Kalau ura-ura tentang Horizon Zero Dawn akan dilancarkan ke platform PC belum cukup untuk meresahkan peminat tegar PlayStation, ini ada satu lagi game eksklusif yang jauh lebih besar kemungkinan akan mengikut jejak sama.
Studio pembangunan Naughty Dog telah mengeluarkan iklan bagi mencari pembangun baharu yang akan mengisi satu jawatan baharu. Ini mungkin nampak seperti aktiviti biasa dalam sesebuah syarikat, namun jawatan ini telah menimbulkan satu persoalan yang cukup besar.
Jawatan tersebut ialah “Graphics Programmer” yang bekerja untuk membangunkan The Last of Us Part II, dan apa yang mengejutkan ialah kriteria jawatan ini memerlukan seseorang yang mahir tentang selok-belok platform PC.
Jawatan ini mencari seseorang yang “mempunyai pemahaman menyeluruh terhadap GPU architectures masakini” serta menyebutkan AMD dan NVIDIA telah membuatkan para peminat merasakan bahawa Naughty Dog sedang merancang untuk membawakan game eksklusif mereka ini ke platform PC.
Menguatkan lagi spekulasi ini apabila kriteria jawatan ini turut menyebutkan “Direct12”, “Vulkan” dan “pengalaman pengaturcaraan PC”.
Apakah beberapa khabar angin yang condong mengatakan Horizon Zero Dawn dan The Last of Us Part II akan dilancarkan ke PC menandakan Sony sedang mempersiapkan diri untuk memperluas pasaran gaming mereka kepada bukan sahaja di platform PlayStation? Hanya masa yang bakal menentukan.
Setakat ini, apa yang rasmi ialah The Last of Us Part II akan dilancarkan pada 29 Mei 2020, eksklusif untuk PS4.
Comments
Loading…