Berparti sambil membunuh. Itulah yang dikatakan oleh penulis apabila bermain game Party Hard 2 buat kali pertama. 

Party Hard 2 dengan grafiknya yang retro seperti game Hotline Miami, pasti membuatkan ramai peminat game berpiksel 8-bit teringin untuk mencubanya. Tapi, apa yang best tentang game ini?

Party Hard 2 merupakan sebuah game bergenre stealth strategy yang dibangunkan oleh Pinokl Games, Hologryph dan Kverta dan diterbitkan oleh tinyBuild Games untuk platform PC sahaja. Ia seperti sebuah gabungan dari game Hitman bertemu dengan filem Hell Fest di mana pemain ditugaskan untuk membunuh orang-orang yang suka berparti dengan cara yang paling kreatif.

Apa ceritanya kali ini?

Jika dalam game pertama (Party Hard), pemain bermain sebagai seorang lelaki yang sudah penat dan tidak boleh tidur kerana jiran sebelah yang suka berparti (ada sedikit reference dari filem Neighbours di situ), maka dia memutuskan untuk pergi ke sana dan cetuskan pembunuhan.

Party Hard 2 pula berlatar belakangkan 10 tahun selepas dari game pertama di mana kali ini pemain akan bermain sebagai watak baru yang sudah tertekan dengan keadaan di tempat kerjanya, lalu dia memutuskan untuk keluar di sekitar bandar pada waktu malam untuk melakukan pembunuhan dan dalam masa yang sama menumpaskan sindiket pengedaran dadah.

Dari segi persembahan cerita, ianya tidaklah terlalu berat atau terlalu deep untuk pemain fokus melihat setiap teka-teki yang ada dalam game ini kerana jalan ceritanya memang linear dan tidak terlalu rumit untuk pemain ikuti. Tumpuan utama untuk game ini adalah pada gameplay-nya.

Best ke gameplay dia?

Party Hard 2 sangat menitikberatkan pemain untuk melakukan pembunuhan tanpa dikesan oleh orang ramai. Maklumlah inikan game stealth strategy. Pada awal permainan, pemain diberikan dua karakter yang sudah tersedia iaitu Party Hard Killer dan Wannabe. Namun, jika pemain dapat mencapai sasaran objektif yang ditetapkan, dua lagi karakter dapat di-unlock iaitu Kao Tech dan Shawn O’Panda.

Setiap karakter mempunyai kebolehan-kebolehan dan senjata tersendiri seperti Party Hard Killer yang mempunyai kebolehan Party Vision dan senjata pisau. Manakala bagi Wannabe pula, dia mempunyai nyawa dan stamina tambahan.

Terdapat 14 levels yang disediakan dengan lokasi berbeza seperti di kelab, motel, hospital dan banyak lagi. Apabila permainan dimulakan, pemain akan diberikan senjata default bergantung kepada karakter yang korang pilih. Pemain boleh membawa tiga items yang mana jika pemain memilih dua item berbeza yang sesuai, proses crafting boleh diaktifkan untuk mengabungkan dua item menjadi satu.

Dalam setiap level, selain daripada membunuh dengan cara biasa, pemain juga boleh melakukan pelbagai jenis cara untuk membunuh orang-orang di pesta parti seperti menyimbah minyak di atas lantai dan cetuskan kebakaran, menolak orang ke kipas dan banyak lagi. Setiap benda di persekitaran sekeliling pemain boleh digunakan untuk menaikkan jumlah markah pemain. Lebih kreatif korang bunuh, lebih tinggi markah.

Objektif juga diberikan untuk pemain laksanakan. Terdapat objektif utama dan objektif secondary. Objektif utama selalu memerlukan pemain untuk membunuh sasaran-sasaran yang telah ditetapkan. Manakala, objektif secondary lebih banyak melibatkan pemain untuk menyelesaikan teka-teki tambahan, mencuri item penting atau bunuh jer semua orang.

Setiap kali pemain dapat menyelesaikan satu level, jumlah markah akan dihitungkan dan dibahagikan kepada empat kategori berdasarkan kepada cara dan teknik bagaimana pemain melakukan pembunuhan. Empat kategori itu ialah Criminal, Anarchy, Stealth dan Mystic.

Jika pemain banyak melakukan pembunuhan yang dapat dikesan oleh pihak polis tanpa mereka dapat tahu siapa yang lakukannya, markah akan diberikan banyak untuk kategori Criminal. Kategori Anarchy adalah untuk pemain yang suka membunuh semua orang. Untuk Stealth, pemain membunuh sasaran tertentu tanpa dapat dikesan manakala untuk Mystic pula memerlukan pemain untuk melakukan aktiviti-aktiviti paranormal seperti menghidupkan orang yang telah mati.

Apabila jumlah markah dapat mencapai tahap yang telah ditetapkan untuk keempat-empat kategori, ganjaran akan diberikan kepada pemain di mana ganjaran tersebut akan dapat membantu pemain untuk misi seterusnya.

Selain daripada mode single-player, mode local co-op juga disediakan untuk korang bermain mod campaign bersama-sama dengan kawan-kawan korang.

Namun, jika pembunuhan yang pemain lakukan dapat dikesan oleh orang lain, orang pertama yang dapat mengesan tindakan pemain akan menghubungi pihak polis lalu mereka akan terus menangkap pemain. Di sinilah kelemahan Party Hard 2 dapat dilihat, ketiadaan sistem checkpoints yang mana ia dapat membantu pemain baru yang masih baru belajar mengenali game ini.

Ini kerana jika pemain dapat dikesan oleh orang lain, pihak polis yang hadir ke tempat itu juga akan dapat mengesan pemain walau di mana pemain berada. Tidak ada elemen seperti bersembunyi di balik almari atau objek lain yang dapat membantu pemain daripada ditangkap oleh pihak polis. Dan apabila pemain mahu melawan pihak polis, kemenangan akan berpihak kepada pihak polis kerana senjata yang pemain gunakan tidak memberi kesan kepada mereka. Perkara ini juga dapat dilihat pada pengawal-pengawal yang menjaga kawasan itu.

Gagal dalam game ini bermakna pemain perlu bermula dari awal permainan. Bayangkan jika objektif permainan ini memerlukan pemain untuk membunuh 100 orang, tapi disebabkan satu kesilapan, restart dari mula. Lantas, ini menjejaskan masa permainan dan boleh menyusahkan pemain terutamanya bagi pemain baru yang mahu meneruskan permainan tanpa ada masalah.

Oleh kerana itu, sistem checkpoints sangat penting untuk diimplikasikan dalam Party Hard 2. Sebagai contoh, selepas pemain menyelesaikan objektif pertama, checkpoint yang pertama diaktifkan, ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan kepada pemain. Tidaklah pemain perlu bermula dari awal jika berlaku kesilapan. Atau sistem checkpoints boleh diimplikasikan untuk difficulty easy kerana dalam Party Hard 2 hanya ada dua tahap difficulty disediakan iaitu medium dan hard.

Grafik, animasi dan muzik

Party Hard 2 menggunakan enjin Unity yang menggabungkan elemen 3D dan 2D dalam grafik berpikselnya yang kelihatan cantik dengan reka bentuk setiap karakter, objek dan persekitaran sekeliling. Efek pencahayaan dari lampu kelab malam dan efek letupan juga memukau sesuai dengan temanya iaitu 8-bit seperti game Hotline Miami.

Pergerakan animasi dan tingkah laku untuk setiap karakter juga menarik. Ada di antara mereka yang menari sehingga mabuk lalu tanpa segan silu menumbuk orang di sebelahnya. Ada juga yang suka berjalan sambil tidur dan banyak lagi yang mana pemain boleh lihat.

Muzik dalam Party Hard 2 mendendangkan lagu bergenre disco, synth wave, electro house dan electronic dance music yang mana ianya sangat rancak dan sedap untuk didengari.

Secara keseluruhan, Party Hard 2 menawarkan kepada pemain yang mahu berseronok di parti dan dalam masa yang sama menjadi seorang pembunuh bersiri. Pemain mempunyai pilihan sama ada untuk membunuh secara senyap seperti Hitman atau mencetuskan banyak pertumpahan darah dengan membunuh semua orang. Segala item-item yang disediakan boleh digunakan oleh pemain untuk menghasilkan pembunuhan yang kreatif. Korang boleh dapatkan game Party Hard 2 sekarang di Steam.

Boleh Beli! 

+ Gameplay yang menarik dan kreatif
+ Grafik dan muzik yang bagus

Boleh Blah!

Jalan cerita yang biasa
Tiada sistem checkpoints yang dapat membantu pemain baru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.