Bersempena konvensyen Level Up Play 2019 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, Metronomik telah mengumumkan sesuatu yang sangat, sangat menarik.

Metronomik akan menampilkan satu budaya Malaysia yang cukup unik ke dalam No Straight Roads. Elemen yang berasal dari Kelantan seperti wayang kulit dan dikir barat akan mewarnai game aksi muzikal ini.

Dalam satu post yang dinaikkan di Facebook, Metronomik memperlihatkan sedikit gambaran penjahat baru yang bakal melawan Mayday dan Zuke, iaitu penjahat yang digelar DK West (Dikir Barat). Dalam satu GIF, kita dapat melihat tukang karut yang menggunakan persembahan wayang kulit sebagai “senjata”nya.

Lebih menarik, Metronomik turut mengumumkan bahawa melalui kehadiran DK West, akan terdapat “rap battle” dalam game ini nanti. Tak sabar untuk nantikan gameplay menentang DK West ini, mengelak peluru-peluru berbahaya sambil mengikut rentak dikir barat.

Dalam satu video lain, Metronomik berkongsikan suasana booth mereka di Level Up Play 2019 yang turut memperlihatkan rekaan DK West dan wayang kulit dari dalam game ini. Korang boleh saksikannya sendiri, dan mencuba main game ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Hari ini merupakan hari terakhir, jadi jangan lepaskan peluang.

No Straight Roads akan dilancarkan pada awal tahun 2020 untuk PC dan PS4.

JomKomen!