in , , , ,

Nier Replicant: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Setelah melihat kejayaan hebat Nier Automata, Square Enix memutuskan untuk menaiktaraf game asalnya berjudul Nier Replicant (2010) kepada sebuah game remastered yang sebenarnya secara rasmi berjudul ‘NieR Replicant ver.1.22474487139…’

Diberi nama yang lebih kompleks untuk versi remastered iaitu berjudul Nier Replicant ver.1.22474487139 (atau anda boleh sahaja panggil Nier Replicant), game ini dilancarkan pada 23 April 2021.

Game ini diberi nafas baharu oleh pembangun, Toylogic dari segi penaiktarafan grafik dan aksi kombat yang gempak sambil mengekalkan jalan cerita yang sama ditambah pula dengan pengakhiran baru untuk versi remastered! Jom baca Nier Replicant: Boleh Beli or Boleh Blah?!

Sebelum saya memulakan reviu ini, saya mahu memberi sedikit latar belakang tentang Nier. Secara asalnya, Nier mempunyai dua pelancaran yang berbeza iaitu Gestalt dan Replicant. Kedua-dua game ini membawa jalan cerita yang sama tetapi daripada perspektif dua protagonis yang berlainan umur. Dalam Gestalt, pemain mengawal seorang bapa yang cuba mempertahankan anaknya dalam dunia pasca apokalips manakala dalam Replicant, pemain mengharungi cerita yang sama tetapi pemain mengawal seorang remaja yang cuba mempertahankan adiknya pula.

Kenapa ada dua versi? Pada ketika itu, Gestalt dilancarkan untuk pasaran Barat (Amerika Syarikat) kerana Square Enix mahukan protagonist yang lebih dewasa dan kental. Untuk versi Replicant pula, ini cuma dilancarkan secara eksklusif untuk pasaran Jepun. Meskipun pemain kali ini akan bermain protagonis muda, jalan ceritanya masih sama dan jangan risau, watak protagonis dewasa ada juga membuat penampilan dalam versi remastered ini.

Apa yang menarik tentang Nier Replicant?

Nier Replicant mengikuti kisah antara adik-beradik di mana anda akan mengawal abang kepada Yonah yang tenat disebabkan sakit misteri dikenali sebagai Black Scrawl. Risau akan kesihatan adiknya yang semakin melarat dek penyakit terminal ini, protagonis bersumpah untuk mencari penawar demi menyelamatkan adiknya.

Dalam usaha pemain untuk mencari penawar Black Scrawl, anda tidak keseorangan. Malah, pemain mendapat pertolongan daripada kitab ajaib dikenali sebagai Grimoire Weiss yang menyalurkan kuasa magik kepada protagonis untuk mengalahkan raksasa diketahui sebagai Shades.

Pemain juga bertemu dengan seorang wanita panas baran, handal menghunus pedang dan berpakaian tak cukup benang bernama Kaine serta seorang budak lelaki muda bernama Emil yang terpaksa menutup pandangan mata untuk menghalang dia daripada pegun (petrify) orang.

Berbanding game asal yang berusia 11 tahun, penaiktarafan grafik dalam Nier Replicant sungguh memukau dengan frame-rate yang baik (60fps) sekaligus menjadikan combat lebih dinamik, tangkas serta menyeronokkan.

Dari segi kombat pula, tidak disangkal lagi Nier Replicant mengambil inspirasi gaya kombat Nier Automata untuk diterapkan dalam game ini. Mekanik kombat diseimbangkan dengan siri tutorial yang kena pada masanya untuk mengajar pemain untuk ‘parry’ dan meneruskan kombo serangan. Tambahan pula, pemain mendapat kebolehan untuk menukar 3 jenis senjata berbeza secara mudah semasa dalam combat. Selain itu, mod ‘auto-combat’ disediakan untuk membantu pemain yang mahu bermain Nier Replicant secara santai.

Geng Replicant: protagonis dewasa bersama Grimoire Weiss, Kaine dan Emil.

Teras utama Nier Replicant sentiasa fokus kepada genre ‘action role-playing adventure’ di mana membawa pemain untuk menikmati pelbagai bentuk gameplay seperti menyelesaikan teka-teki bersyarat di sebuah kuil, menolong orang ramai di sesetengah bandar, melawan robot-robot usang di kilang robot terbiar dan terdapat juga mekanik gameplay berdasarkan teks (text adventure) dengan pemain harus membuat keputusan berdasarkan kisah teks berkenaan.

Nier Replicant didorong dengan interaksi antara protagonis dengan karakter yang mempunyai personaliti dan dialog unik tersendiri di mana interaksi ini bersangkut-paut merentasi plot yang dibahagikan kepada 3 struktur plot dalam tempoh tahun 2053 ke 3465 dari usia remaja sehinggalah meningkat dewasa.

Nier Replicant mengikuti rentetan gameplay aksi ‘linear’ yang mungkin agak samar-samar pada mulanya tetapi pemain bakal dihidang dengan serba sedikit kisah tentang apa yang sebenarnya berlaku antara protagonis, Yonah, Kaine, Emil dan ramai lagi.

Apa yang tidak menarik tentang Nier Replicant?

Rasakan duri-duri magik, Shade!

Untuk melengkapkan perjalanan game ini, pemain harus mengambil banyak ‘side quest’ yang renyah dan memerlukan komitmen pemain sepenuhnya semata-mata untuk mendapatkan wang secukupnya dan melengkapkan koleksi senjata seperti menghantar barang mudah pecah dengan merentasi tiga tempat berlainan atau anda menghabiskan masa berjam-jam untuk memancing ikan dan menanam bunga-bungaan serta sayur-sayuran.

Jika anda mahu menaiktaraf senjata-senjata di mana terdapat 33 senjata direkodkan dalam game ini, bersiap-sedialah untuk meneroka dunia Nier Replicant dan mendedikasi berjam-jam lamanya untuk mencari peralatan untuk menguatkan senjata dan mengumpul koleksi ‘Word Edit’ iaitu satu kebolehan yang boleh membantu menguatkan pemain dari segi kuasa magik, senjata dan seni mempertahankan diri.

Saya pernah berulang kali masuk ke satu tempat yang sama dan menghabiskan masa selama 6 jam mengalahkan robot-robot untuk mencari satu besi yang hanya jatuh daripada satu jenis musuh. Sangat leceh.

Secara Kesimpulannya…

Versi cilik: Yonah bersama abangnya

Seperti apa yang anda sedia maklum, Nier Replicant perlu dimainkan sebanyak 5 kali untuk mengetahui keseluruhan jalan ceritanya iaitu pengakhiran A, B, C, D dan tambahan pengakhiran terbaru untuk versi remastered iaitu E tetapi pengkahirannya tidaklah begitu kompleks seperti Nier Automata. Namun, ini tidak bermakna pemain perlu bermain semula dari saat permulaan game ini dan pemain akan merasai perjalanan game ini semakin mudah untuk mengalahkan raksasa-raksasa terdahulu kerana protagonis semakin kuat.

Meskipun plot dan karakter adalah tarikan utama Nier Replicant, tanpa mendedahkan spoiler, saya sebenarnya musykil akan sesetengah penceritaan game ini yang tidak masuk akal. Saya juga pelik akan rekaan Kaine yang hanya memakai pakaian dalam. Ya, ada alasan kenapa dia berpakaian begitu iaitu seakan sama seperti Quiet dalam Metal Gear Solid 5 tapi bagi saya, alasan itu agak mengarut.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Setelah menghabiskan masa selama 35 jam untuk pengakhiran A dan masih lagi bermain untuk pengakhiran seterusnya, Nier Replicant adalah surat cinta kepada peminat asal yang pernah merasai game ini pada tahun 2010 dengan penaiktarafan mendadak dari segi kombat, grafik, runut bunyi dan persembahan lakonan suara yang mantap.

Malahan, game ini sesuai bagi mereka yang merindui Nier Automata dan anda juga disajikan dengan sedikit latar belakang karakter yang pernah muncul dalam Automata seperti identiti sebenar Devola dan Popola serta punca kenapa Emil berubah penampilan ke topeng yang Yoko Taro suka pakai. Jika kesemuanya ini apa yang anda mahukan, sudah semestinya Nier Replicant jatuh dalam kategori BOLEH BELI anda!

Kalau anda tidak mahu menghabiskan masa kira-kira 40 jam lebih untuk melayan cerita mengarut dan penat ‘grinding’ sehingga hilang sabar, maka Nier Replicant adalah BOLEH BLAH untuk anda.

+ Aksi combat yang dinamik dan tangkas
+ Penaiktarafan grafik seiring dengan perubahan teknologi moden
+ Runut bunyi yang lain daripada yang lain dan melengkapi dinamik gameplay
+ Tidak menghukum pemain kerana semakin lama semakin senang untuk mengalahkan musuh

– Side quest yang leceh
– Ambil masa lama mengumpul barangan untuk tingkatkan senjata dan kebolehan magik
– Pemain harus berulang-alik ke destinasi yang sama kerana kekurangan ‘fast travel’

Nier Replicant sudah dilancarkan di PC, PS4 dan Xbox One.

Written by Intan Zarthana

Peminat besar Dragon Age, The Last of Us dan Uncharted. Sukakan game yang ada jalan cerita yang bagus.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

The Witcher 3 Untuk PS5, Xbox Series Mungkin Akan Gunakan Mod Yang Dicipta Peminat

Insiden Serpihan Roket China Mungkin Punca Trailer Battlefield Baharu Masih Belum Keluar