in ,

Netflix Dilaporkan Lantik Bekas Eksekutif EA, Bersedia Tawarkan Game Dalam Langganan Tanpa Caj Tambahan

Langkah Netflix untuk memasuki arena gaming sudah sekian lama kita dengar. Kini, muncul lagi laporan baharu yang boleh dikatakan lebih kukuh.

Menurut Bloomberg, Netflix telah melantik bekas eksekutif Electronic Arts dan Zynga, Mike Verdu sebagai Naib Presiden Pembangunan Game. Laporan ini tentunya selari dengan khabar angin kira-kira dua bulan lalu yang mengatakan syarikat gergasi penstriman itu sedang menghubungi beberapa individu penting industri gaming untuk membantu membangunkan game.

Netflix dikatakan akan menawarkan game ke dalam platform itu sekitar tahun hadapan, dipetik dari satu sumber yang tidak boleh didedahkan oleh Bloomberg. Lebih menarik, buat masa ini, penawaran game-game itu tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan kepada harga langganan sedia ada.

Penglibatan Netflix dalam industri gaming mungkin tidaklah sesuatu yang baharu, namun sebelum ini ia hanya lebih kepada perkara yang berkaitan pemberian lesen kepada syarikat game lain, seperti yang selalu kita nampak dalam Stranger Things dan Money Heist. Tapi menurut Bloomberg, perancangan Netflix kini adalah dalam skop yang jauh lebih besar.

Mungkin juga kerjasama bersama CD Projekt Red untuk mengadakan WitcherCon buat julung kalinya sebenarnya memberi petanda awal bahawa mereka akan menerjah ke dalam industri ini dengan lebih garang.

Laporan ini turut menyatakan Netflix masih lagi mencari-cari strategi terbaik untuk pembangunan game mereka. Kemungkinan besar mereka hanya akan memulakan dengan sebilangan kecil game terlebih dulu dan kembangkannya dari situ.

Walau bagaimanapun, sama seperti kita, Bloomberg juga tidak pasti apakah sebenarnya perancangan Netflix dalam bidang game ini. Adakah mereka akan membangunkan game mereka sendiri dari kosong atau membawakan game-game dari syarikat lain untuk dimainkan secara streaming di platform itu? Masih menjadi tanda tanya.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Valve Umumkan Steam Deck, Pesaing Nintendo Switch – Segalanya Tentang Sistem PC Gaming Bimbit Paling Berkuasa Ini

Bukan Sahaja Game Di Steam, Valve Akan Membenarkan Epic Games Store Dalam Steam Deck