Nintendo baru sahaja mengumumkan satu handheld terbaru yang mana ia merupakan kelas bawahan untuk Nintendo Switch — dikenali sebagai Nintendo Switch Lite.

Secara asasnya, Switch Lite merupakan versi Switch yang lebih kompak dan murah berbanding Switch yang ada di pasaran pada ketika ini. Walau bagaimanapun, ada banyak juga perbezaan antara Switch dengan Switch Lite, dan dalam artikel ini kita akan lihat apakah yang berlainan antara dua handheld keluaran Nintendo ini.

Lebih Mudah-Alih

Lebih kompak dan lebih ringan. Itu yang menjadi tarikan utama Switch Lite. Ia akan menjadi lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana, walaupun versi Switch kini sudahpun juga mudah-alih.

Dimensi Switch ialah 102mm x 239mm x 13.9mm, manakala Switch Lite ialah 91.1mm x 208mm x 13.9mm.

Berat Switch ialah kira-kira 297g, manakala Switch Lite ialah kira-kira 275g.

Saiz skrin Switch ialah 6.2 inci, manakala Switch Lite ialah 5.5 inci.

Bukan Konsol

Salah satu fungsi mengagumkan yang diperkenalkan ke dalam Switch ialah bagaimana handheld itu boleh ditukarkan menjadi sistem konsol selepas diletakkan di dok khas, dan kemudian boleh dimainkan di TV. Tetapi, untuk Switch Lite, fungsi itu telah dibuang, yang mana kali ini ia fokus kepada sebuah sistem mudah-alih sahaja.

Tiada Joy-Con

Apa yang membuatkan Switch seronok untuk dimainkan ialah rekaan fizikalnya yang cukup berinovasi, yang mana ada Joy-Con di kiri dan kanan handheld tersebut. Kedua-dua Joy-Con itu boleh dicabutkan dan dimainkan dengan pelbagai cara terutamanya untuk bermain game yang menggunakan motion censor melalui Nintendo Labo.

Namun, untuk Switch Lite, rekaan Joy-Con tidak dibawakan. Rekaan fizikalnya hanya berbentuk seakan sama seperti Switch tetapi tidak boleh mencabut pemegang kiri dan kanannya.

Kehadiran D-Pad

Kebanyakan pemain Switch merungut yang handheld itu tiada butang d-pad. Tapi jangan risau, Nintendo akan mengembalikan butang d-pad di bahagian pemegang kiri Switch Lite.

Bateri Tahan Lama

Disebabkan fokus utama Switch Lite ialah untuk penggunaan mudah-alih yang lebih banyak, semestinya ketahanan bateri kini lebih penting. Menurut Nintendo, bateri Switch Lite akan tahan lebih lama sebanyak 20-30 peratus berbanding Switch.

Pindah Data

Nintendo telah mendedahkan yang mereka akan memperkenalkan satu cara baru untuk memindahkan data-data yang ada dalam Switch ke peranti-peranti Switch lain. Walau bagaimanapun mereka masih belum berkongsikan secara lanjut bagaimanakan caranya itu kelak.

Warna

Semasa pelancaran nanti, tiga warna akan dikeluarkan — kuning, kelabu, dan turquoise.

Harga & Tarikh Pelancaran

Nintendo Switch Lite akan dilancarkan pada 20 September 2019, dengan harga USD199 (~RM820).

JomKomen!