Sesebuah game itu kalau ditunda adalah perkara biasa, tapi untuk sesebuah pelancaran konsol baharu itu ditunda boleh dikatakan agak mustahil. Tapi ia mungkin boleh berubah.
Kedua-dua konsol generasi akan datang daripada Sony dan Microsoft, PS5 dan Xbox Series X akan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Namun, waktu pelancaran itu mungkin boleh ditunda disebabkan penularan wabak koronavirus yang sedang melanda China, lapor Business Insider.
Kemungkinan penundaan ini adalah disebabkan Sony dan Microsoft mengilangkan konsol dan aksesori mereka di China, dan ia boleh menjejaskan proses pengilangan konsol-konsol disebabkan pengurangan tenaga kerja di negara itu.
Ketika artikel ini ditulis, seramai 560 orang telah dicatatkan maut disebabkan koronavirus, dan seramai lebih daripada 28,000 orang telah dijangkiti.
Menurut laporan itu lagi, kalau pun penundaan tarikh pelancaran dua konsol ini tidak berlaku, ada juga kemungkinan bahawa terdapat kekurangan bekalan unit semasa pelancaran nanti.
Mungkin sebab itulah Sony dan Microsoft masih belum berani mengumumkan tarikh tepat pelancaran konsol generasi akan datang masing-masing kerana takut tidak mampu bersedia apabila melihat keadaan di negara Tembok Besar itu. Lihatlah bagaimana Sony sudahpun menaikkan laman rasmi PS5, tapi masih belum mengumumkan tarikh pelancaran.
Comments
Loading…