Netflix dan Ubisoft dilaporkan sedang bekerjasama untuk menerbitkan sebuah siri anime yang diadaptasi daripada francais video game terkemuka, Splinter Cell.
Menurut laporan Variety, Derek Kolstad akan ditugaskan sebagai penulis merangkap penerbit eksekutif untuk anime ini. Bagi yang tidak mengenalinya, Kolstad terkenal sebagai penulis untuk francais filem John Wick.
Sama ada Netflix mahupun Ubisoft masih belum mengesahkan kerjasama ini, walau bagaimanapun, menurut sumber yang diterima oleh Variety, siri ini sudahpun dirancang untuk dua musim dan 16 episod.
Splinter Cell merupakan sebuah francais video game milik Ubisoft yang membuat penampilan pertama pada tahun 2002. Tom Clancy’s Splinter Cell: Blacklist (2013) adalah game terakhir daripada francais ini, dan sejak itu, para peminat telah mendesak Ubisoft untuk mengeluarkan game terbaharu. Sekiranya berita tentang siri anime ini sahih, maka para peminat yang inginkan game terbaharu terpaksalah menunggu lebih lama.
Netflix pula nampaknya memang tidak mahu memperlahankan projek siri adaptasi video game mereka. Antara anime adaptasi game yang sudah diumumkan sebelum ini ialah Cyberpunk: Edgerunners dan The Witcher: Nightmare of the Wolf.
Comments
Loading…