Gergasi kandungan penstriman filem dan siri televisyen, Netflix kini nampaknya bakal masuk ke gelanggang gaming.
Menurut laporan The Information (via IGN), yang memetik sumber terdekat mereka, menyatakan yang Netflix kini sedang menghubungi beberapa individu penting dan veteran dari industri gaming untuk merekrut seorang eksekutif bagi memperluas pengaruh mereka ke dalam video game.
Laporan ini mendedahkan yang Netflix mungkin akan menggunakan pendekatan model bisnes seumpama Apple Arcade, di mana pelanggan akan membayar kadar tetap untuk mengakses dan stream sebilangan game menggunakan servis yang mereka sediakan.
Buat masa ini, ia belum diputuskan sama ada Netflix sendiri akan membangunkan game-game tersebut atau menggunakan khidmat pembangun-pembangun dari studio luar.
Netflix juga sebenarnya telah memberi respon terhadap laporan ini. Kenyataan yang dikeluarkan tidaklah secara jelas menyatakan yang mereka akan memasuki arena gaming, namun menegaskan yang mereka teruja untuk melakukan sesuatu terhadap ‘hiburan interaktif’.
“Pelanggan-pelanggan kami menghargai kepelbagaian dan kualiti kandungan kami,” kata wakil Netflix. “Sebab itulah kami sentiasa memperluas tawaran kami — dari siri kepada dokumentari, filem, kandungan asli bahasa tempatan dan realiti TV. Para pelanggan juga seronok melibatkan diri secara terus dengan cerita-cerita yang mereka suka — melalui rancangan interaktif seperti ‘Bandersnatch’ dan ‘You v. Wild,’ atau game-game berdasarkan ‘Stranger Things,’ ‘La Casa de Papel’ dan ‘To All the Boys.’ Kami sangat teruja untuk buat lebih dengan hiburan interaktif”
Sekiranya benar Netflix ingin membangunkan game atau servis berkaitan gaming mereka sendiri, ia sememangnya sesuatu yang tidak mengejutkan kerana Netflix cukup terkenal sebagai satu platform yang ‘mesra gaming’.
Selepas siri The Witcher mendapat sambutan menghangatkan, dan beberapa siri dan filem spin-off The Witcher dalam pembikinan, Netflix kelihatan begitu rancak membawakan kandungan berkaitan gaming seperti beberapa siri akan datang, antaranya Resident Evil: Infinite Darkness, Assassin’s Creed, Sonic Prime, dan Cyberpunk: Edgerunners.
Comments
Loading…