Seperti dijanjikan semalam, Metronomik hari ini telah berkongsikan beberapa butiran terbaharu tentang game pertama yang sedang mereka bangunkan, iaitu No Straight Roads.
Beberapa butiran ini diumumkan melalui satu video trailer terbaharu, berkemungkinan trailer terakhir sebelum ia dilancarkan pada bulan hadapan.
Trailer dimulakan dengan protagonisnya, May yang begitu bersemangat untuk menumbangkan empayar EDM melalui revolusi muzik rock. Ia telah memaparkan beberapa gameplay terbaharu yang kelihatan lebih menarik dan lebih digilap.
Kemudian, mereka telah mendedahkan bahawa game ini nanti bakal menampilkan local co-op — sesuatu yang ramai inginkan memandangkan game ini membawakan gameplay antara dua karakter dalam game yang masing-masing mempunyai alat muzik sendiri untuk ‘bertarung’ — iaitu gitar dan dram.
Akhir sekali, Metronomik telah mengumumkan bahawa No Straight Roads akan turut dilancarkan serentak ke Nintendo Switch dan Xbox One, yang mana sebelum ini hanya mengumumkan untuk platform PC (Epic Games Store) dan PS4.
Jom layan trailer terbaharu ini:
No Straight Roads akan membawa pemain sebagai seorang ahli dalam kugiran rock, mempunyai misi untuk menentang empayar EDM. Genre yang akan diketengahkan ialah game aksi yang memfokuskan kepada muzik, namun ia bukanlah game bergenrekan rhythm.
Metronomik merupakan studio pembangun game yang berpangkalan di Malaysia, yang diketuai oleh Wan Hazmer, anak tempatan Malaysia, bekas pembangun di Square Enix yang menjadi lead game designer untuk Final Fantasy XV; serta orang kanannya untuk game ini ialah Daim Dziauddin, bekas concept artist untuk Street Fighter V.
No Straight Roads akan dilancarkan pada 30 Jun ini untuk PC, PS4, Xbox One dan Switch.
Comments
Loading…