Perang lesen antara EA Sports & FIFA dengan Konami & PES sememangnya cukup rancak pada minggu ini.

Yang menjadi perhatian global semestinya ialah bagaimana Konami & PES 2020 kini memegang lesen eksklusif untuk kelab Itali paling berjaya dalam sejarah, Juventus — sehingga memaksa FIFA 20 menukar nama kelab itu kepada Piemonte Calcio.

Situasi ini merupakan yang pertama kali kita lihat dalam sejarah, memandangkan EA cukup terkenal dengan pemegangan lesen-lesen eksklusif untuk kelab-kelab dan liga-liga terbesar dunia. Sehinggakan, lapor CNBC, nilai saham EA jatuh kira-kira 3.2 peratus pada Selasa, dari USD92.22 kepada 89.11 setiap saham.

Walaupun penurunan ini mendapat perhatian, ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan sebenarnya. Kira-kira dua minggu lalu, nilai saham EA turun kira-kira 5 peratus selepas pelancaran Season 2 dalam Apex Legends. Salah satu daripada faktor penurunan ini ialah disebabkan statistik game tersebut di Twitch yang berada di bawah jangkaan, seterusnya mengejutkan para pelabur.

EA Sports sebelum ini telah mengesahkan bahawa Juventus tidak ditampilkan secara rasmi dalam FIFA 20, dan kelab itu nanti akan menggunakan nama tidak rasmi, iaitu Piemonte Calcio. Nama, jersi dan logo kelab tidak akan mengikut Juventus di dunia sebenar.

Walau bagaimanapun, peminat setia siri FIFA janganlah risau kerana pemain-pemain yang ada dalam Piemonte Calcio itu nanti akan menggunakan nama pemain-pemain sebenar Juventus — sesuatu yang sentiasa berlaku dalam siri PES. Malah semua nama pemain sebenar ini akan hadir dalam semua game mode FIFA 20, termasuklah Ultimate Team dan Career Mode.

FIFA 20 akan dilancarkan pada 27 September 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

eFootball PES 2020 akan dilancarkan pada 10 September 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!