Pengalaman dan ilmu yang ditimba itu lebih berharga.

Kredit gambar PES Malaysia.

Semalam telah berlangsungnya pertandingan PES League Asia 2v2 Final yang diadakan di Bangkok, Thailand. Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, ia merupakan sebuah kejohanan yang ditaja oleh Konami Asia – membawakan 16 pasangan PES 2018 dari 8 buah negara Asia.

Setelah seharian bertarung untuk merebut takhta pasangan 2v2 terbaik Asia, akhirnya pasangan dari Jepun, Mayage-Curl telah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasangan dari Indonesia, Surabaya Gaming Team dengan keputusan 5-2 di perlawanan akhir.

Sebelum itu, Mayage-Curl telah menumbangkan pasangan dari Vietnam, Vietnam Red 4-3, manakala Surabaya Gaming Team membelasah pasangan gabungan China-Hong Kong dengan keputusan 9-0 di pusingan separuh akhir.

Dua pasangan dari Malaysia, iaitu Double Agent dan Degasa CF, kurang bernasib baik apabila telah ditunjukkan jalan keluar di peringkat kumpulan.

Tumpas awal bukanlah bermakna kegagalan buat pasukan negara ini. Banyak sebenarnya yang telah mereka pelajari sepanjang keberadaan mereka di negara Gajah Putih itu.

Ketika dihubungi JomGaming, pengurus pasukan, merangkap Pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman mengatakan banyak ilmu yang telah mereka timba dan sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri.

“Pada saya, pemain-pemain kita boleh dikatakan agak muda jika melihat tempoh mereka digandingkan,” kata Yazid. “Mula digandingkan sebelum pusingan kelayakan peringkat Malaysia, mereka baru sahaja bersama kira-kira 2 bulan. Dalam masa dua bulan ini kita telah cuba yang terbaik untuk mempertingkatkan permainan kami seperti kesefahaman hantaran dan lain-lain”

“Kita lihat pasukan Double Agent, di peringkat kumpulan hanya tewas 2-0 sahaja kepada pasangan dari Jepun (juara), yang mana kita dapat lihat selepas itu pasangan itu membelasah pasukan-pasukan dari negara lain. Harus diingat yang kedua-dua pasangan Mayage-Curl ini merupakan juara Asia dan juara Jepun.”

“Memandangkan pasangan kita adalah sangat muda, dapat bertahan dengan keputusan seperti itu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.”

Apabila ditanya tentang pengalaman yang diperoleh mereka di sana, Yazid mengatakan yang mereka telah mempelajari pelbagai corak permainan dan formasi yang berbeza-beza dari setiap negara.

“Apabila dapat melihat taktik dan teknik yang mereka tampilkan di depan mata, kita dapat berkongsi dan bawa ilmu ini balik ke negara kita supaya pemain-pemain Malaysia lain menjadi lebih kompetitif dalam pertandingan seterusnya.”

Pada akhir perbualan kami, Yazid sempat memberikan sedikit teaser tentang pertandingan PES SEA Finals 2018, yang mana untuk tahun ini, giliran Malaysia pula untuk menjadi tuan rumah.

“Para admin PES South East Asia telah bersepakat untuk mengadakan kejohanan ini pada bulan Ogos 2018.”

Sekiranya korang tidak tahu, 4 pemain PES negara ini merupakan antara atlet esport pertama yang menerima Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sebagai wakil rasmi negara.

Untuk segala info tentang arena esport PES tempatan, rantau ini dan antarabangsa, jangan lupa untuk terus bersama JomGaming.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.