Menu
in ,

Pelakon Suara Abby Dalam Last of Us 2 Dapat Ugutan Bunuh Dan Dikecam Teruk Oleh Peminat

Seperti yang diperkatakan oleh Naughty Dog sendiri sebelum game ini dilancarkan, sememangnya ya, The Last of Us Part II telah membuatkan para peminat berpecah-belah. Ada pemain yang sukakan game ini, dan ada juga benar-benar bencikan game ini sehingga melampaui batas.

AMARAN! Spoiler di bawah.

Sama ada korang sudah mainkan sekuel ataupun belum, pasti korang sudah mengetahui apakah bentuk penceritaan yang disampaikan. Setelah Joel mati pada awal game ini, pemain akan bermain sebagai Abby, pembunuh Joel, seterusnya menyelami dan cuba berempati terhadap apakah alasan di sebalik pelakuan Abby itu.

Abby menjadi satu karakter yang cukup dibenci bagi mereka yang tidak gemarkan jalan cerita seperti ini. Sehinggakan, ada sesetengah peminat yang melontarkan kecaman yang begitu teruk, sehingga memberikan ugutan bunuh kepada pelakon suara Abby, iaitu Laura Bailey.

Kata-kata cacian dan makian sudah menjadi kelaziman dalam direct message di akaun-akaun media sosial Bailey. Beliau pada asalnya tidak mahu berkongsikan kecaman-kecaman ini, walau bagaimanapun, hari demi hari mereka ini semakin melampau. Malah, ada yang mendoakan keburukan kepada ibu bapa Bailey. Mengarut.

Selepas pendedahan ini, Bailey telah mendapat sokongan moral daripada ramai pihak, terutamanya daripada mereka yang sama-sama menjayakan game ini seperti pengarahnya, Neil Druckmann dan pelakon suara Ellie, Ashley Johnson. Selain itu, Bailey turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan industri seperti Ketua PlayStation Worldwide Studios, Herman Hulst; penulis-bersama siri TV The Last of Us untuk HBO, Craig Mazin; pelakon suara Peter Parker dalam Marvel’s Spider-Man, Yuri Lowenthal dan ramai lagi.

Apa yang mereka lakukan ini semestinya satu kecaman kebudak-budakan yang bersifat toksik. Tiada masalah untuk bercanggah pendapat dan beranggapan jalan cerita game ini tidak bagus, namun ia perlulah melalui kritikan yang matang kepada individu yang sepatutnya.

Seseorang pelakon suara pastinya tidak ada kena-mengena terhadap bagaimana sesebuah kisah itu ditulis. Kritikan haruslah dilontarkan kepada penulisnya. Ini merupakan sesuatu yang asas untuk kita hadam apabila menikmati sesebuah naskhah — sama ada filem, siri TV mahupun video game. Perkara asas, tapi ramai sukar untuk memahaminya.

Kami di JomGaming juga tidaklah melabelkan The Last of Us Part II sebagai sebuah game yang sempurna, malah terdapat banyak juga kritikan yang dinyatakan. Namun, untuk mengapikan satu kemarahan sia-sia yang mampu memberi kesan kepada kehidupan peribadi mereka, apatah lagi kepada individu yang salah, adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Korang boleh baca kritikan daripada JomGaming tentang sekuel ini, sama ada reviu yang tanpa spoiler, atau pandangan yang membincangkan spoiler.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Leave a Reply

Exit mobile version