in ,

Ondeh Ondeh: Game Kedua Metronomik, Judul Berdasarkan Kuih Tradisional Malaysia

Setelah berjaya melancarkan game pertama mereka dengan jayanya, Metronomik telah mengumumkan game kedua yang sedang dibangunkan mereka, berjudul Ondeh Ondeh.

Seperti yang tertera jelas melalui judulnya, ia diambil dari kuih tradisional kegemaran rakyat Malaysia, Ondeh Ondeh.

Sama seperti game pertamanya iaitu No Straight Roads, Ondeh Ondeh juga merupakan sebuah game yang memfokuskan kepada muzik atau bunyi-bunyian. Namun, menurut Metronomik, Ondeh Ondeh akan membawakan elemen yang lebih aneh dan lebih berfantasi.

Trailer pertama yang dikongsikan memaparkan beberapa seni konsep, kemudian di akhirnya memaparkan sedikit gambaran daripada bentuk 3D game tersebut.

Jom saksikan:

Selepas menerima maklum balas dari para pemain No Straight Roads yang sangat gemarkan budaya Malaysia, game kedua mereka ini akan mengetengahkan lebih banyak budaya tempatan, dan ini diberitahu jelas melalui judulnya, kata pengarah game, Wan Hazmer.

Menurut beliau lagi, setelah melihat begitu ramai yang sukakan elemen Malaysia yang dibawa dalam game pertama, ia telah memberi keyakinan kepada studio tersebut untuk memacu lebih banyak budaya Malaysia ke hadapan.

Lebih menarik, kuih ondeh-ondeh tidak hanya digunakan sebagai judul semata-mata, malah ia mempunyai kaitannya yang tersendiri dari aspek rekaan game, namun mereka belum mahu mendedahkannya lebih lanjut.

Menurut Daim Dziauddin, pengarah kreatifnya pula, walaupun masih mengetengahkan audio sebagai elemen utama, Ondeh Ondeh merupakan satu game yang sangat berbeza daripada No Straight Roads.

Kalau No Straight Roads mempersembahkan grafik yang sangat berkelip-kelip dan berwarna-warni, Ondeh Ondeh pula akan menurunkan sedikit elemen itu, namun tidaklah ia kelihatan kosong dan bosan, kata Daim.

Buat masa ini, Metronomik masih belum mengumumkan tarikh pelancaran dan platform manakah Ondeh Ondeh akan dilancarkan.

Setelah bertahun menimba ilmu di bawah Square Enix, yang mana projek terakhirnya di Jepun adalah sebagai ketua pereka Final Fantasy XV, Wan Hazmer Wan Abd Halim kembali ke tanah air untuk mencurah bakti dalam industri gaming tempatan.

Bersama-sama dengan Daim Dziauddin, bekas artis konsep Street Fighter V, yang juga sepupunya, mereka telah mengasas Metronomik, sebuah studio pembangunan game tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Dalam reviu Boleh Beli or Boleh Blah!?, JomGaming mengatakan bahawa No Straight Roads menyajikan sebuah gameplay aksi bertemakan muzik yang menggabungkan kedua-duanya dengan amat bijak. Walaupun mempunyai glitch yang agak mengjengkelkan, namun sebagai sebuah game pertama dari studio yang kecil dengan skala pelancaran yang begitu besar, serta betapa komitednya Metronomik untuk memperbaikinya, ia bolehlah kita maafkan.

No Straight Roads kini boleh dimainkan di PC, PS4, Xbox One dan Switch.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Take-Two Telah Labur RM220 Juta Untuk Satu Game Ini, Kemudian Batalkannya

2K Sports Akan Mempertimbangkan Beli Lesen FIFA? Ini Komen CEO Take-Two