Selang beberapa minit selepas Bella Ramsey diumumkan sebagai bintang yang akan menghidupkan watak Ellie dalam siri televisyen The Last of Us terbitan HBO, keluar pula pendedahan siapa pula yang bakal membawakan satu lagi watak utama dalam siri ini.
Kali ini dilaporkan secara eksklusif pula oleh Deadline, HBO telah memilih Pedro Pascal sebagai pelakon yang akan membawakan watak Joel dalam siri adaptasi video game The Last of Us.
Pascal sememangnya seorang pelakon yang cukup berbakat, dikenali ramai dalam pelbagai watak popular seperti Oberyn Martell dalam Game of Thrones, Din Djarin dalam The Mandalorian, Javier Pena dalam Narcos dan banyak lagi.
Nampaknya dua bintang Game of Thrones, Pedro Pascal dan Bella Ramsey akan kembali bersatu sekali lagi dalam siri televisyen terbitan HBO, sebagai duo yang cukup ikonik dalam The Last of Us, Joel dan Ellie.
Sebelum ini, kita telah mengetahui bahawa kerusi pengarah untuk episod pertama diisi oleh Kantemir Balagov, pembikin filem asal Rusia yang cukup terkenal melalui kerjanya untuk drama yang telah memenangi banyak anugerah, Beanpole.
Penerbitan siri TV adapatasi The Last of Us ini diketuai oleh Craig Mazin — insan yang bertanggungjawab menulis dan menerbitkan siri TV Chernobyl di HBO yang mendapat pujian ramai. Beliau akan menulis jalan ceritanya bersama-sama dengan orang kuat dari Naughty Dog sendiri, Neil Druckmann. Ia merupakan siri TV hasil kerjasama HBO dengan Sony Pictures.
Comments
Loading…