Paten Microsoft yang difailkan pada bulan lepas mendedahkan rancangan untuk sebuah controller yang boleh mengubah telefon pintar menjadi konsol peranti mudah alih Xbox.

Paten tersebut yang difailkan pada 9 Julai ialah sebuah peranti pengecas untuk modul input yang boleh ditanggalkan. Walaupun tidak ada maklumat spesifik yang disebut dalam aplikasi tersebut, terdapat beberapa lakaran yang memaparkan ciri-ciri seperti butang dan simbol.

Paten itu secara spesifiknya ialah sebuah peranti pengecas untuk controller tersebut, yang mana dikatakan boleh dipasangkan pada telefon pintar sebagai kawalan input. Ciri-ciri untuk controller tersebut mungkin akan menyertakan built-in speakers, headphone jack, dan sokongan headphone tanpa wayar.

Controller itu akan memperbaiki beberapa isu yang selalu dialami oleh gamers semasa bermain game di telefon pintar seperti jari tergelincir, bahagian-bahagian tertentu yang mengganggu pandangan pada skrin, dan terlalu banyak simbol kawalan pada paparan skrin.

Pereka dari Yanko Design, Sarang Sheth melakukan lakaran gambaran untuk produk tersebut yang mana hampir menyerupai seperti Nintendo Switch. Perbezaan di sini adalah Nintendo Switch merupakan sebuah konsol hibrid, manakala paten Microsoft akan memfokuskan perkhidmatan penstriman video game Project xCloud pada telefon pintar.

Project xCloud, sama seperti Google Stadia, akan membenarkan pemain untuk melakukan penstriman game konsol dan PC di mana-mana peranti dengan menggunakan internet. Game tersebut tidak akan dimuat turun ke dalam peranti, sebaliknya dilakukan menerusi penstriman dari servers milik Microsoft.

Controller yang ditampilkan pada paten Microsoft itu mungkin akan menjadikan Project xCloud menjadi lebih menarik kepada gamers yang menggunakan telefon pintar. Ia akan membenarkan pemain untuk bermain game seperti Gears 5 di mana sahaja.

Ini bukan kali pertama Microsoft cuba memasuki pasaran peranti konsol mudah alih. Beberapa tahun yang lalu, bekas ketua pegawai Xbox di Microsoft, Robbie Bach pernah mendedahkan projek “Xboy”. Walau bagaimanapun, projek tersebut tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, lalu ditinggalkan.

Sumber: DigitalTrends

JomKomen!