in , ,

Nintendo Switch Model OLED Baharu Diumumkan Secara Rasmi – Ini 10 Perkara Korang Perlu Tahu

Setelah beberapa laporan awal muncul tentang model Nintendo Switch yang baharu, Nintendo akhirnya mengumumkannya melaui satu trailer baharu.

Jadi, apa pembaharuan yang bakal dibawakan? Bilakah tarikh pelancarannya? Apa yang kita tahu setakat ini? Semuanya kami cuba kumpulkan dalam artikel ini.

Skrin OLED, 7 inci

Tiada penambahan nama untuk Switch yang baharu ini seperti ‘Switch Pro’, ‘Switch 2’, atau lain-lain. Sebaliknya, nama rasminya hanyalah Nintendo Switch (model OLED).

Sebabnya adalah jelas, kerana model baharu ini menggunakan skrin OLED sebesar 7 inci. Berbeza dengan model asal Switch yang menggunakan skrin LCD sebesar 6.2 inci, manakala Switch Lite pula menggunakan skrin LCD sebesar 5.5 inci.

64 GB Storan

Nintendo telah menggandakan storan dalam model OLED ini kepada 64 GB. Sebelum ini, model asal Switch dan Switch Lite hanya membawakan 32 GB.

Semestinya lebih banyak game untuk pemain simpan.

Kehadiran port LAN

Nikmat bermain game secara online tidak akan mencapai tahap tertinggi tanpa menggunakan sambungan LAN. Maka, Nintendo telah belajar dari kesilapannya dengan menampilkan port LAN untuk dock yang serba baharu.

Tentunya, port LAN ini boleh digunakan semasa bermain dalam mode konsol di televisyen, bukannya dalam mode handheld.

Rekaan Fizikal Ditambahbaik

Rekaan fizikal Nintendo Switch model OLED telah ditambahbaik dengan pendiri (stand) yang lebih memudahkan untuk mendapat sudut bermain yang lebih selesa.

Audio Yang Lebih Baik

Tanpa menyatakan secara terperinci, Nintendo berkata bahawa Switch model baharu ini akan memberikan audio yang lebih baik.

CPU/GPU, RAM Yang Sama

Penambahbaikan dalam model baharu ini lebih kepada penampilan luarannya sahaja. Switch model OLED ini masih lagi menggunakan CPU/GPU yang sama iaitu NVIDIA Custom Tegra processor, berdasarkan spesifikasi yang dipaparkan di laman web rasmi Nintendo.

Nintendo juga telah mengesahkan kepada The Verge bahawa model baharu ini tiada peningkatan RAM daripada model sebelumnya.

Saiz, Berat Lebih Kurang Sama

Kekuatan Switch adalah mobilitinya. Walaupun menawarkan skrin yang lebih besar, model baharu ini boleh dikatakan mempunyai saiz dan berat yang sama.

Switch model OLED memiliki saiz 4 inci x 9.5 inci dengan berat 0.93 lbs. Hanya sedikit berbeza dengan Switch model asal iaitu 4 inci x 9.4 inci dengan berat 0.88 lbs (apabila dipasangkan Joy-Con).

Joy-Con, Dock Yang Serasi

Joy-Con yang digunakan untuk model OLED adalah sama dengan sebelum ini. Dalam kata lain, Joy-Con boleh digunakan di kedua-dua Switch model OLED dan model asal.

Malah, walaupun dock baharu itu nanti akan mempunyai port LAN, namun dock yang lama tetap boleh digunakan untuk Switch yang baharu, serta Switch model asal juga boleh diletakkan di dock yang baharu.

Dock Dijual Secara Berasingan

Berita baik kepada mereka yang ingin menggunakan sambungan LAN ketika bermain di televisyen tetapi tidak mahu membeli keseluruhan Switch yang baharu.

Hal ini kerana dock baharu yang hadir dengan port LAN itu akan boleh dibeli secara berasingan, disahkan Nintendo kepada DigitalTrends.

Resolusi Yang Sama

Walaupun ada penambahbaikan dari segi skrin yang digunakan, iaitu dari OLED kepada LCD, model baharu ini tetap menampilkan resolusi yang sama — 1280x720p — dan hanya akan bertukar resolusi kepada 1080p apabila bermain menggunakan dock di televisyen.

Harga, Tarikh Pelancaran

Nintendo Switch (model OLED) akan dilancarkan pada 8 Oktober 2021, USD349.99.

Seperti biasa, Nintendo tidak membawa produk mereka secara rasmi ke pasaran Malaysia, maka kita perlu menunggu berapakah harganya apabila ia tiba di kedai-kedai game tempatan kelak.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Mobile Gamer Dah Belanjakan Lebih RM185 Billion Setakat Ini Dalam 2021 Di Seluruh Dunia

Michelle Yeoh Diumumkan Sebagai Bintang Dalam The Witcher: Blood Origin Sebagai Scian