Produk dah cantik, marketing dah gempak – sekali gamers Malaysia dipaksa membeli Nintendo Switch dengan game bundled pada harga melampau!

Baru-baru ini, dua kedai game utama di Malaysia masing-masing telah mengumumkan harga pre-order Nintendo Switch mereka. Gamers Hideout telah mengumumkan dua bundle – Nintendo Switch dengan Joy-Con Kelabu (RM2,299) dan Nintendo Switch dengan Joy-Con Neon Merah dan Biru (RM2,399).

Post ini di Facebook menimbulkan kemarahan para gamer.

Kedua-dua bundle ini didatangkan dengan Nintendo Switch, game 1-2 Switch dan game The Legend of Zelda: Breath of the Wild serta beberapa aksesori seperti Joy-Con Grip, Wrist Strap dan sebagainya.

Hari ini, Impulse Gaming pula mengumumkan harga pre-order mereka. Yang menariknya, Impulse Gaming meletakkan harga Nintendo Switch dengan Joy-Con Kelabu / Neon Merah dan Biru pada RM2,099!

Melihatkan harga Impulse Gaming yang sedikit mesra, post ini di Facebook kurang menerima rungutan gamers.

Lagi menarik, Impulse Gaming siap memberikan baucar wang tunai RM100 dan hadiah misteri untuk lebih menarik perhatian gamers di luar sana. Namun, harga pre-order yang diletakkan masih jauh melebihi harga yang diumumkan oleh Nintendo!

JomBaca: Nintendo Switch: Semua Maklumat Korang Patut Tahu Mengenai Handheld/Console Nintendo

Semasa diumumkan oleh Nintendo, Nintendo Switch diumumkan akan berharga 29,980 yen (~RM1164), USD299.99(~RM1335). Dan Nintendo juga mengumumkan Nintendo Switch takkan dibundle bersama game bagi mengekalkan tawaran harga yang rendah itu.

Tetapi apa yang terjadi kini adalah sebaliknya! Seorang gamer telah membuat kira-kira mudah di post Gamers Hideout – dan beliau merumuskan harga ini adalah “ridiculous”, tak masuk akal!

Berapa Sebenarnya Anggaran Harga Nintendo Switch?

Jom kita bandingkan harga pakej yang ditawarkan ini berdasarkan pengumuman-pengumuman harga daripada Nintendo sebelum ini.

  • Harga Nintendo Switch USD299.99 (~RM1335)
  • Harga game Nintendo Switch USD60 (~RM267) x2
  • Jumlah: ~RM1869

Sememangnya harga di atas tidak mengambilkira cukai, GST dan sebagainya, namun jika dikira segala harga tambahan itu, ianya masih rendah berbanding harga yang dibuka oleh Gamers Hideout dan Impulse Gaming.

Kerana tawaran harga yang melampau itu, gamers melihat harga tersebut ditetapkan oleh pengedar tunggal Nintendo di rantau ini iaitu Maxsoft Online. Facebook Maxsoft Online dibanjiri rungutan, ugutan dan persoalan – mengapa harga yang melampau sebegini ditawarkan?

Kami telah menghubungi Maxsoft Online untuk mendapatkan penjelasan, tetapi mereka masih belum memberikan sebarang jawapan kepada soalan kami. Artikel ini akan dikemaskini apabila kami mendapat penjelasan daripada pihak Maxsoft.

Jadi bagaimana? Adakah Nintendo Switch masih menjadi idaman hati? Adakah harganya terlalu tinggi sehingga ianya ‘tidak masuk akal’? Cuba suarakan pendapat korang di ruangan komen.

P.S.: Kami cuba menghubungi sebuah lagi kedai game terkemuka di Malaysia iaitu Heavy Arm Online Gamestore, dan mereka mengatakan bahawa mereka tidak mengambil sebarang pre-order untuk Nintendo Switch. Malahan harga mereka bagi Nintendo Switch juga belum diumumkan lagi.

1 komen

JomKomen!