in , , ,

Pelabur Mungkin Akan Saman CD Projekt Red Atas Info Mengelirukan Cyberpunk 2077

CD Projekt Red kini seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika isu dengan para peminat masih belum selesai, kini mereka perlu berhadapan tindakan undang-undang daripada para pelabur mereka pula.

Beberapa firma undang-undang telah mengesahkan yang mereka sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap CD Projekt Red, lapor New York Times.

Mikołaj Orzechowski, seorang peguam yang berpangkalan di Warsaw, Poland yang juga merupakan salah seorang pelabur CDPR telah menyatakan yang mereka sedang mengkaji kemungkinan untuk menyaman — mendakwa bahawa studio pembangun Cyberpunk 2077 itu telah memberikan butiran yang mengelirukan kepada para pelabur bagi mendapatkan pendanaan kewangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Orzechowski, mereka sedang menjemput pelabur-pelabur lain yang terkesan terhadap ‘penggantungan jualan produk Cyberpunk 2077’.

Satu lagi firma guaman yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, Wolf Haldenstein Adler Freeman & Herz LLP juga telah mengumumkan yang mereka sedang melihat untuk mewakili pemegang saham-pemegang saham yang menanggung kerugian ‘sehingga menimbulkan dakwaan yang CDPR mungkin telah mengeluarkan informasi mengelirukan secara material kepada para pemegang saham dan pelaburan kepada umum’.

Seperti yang diketahui, CDPR sendiri pun sudah mengakui bahawa mereka tidak meluangkan masa secukupnya dalam membangunkan Cyberpunk 2077 untuk versi PS4 dan Xbox One, sehingga memberikan harapan terlalu tinggi kepada para pemain di konsol itu.

Cyberpunk 2077 kini telah dibuang dari PlayStation Store dan mana-mana pemain di PS4 dan Xbox One boleh mendapatkan semula wang mereka secara penuh (full refund).

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Among Us, Fall Guys, Valorant Adalah Game Paling Banyak Dicari Di Google Sepanjang 2020

Minecraft, Roblox, Free Fire Adalah Game Paling Banyak Ditonton Di Youtube Sepanjang 2020