Orang kuat Naughty Dog, pembangun yang membawakan kita siri Uncharted, Neil Druckmann telah melawat set penggambaran filem Uncharted, dan beliau nampaknya cukup senang dengan Tom Holland sebagai pelakon utama.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan pembikinan filem ini, beliau nampaknya telah turut melawat set tersebut untuk melihat sendiri perkembangannya. Setelah sekian lama tergendala, filem ini akhirnya telah memulakan penggambaran pada Julai lalu.
Lawatan Druckmann ini didedahkan dalam satu perbualan antara beliau dengan Holland di Twitter. Holland menyatakan yang beliau seronok dapat berbual dengan Druckmann dan merupakan peminat kepada karya-karya Druckmann.
Kemudian, Druckmann membalas dengan mengatakan beliau seronok dapat sembang mengenai game dengan Holland, mendedahkan yang set penggambaran filem tersebut kelihatan cukup mengagumkan serta mengucapkan selamat maju jaya untuk saki-baki babak yang akan disambung.
Filem Uncharted ini akan diarahkan oleh Ruben Fleischer. Antara arahan yang mengangkat nama Fleischer ialah filem Zombieland dan Venom. Ia akan dibintangi oleh Tom Holland sebagai Nathan Drake dan Mark Wahlberg sebagai Sully, selain turut menampilkan Antonio Banderas, Sophia Ali dan Tati Gabrielle.
Filem ini dijadualkan akan ditayangkan pada Julai 2021.
Comments
Loading…