys: Ultimate Knockout.

Kemaskukan Fall Guys: Ultimate Knockout ke dalam senarai game percuma ini sebenarnya agak mengejutkan kerana game ini belum dilancarkan sepenuhnya lagi. Bermakna, apabila game ini dilancarkan sepenuh untuk PC dan PS4, game ini dengan serentaknya akan terus masuk ke dalam senarai game percuma PS Plus.

Macam pernah dengar bukan model pelancaran seperti ini? Ya, ia pernah dilakukan semasa pelancaran Rocket League pada tahun 2015. Skrip yang sama, ketika pelancaran penuh Rocket League ke PC dan PS4, ia terus masuk ke dalam senarai game percuma PS Plus.

Lihatlah bagaimana Psyonix melalui Rocket League telah mencipta kejayaan melalui langkah pertama seumpama ini. Rocket League merupakan sebuah game esports yang masih popular dan mempunyai komuniti yang begitu kukuh. Sehinggakan, pada pertengahan tahun lalu, Psyonix telah dibeli oleh Epic Games, dan bertitik tolak daripada itu, tidak lama lagi pada tahun ini, Rocket League akan bertukar ke model game percuma untuk dimainkan semua (free-to-play).

Semalam, menjelang beberapa hari sebelum pelancaran, pembangun Fall Guys, Mediatonic telah hadir ke Reddit (r/PS4) untuk menjawab beberapa soalan daripada para peminat. Antara soalan yang mendapat perhatian ramai ialah tentang apakah sebab mereka memilih untuk memasukkan game ini ke dalam PS Plus serentak dengan pelancarannya.

Nampaknya Mediatonic memang berharap agar dapat mengikut jejak langkah kejayaan Rocket League, malah game kereta-bola sepak itu menjadi inspirasi kepada studio mereka. Ini jawapan penuh salah seorang pembangun mereka:

“Sony sangat berminat tentang game ini apabila kami memperlihatkan kepada mereka versi awal game ini, dan kami rasakan mengambil langkah ini akan membantu memberikan pendedahan game ini kepada audiens yang jauh lebih besar daripada apa yang kami sendiri mampu capai. Selain itu, ia sesuatu yang sangat berjaya kepada Rocket League yang mana ia telah menjadi antara inspirasi kepada kami.”

Belum lagi dilancarkan, Fall Guys sudahpun cukup popular. Walaupun masih dalam sesi beta, Fall Guys telah mempunyai penonton yang ramai di Twitch.

Fall Guys boleh dikatakan sebuah game battle royale seperti rancangan Istana Takeshi, tapi dengan tema warna-warni dan rekaan karakter yang comel. Dibangunkan oleh Mediatonic dan diterbitkan oleh Devolver Digital, game ini akan mencampakkan 100 pemain ke dalam arena yang penuh dengan halangan.

Antaranya, pemain perlu merempuh beberapa pintu untuk sampai ke garisan penamat. Yang jahatnya, sebahagian pintu yang ingin dirempuh itu sebenarnya adalah dinding yang tidak boleh ditembusi. Pemain perlu membuat keputusan yang bijak kerana kalau lambat (pening kepala sebab merempuh dinding keras), pemain akan disingkirkan.

Kemudian, separuh daripada pemain akan mempunyai ekor. Objektif level ini ialah untuk sampai ke garisan penamat bersama-sama dengan ekor. Bagi yang tiada ekor, pemain perlu mencurinya dari pemain lain, dan mereka yang sedia ada pula harus mempertahankannya.

Level ketiga pula, pemain perlu berlari mendaki gunung yang dalam perjalanan itu, dipenuhi dengan halangan yang sangat menyakitkan hati. Di puncak gunung itu terdapat makhota yang semua pemain rebut untuk dapatkan.

Fall Guys: Game Battle Royale Macam Istana Takeshi, Tapi Comel!

4 Ogos ini, bersedia untuk bergelak ketawa bermain Fall Guys, dilancarkan untuk PC dan PS4.

JomKomen!