Nampaknya segala laporan tertiris sebelum ini tentang kehadiran Overwatch 2 dan kandungan yang ada dalamnya adalah benar belaka.

Overwatch 2 telah secara rasminya diumumkan oleh Blizzard Entertainment semasa acara Blizzard 2019 yang diadakan malam tadi. Pelbagai info telah disahkan dan didedahkan, jadi tanpa membuang masa jom kita tengok apakah yang bakal disajikan dalam sekuel kepada game shooter ini.

Trailer Sinematik

Blizzard sememangnya membawakan trailer sinematik yang memukau sejak Overwatch lagi, walaupun game pertama itu tidak menyajikan story mode. Untuk Overwatch 2, yang bakal membawakan story mode, sudah semestinyalah Blizzard telah mengeluarkan trailer sinematik.

Dalam trailer yang korang boleh tonton di atas, skuad Overwatch sedang dalam misi untuk menyelamatkan bandar Paris dari serangan Null Sectors, seterusnya mengumumkan kembalinya penyatuan Overwatch.

Trailer Gameplay

Bersama-sama dengan trailer sinematik, Overwatch 2 telah mengeluarkan sebuah lagi video, iaitu trailer gameplay.

Video ini memperkenalkan segala kandungan baharu yang bakal disajikan ke dalam sekuel ini — termasuklah mode, Hero dan map baru.

Story Mission

Kandungan baru yang menjadi tarikan utama dalam Overwatch 2 kelak pastinya ialah kehadiran Story Mission. Ia akan menyajikan misi-misi PvE di mana pemain hanya dibenarkan menggunakan karakter terhad dalam mode ini kerana setiap misi akan ada pembukaan dan penutup sinematik yang berkaitan dengan jalan cerita dan penggunakan karakter.

Hero Mission

Hero Mission adalah satu lagi kandungan yang membawakan gameplay co-op PvE. Blizzard menekankan bahawa mode ini adalah “deeply replayable” atau dalam kata mudahnya pemain tidak akan bosan walaupun mengulang-mainnya banyak kali.

Blizzard mengatakan yang Hero Mission akan menyajikan sebuah gameplay di mana ia sentiasa bertukar map, berbeza objektif, melawan musuh berlainan, memerlukan pemain menggunakan karakter berbeza untuk menyiapkan sesuatu misi — menjadikan gameplay akan sentiasa terasa berlainan dan menyegarkan.

Hero Mission juga akan memperkenalkan sebuah sistem progression baru, iaitu Talent System yang mana ia hanya terdapat dalam Hero Mission secara eksklusif.

Mode PvP & Map Baru

Walaupun telah mengumumkan kehadiran story mode, Overwatch 2 akan tetap memfokuskan kepada permainan PvP seperti mana game pertamanya. Sebuah mode baru akan diperkenalkan ke dalam PvP, iaitu mode yang digelar Push.

Kata Blizzard, Push akan menjadi “mode teras”, dimainkan di kedua-dua Qucik Play dan Competitive Play. Dalam trailer gameplay di atas, kita dapat melihat sedikit gameplay mode Push ini yang dimainkan di map baru Toronto. Selain Toronto, map-map lain yang disahkan terdapat dalam sekuel ini nanti ialah Gothenburg, Monte Carlo, dan Rio de Janeiro.

Tidak pasti apakah mode-mode lain yang ada dalam game pertama yang akan dibawa semula ke dalam Overwatch 2.

Hero Baru

Kesemua Hero yang ada dalam game pertama, akan dibawa masuk semula ke dalam Overwatch 2. Selain itu, buat masa ini, satu lagi karakter telah diperkenalkan untuk sekuel ini. Hero baru ini dikenali sebagai Sojourn.

Skin Kosmetik

Berita baik untuk pemain yang telah membelanjakan sejumlah wang dalam game pertama, segala skin kosmetik dari game itu akan digunakan dalam Overwatch 2.

Tak Mahu Berpecah

Ini merupakan satu keputusan yang agak mengejutkan (dan membingungkan). Untuk tidak memecahbelahkan antara pemain Overwatch dengan Overwatch 2, Blizzard mengesahkan bahawa para pemain dari kedua-dua game ini boleh main multiplayer PvP bersama.

Bagi menjadikan ini kenyataan, maka Blizzard akan turut mengemaskini multiplayer Overwatch dengan kandungan yang sama dengan multiplayer Overwatch 2 — senang kata, semua map, Hero dan mode baru untuk PvP dalam kedua-dua game akan dikemaskini secara bersama.

Grafik Lebih Cantik

Dalam trailer gameplay yang korang boleh saksikan di atas, Blizzard menyatakan yang Overwatch 2 akan menyajikan visual yang lebih baik berbanding game pertama. Ini terpulang kepada para pemain untuk menilai sama ada grafik ini sebenarnya lebih baik ataupun tidak.

Platform & Tarikh Pelancaran

Overwatch 2 akan dilancarkan ke semua platform yang boleh memainkan Overwatch pada ketika ini — iaitu PC (Battle.net), PS4, Xbox One dan Switch. Apakah Overwatch akan dilancarkan ke PS5 dan Xbox seterusnya? Sama-samalah kita nantikan.

Walau bagaimanapun, Blizzard masih lagi belum mengumumkan bilakah Overwatch 2 akan dilancarkan.

Harga jualan untuk sekuel ini juga tidak diumumkan pada ketika ini. Ia telah menimbulkan perbincangan yang hangat dalam komuniti Overwatch kerana apakah dengan kandungan baru yang boleh dikatakan tidak terlalu banyak ini, Blizzard akan mengenakan harga seperti sebuah game penuh?

JomKomen!