in , , , , , ,

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Setelah bertahun menimba ilmu di bawah Square Enix, yang mana projek terakhir di Jepun adalah sebagai ketua pereka Final Fantasy XV, Wan Hazmer Wan Abd Halim kembali ke tanah air untuk mencurah bakti dalam industri gaming tempatan.

Bersama-sama dengan Daim Dziauddin, bekas artis konsep Street Fighter V, juga sepupunya, mereka telah mengasas Metronomik, sebuah studio pembangunan game tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Game pertama Metronomik — No Straight Roads.

Apa Cerita?

No Straight Roads mengetengahkan dua watak utama, iaitu Mayday dan Zuke, duo yang sentiasa menanamkan muzik rock dalam hati mereka. Game dimulakan apabila kedua-dua watak ini menghadiri ujibakat yang dijurikan oleh Tatiana, kemudian persembahan mereka telah dihina kerana mempersembahkan muzik yang ketinggalan zaman — muzik rock.

Bertitik tolak dari situ, Mayday dan Zuke tekad untuk menjatuhkan empayar No Straight Roads, dipimpin oleh Tatiana yang menjalankan pemeritahan kuku besi di Vinyl City. Di bandar itu, muzik rock telah diharamkan kerana No Straight Roads hanya membenarkan electronic dance music (EDM).

Aksi Bermuzik

Genre yang akan diketengahkan dalam game ini ialah aksi yang memfokuskan kepada muzik, namun ia bukanlah sebuah game bergenre rhythm.

Selepas berazam untuk membenam empayar No Straight Roads (NSR), duo Mayday dan Zuke yang dikenali sebagai Bunk Bed Junction (BBJ) akan bertembung dengan orang-orang kanan Tatiana di setiap daerah berbeza untuk melumpuhkan pengaruh muzik NSR.

Secara asasnya, inilah gameplay utama dalam game ini, iaitu meng-hijack konsert-konsert pemuzik yang berada di bawah naungan NSR.

Keunikan

No Straight Roads sememangnya sebuah game yang sangat unik. Dari konsep ceritanya, pengarahan seninya, rekaan karakternya, bermacam elemen Malaysia yang diselitkan, muzik yang catchy dan penuh emosi, serta cara bijak game ini menggabungkan unsur muzik menjadi sebuah gameplay yang jarang dapat kita saksikan.

Jika difikirkan tema cerita yang dibawakan dalam game ini boleh dikatakan agak berat, namun diselitkan dengan unsur-unsur santai yang apabila dilihat secara luaran terasa lebih ringan. Kita disajikan dengan mesej yang berat seperti pemerintahan kuku besi yang menindas rakyat Vinyl City, sehinggakan rakyat tidak lagi bebas untuk memilih muzik kegemaran masing-masing. Malah, bekalan elektrik rakyat marhaen juga seringkali terputus kerana tenaga lebih digunakan untuk elit-elit di bandar itu.

Namun, tema dan mesej yang berat ini tidaklah terlalu ketara apabila sepanjang game ini disulamkan dengan penyampaian yang lebih santai seperti perwatakan Mayday dan Zuke yang kecoh, dialog-dialog lucu, serta ciri-ciri pemuzik musuh NSR yang kadang-kala entah tidak tahu di mana logik akalnya. Walaupun kadang-kala ada dialog lucu yang agak hambar, namun ia masih lagi boleh diterima.

Kebanggaan Malaysia

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sebagai sebuah game buatan Malaysia, pastinya Metronomik mempunyai ‘agenda’nya untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia melalui easter-easter egg yang menarik. Antaranya, ada beberapa dialog yang diselitkan bahasa pasar orang Malaysia seperti “adoi”, “lah” dan “opocot”. Kemudian, ada daerah Akusuka, tenaga “Qwasas” (kuasa), karakter bernama “DK West” (dikir barat) yang bercakap sepenuhnya dalam bahasa Malaysia.

Sebelum terlupa, karakter DK West harus disebutkan secara khas dalam artikel ini. Pujian harus diberikan kepada usaha yang dilakukan oleh Metronomik bagi menghidupkan watak ini. Dari pemilihan nama, percakapannya, rekaan karakter, serta gameplay khas genre rhythm.

Lebih membanggakan apabila No Straight Roads turut menampilkan Bahasa Malaysia sebagai salah satu bahasa teks, seperti yang telah kami laporkan sebelum ini. Apabila memilih Bahasa Malaysia, UI, tips dan tutorial serta sarikata akan disajikan dalam bahasa kebangsaan.

Kurang Digilap

No Straight Roads sememangnya memiliki konsep asal yang sangat menarik. Namun, ada sesetengah bahagian dalam game ini terasa seperti terlalu terburu-buru untuk disiapkan dan kurang digilap.

Banyak bug dan glitch ditemui semasa bermain game ini. Setakat ini, glitch yang paling banyak penulis temui adalah ketika bermain secara co-op. No Straight Roads sangat seronok untuk dimainkan secara co-op, namun kehadiran glitch yang tidak diundang ini merencatkan pengalamannya.

Karakter salah seorang (atau kadang-kala kedua-duanya sekali) secara tiba-tiba kaku dan tidak boleh bergerak. Ini sangat menjengkelkan, lebih-lebih apabila sedang bermain menentang level 1010 (TenTen) yang mempunyai platform yang bergerak-gerak. Mengeruhkan lagi keadaan apabila permainan dan posisi kamera yang sangat mengelirukan dan menghentak-hentak tidak tentu hala, sekaligus membuatkan kita sebagai pemain boleh terasa pening dengan pergerakan yang tidak sekata ini (motion sickness). Ya, Metronomik perlu memikirkan satu solusi yang pantas bagaimana ingin menyelesaikan isu kamera ketika bermain co-op.

Walaupun mempunyai konsep asal yang sungguh lain daripada yang lain, gameplaynya secara keseluruhan tidaklah begitu mengejutkan. Ya, ia menghiburkan, tapi tidaklah sampai ke tahap “wow”. Ia menyajikan sebuah ‘boss battle’ biasa-biasa, yang mana sekiranya dimainkan tanpa mendengarkan muzik pun boleh dihabiskan. Namun sudah tentu, pengalaman terbaik perlulah dimainkan dengan mendengarkan muziknya yang cukup bagus.

Replayability

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Walaupun No Straight Roads tidak memberikan kita sebuah jalan cerita yang panjang (sesuai dengan statusnya sebagai sebuah game indie), penulis amat tertarik dengan nilai ulang semula atau replayability.

Setelah jalan cerita utamanya tamat, pemain boleh mengulangi semua boss battle yang sudah dimainkan sebelum itu dalam mode yang lebih variasi. Ada Hard, Crazy, Parry dan Perfect Parry Mode, serta pemain juga boleh pilih muzik genre apa untuk dimainkan semasa setiap boss battle itu. Kepada pemain pengumpul trofi atau trophy hunter, pastinya perlu memainkan setiap boss battle itu sekurang-kurangnya lima kali.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sebagai sebuah game buatan Malaysia, penulis merasakan No Straight Roads harus dimainkan oleh setiap gamer Malaysia. Ya sudah tentu studio tempatan telah menghasilkan bermacam video game, namun game ini sedikit berbeza kerana ia mendapat liputan yang cukup meluas di seluruh dunia.

No Straight Roads menyajikan sebuah gameplay aksi bertemakan muzik yang menggabungkan kedua-duanya dengan amat bijak. Walaupun mempunyai glitch yang agak mengjengkelkan, namun sebagai sebuah game pertama dari studio yang kecil dengan skala pelancaran yang begitu besar, serta betapa komitednya Metronomik untuk memperbaikinya, ia bolehlah kita maafkan.

No Straight Roads: Boleh Beli or Boleh Blah!?

+ Konsep asal menarik
+ Gameplay unik gabungan aksi dan muzik
+ Banyak elemen Malaysia
+ Tema cerita berat, tapi penyampaian santai
+ Nilai replayability

+ Muzik yang bagus

– Banyak glitch
– Kamera co-op memeningkan

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Nintendo Umumkan Game Battle Royale Untuk Super Mario Bros - 35 Pemain Berentap Serentak

Nintendo Umumkan Game Battle Royale Untuk Super Mario Bros – 35 Pemain Berentap Serentak

Auto Draft

The Witcher 3 Untuk PS5, Xbox Series X Diumumkan, Naiktaraf Percuma Untuk Pemain PS4, Xbox One