Overcooked 2 merupakan sekuel kepada Overcooked, game yang dibangunkan oleh Ghost Town Games dan diterbitkan oleh Team17. Ia dilancarkan pada 7 Ogos 2018 untuk PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch.
Dari segi genrenya, ia adalah sebuah game simulasi memasak, yang boleh dimainkan sehingga 4 pemain.
Penulis tidak pernah bermain game pertama Overcooked, sebaliknya bermain Overcooked 2 merupakan kali pertama penulis bermain siri game ini. Bermakna, reviu ini tidak akan membandingkan antara Overcooked dengan Overcooked 2, tetapi akan mengulas dari pandangan seorang yang pertama kali bermain game memasak ini.
Apa Yang Terjadi Di Dapur Belakang
Apakah konsep game ini? Overcooked 2 ini boleh diumpamakan seperti siri game Diner Dash. Namun, apa yang membezakannya, kalau Diner Dash memaparkan apa yang berlaku di barisan hadapan sesebuah restoran, iaitu kita diberi tugas sebagai seorang pelayan (waiter/waitress) — membawa pelanggan duduk, mengambil menu, meletakkan pesanan ke dapur, dan membersihkan meja — Overcooked 2 pula adalah sebuah game yang menceritakan apa yang berlaku di dapur belakang.
Maksudnya, ia seolah-olah setelah pelayan meletakkan pesanan, tugas kita ialah untuk menyiapkan menu tersebut, dan kemudian makanan yang dah siap itu akan diberikan kepada pelayan untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Lebih Susah Daripada Masak Megi
Overcooked 2 semestinya adalah sebuah game memasak yang lebih susah daripada korang masak megi. Gameplaynya adalah sangat menyeronokkan — kita perlu memotong bahan-bahan mentah seperti ayam, daging, ikan dan lain-lain; tanak nasi dan rebus pasta; campurkan bahan-bahan dalam “mixer”, bakarkannya, stimkannya, letakannya di atas pinggan sebelum ia tersedia untuk dihidangkan.
Semua aktiviti memasak tersebut berbeza mengikut menu yang diminta. Kalau burger, kita perlu masak dagingnya dulu, sebelum dihidangkan bersama-sama dengan keju, kobis dan roti. Kalau sushi, kita perlu tanak nasi, potong ikan dan gulungkannya dengan rumpai laut. Kalau piza, letakkan tomato dan keju di atas doh, kemudian bakarkannya di dalam ketuhar. Ada juga kek coklat, di mana kita perlu masukkan coklat dan tepung ke dalam mixer, seterusnya bakarkannya.
Menu yang ada dalam game ini sememangnya beraneka, membuat kita sukar untuk menghafal menu-menu itu, melainkan mengikut sahaja apa disuruh oleh menu tersebut.
Pecah Perut, Sampai Boleh Bergaduh
Apa yang membuatkan game ini benar-benar menyeronokkan ialah apabila suasana di dapur itu mula menjadi tegang dan kelam-kabut. Pelanggan sudah marah kerana makanan lambat sampai, kita pula tersalah buat menu, daging pula terlebih masak sehingga kuali terbakar (overcooked), nasi pula terlupa nak tanak, kena pula ambil pemadam api sebab dapur dah mula berasap dan berapi, pinggan tak basuh lagi serta macam-macam lagi.
Kebiasaanya, apabila bermain co-op, setiap pemain itu akan mempunyai tugas masing-masing. Seorang potong bahan-bahan mentah, seorang tukang goreng, seorang tukang hidang makanan, misalnya. Suasana akan mencuit hati apabila seorang pemain mula membuat silap dan pemain lain akan mula menyalahkan pemain tersebut. Permainan akan menjadi pecah perut sehingga bergaduh mulut apabila tidak mampu mencapai markah atau bintang yang disasarkan.
Dapur Yang Menggila
Jika diikutkan, menu yang perlu disediakan tidak sesusah mana pun. Apa yang membuatkan game ini semakin lama semakin bertambah sukar adalah rekaan dapur (atau arena atau map atau apa sahaja yang korang nak panggil) yang berbeza di setiap level.
Rekaan dapur ini akan membuatkan setiap bahan mentah, tempat menggoreng, pinggan, tempat kutip pinggan, singki — semuanya sengaja diletakkan berjauh-jauhan untuk tidak membuatkan para pemain menghabiskan level tersebut dengan mudah. Penulis bertambah kagum dengan rekaan dapurnya apabila ia ditampilkan dengan cukup kreatif untuk memberikan kesukaran yang lebih banyak kepada para pemain.
Antara rekaan dapur yang ada dalam game ini ialah platform-platform yang bergerak, portal-portal yang membawa pemain dari satu kawasan yang tidak boleh diakses ke kawasan yang lain, api yang dicampak ke kawasan dapur secara rawak dan banyak lagi. Terdapat banyak juga level di mana sesetengah pemain sahaja boleh mengakses kepada satu-satu kawasan di dapur itu. Maknanya, setiap pemain perlu bekerjasama untuk memastikan setiap persediaan hidangan itu sentiasa berjalan lancar.
Kadang-kala, nampak sahaja rekaan dapur (belum mula main lagi), kami sudah tertawa kerana rekaan dapurnya yang tidak masuk akal dan sangat melucukan. Antaranya, dapur diletakkan di antara dua jalan (di tengah-tengah ada kereta lalu), di atas belon udara, di kawasan perlombongan, di atas sungai dan banyak lagilah tempat yang sememangnya kelakar.
Mode Yang Ada
Overcooked 2 menampilkan 3 game mode — Story, Arcade dan Versus.
Story secara asasnya ialah progression utama dalam game ini. Ia tidaklah mempunyai story yang korang boleh layan. Korang boleh skip sahaja setiap dialog yang ada kerana kisah yang dibawakan terlalu ringan. Mode ini ada map progression yang kita boleh berjalan memilih level menggunakan van.
Arcade pula sebenarnya merupakan level-level dari Story yang boleh dimainkan semula.
Mode ketiga ini sebenarnya yang lebih menarik, iaitu Versus. Story dan Arcade merupakan mode untuk co-op, manakala Versus ini pula ialah mode pertarungan 2v2 — dan rekaan dapurnya tidak sama dengan apa yang ada dalam Story dan Arcade. Mode ini merupakan mode yang lebih mencuit hati, tegang dan lebih sakit hati berbanding dua mode di atas.
Apa yang melucukan adalah pemain lawan boleh mencuri bahan-bahan mentah yang telah kita potong, masakan yang telah kita masak, malah mengambil pinggan kita yang telah siap untuk dihidang dan masukkan ke kounter mereka. Senang cerita, kita penat-penat masak, pihak lawan curi dan mereka yang dapat markah. Memang sakit hati apabila dapat pihak lawan yang sejahat itu haha!
Bukan itu sahaja, malah pemain lawan juga boleh membaling bahan-bahan mentah sehingga kita boleh terjatuh dan perlu menunggu untuk respawn.
Karakter-Karakter Comel
Semakin tinggi level yang dimainkan dalam Story, semakin banyak karakter yang akan di-unlock. Semua karakter ini comel-comel belaka.
Namun, apa yang paling comel ialah ada karakter rakun yang menaiki kerusi roda. Bayangkanlah, seorang (atau seekor?) chef rakun yang berkerusi roda memasak di dapur! Memang berdekah kami ketawa apabila melihat karakter ini pertama kali beraksi.
Online & Local Co-Op
Satu lagi kekuatan game ini ialah kita bukan sahaja boleh bermain secara online atau local, tetapi juga boleh menggabungkan kedua-duanya sekali. Maksudnya, kita boleh team-up secara local, kemudian invite pula rakan lain secara online, seterusnya bermain bersama — asalkan tidak melebihi daripada 4 pemain.
Fungsi ini sangat perlu dipuji kerana tidak banyak game co-op yang membawakan fungsi ini.
Apa Yang Kurang?
Kekurangan yang ada dalam game ini bukanlah datang daripada gameplaynya kerana gameplay yang ditampilkan dalam Overcooked 2 adalah sangat menghiburkan dan memuaskan.
Penulis agak kurang senang dengan tiada butang untuk “restart” apabila setiap level dihabiskan — tidak kira dalam apa jua mode. Setiap kali sesuatu level tamat, sekiranya kita mahu ulang semula level tersebut — sama ada disebabkan gagal atau mahu meninggikan lagi bintang yang dicapai — pemain perlu keluar ke menu hadapan semula dan pilih semula level tersebut. Semua ini mengambil kira-kira 5 minit.
Selain itu, penulis agak kurang gemar juga dalam mode Arcade dan Versus, pemain tidak dibenarkan memilih terus sesuatu level. Sebaliknya, setiap pemain perlu undi level mana yang ingin dimainkan, dan sekiranya ada pemain yang tersalah tekan, kemungkinan untuk bermain level yang tidak diingini itu ada. Pada pandangan penulis, ia akan lebih baik sekiranya party leader memilih sahaja terus level yang ingin dimainkan tanpa perlu untuk mengundi.
Kesimpulan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Mencari party game yang menghiburkan, mencuit hati, karakter-karakter yang comel, dalam masa sama memerlukan skil koordinasi tangan dan memori yang baik serta kerjasama sepasukan yang mantap? Overcooked 2 adalah game yang BOLEH BELI untuk korang. Tambahan pula, game ini hanya berharga RM99 di PlayStation Store dan RM44 di Steam.
Agak sukar sebenarnya untuk penulis fikirkan mengapa korang tidak mahu mainkan game ini kerana ia adalah sebuah game yang sangat menyeronokkan. Mungkin kalau mahukan game yang tenang dan relaks serta tidak mahukan game yang kelam-kabut dan tegang, Overcooked 2 mungkin BOLEH BLAH untuk korang.
+ Gameplay yang menyeronokkan
+ Mencuit hati apabila bermain co-op
+ Karakter yang comel
+ Perlukan koordinasi tangan/memori yang baik
+ Melatih kerjasama sepasukan
+ Rekaan dapur yang kreatif
– Tiada butang “restart” selepas level habis
– Tidak boleh pilih terus level dalam Arcade/Versus
Comments
Loading…